Jumaat, 20 April 2018 | 8:00pm
TOYOTA Hilux versi L-Edition.
TOYOTA Hilux versi L-Edition.

Hilux L-Edition agresif, 'garang'

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) baru-baru ini memperkenalkan dua varian baharu bagi Toyota Hilux versi L-Edition untuk pasaran tempatan.

Ditawarkan menerusi dua varian masing-masing AT 4X4 2.8 dan AT 4X4 2.4, perkenalan kepada dua varian baharu itu adalah sebagai maklum balas kepada mereka yang inginkan trak pikap premium dan tampil dengan wajah lebih agresif.

Membezakan versi L-Edition daripada varian Hilux lain ialah penampilan bahagian depannya yang lebih lebar dan 'garang', disumbangkan oleh rekaan hexagonal pada gril yang dikelilingi kemasan krom.

Selain itu, bahagian pemijak di belakang didatangkan kemasan warna perak, serta rima 18 inci lima jejari dwitona warna perak dan hitam, menambahkan lagi sentuhan premium kepada penampilan trak pikap berkenaan.

Di bahagian dalamannya, Hilux L-Edition baharu itu menggunakan kemasan serba hitam sebagai tema, yang turut digabungkan dengan kemasan piano black pada kabinnya.

Ini sekali gus memberikan imej yang yang lebih menonjol serta membuatkan ruang berkenaan kelihatan serba mewah.

Malah, khusus bagi Hilux 2.8 L-Edition, ia didatangkan dengan meter Optitron dengan pencahayaan latar, untuk memberikan penglihatan lebih baik dalam apa jua keadaan.

Lebih berkuasa, tahan lasak

Varian baharu itu juga dikuasakan enjin 2.8 liter dan 2.4 liter empat silinder turbodiesel yang menawarkan kuasa lebih tinggi serta dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan, lengkap dengan ciri 'sequential shifter'.

Siri enjin yang digunakan itu juga menawarkan penyampaian tork low-end lebih baik, maklum balas pecutan lancar, tahan lasak dalam keadaan ekstrim serta kecekapan penggunaan bahan api dipertingkat.

Bagi aspek keselamatan, model premium itu dilengkapi dengan tujuh beg udara, Kawasan Kestabilan Kenderaan (VSC), Active Traction Control (A-TRC) dan Hill-start Assist Control (HAC) sebagai ciri standard.

Varian 2.8 L-Edition, turut ditambahkan ciri Downhill Assist Contril (DAC) untuk memudahkan pemanduan menuruni laluan curam dengan lebih selamat.

Aksesori baharu Toyota Sienta

Sementara itu, UMWT turut mengumumkan penambahan ciri baharu dengan aksesori yang dipertingkatkan bagi Toyota Sienta.

Bagaimanapun, penawaran model kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak itu bagi 2018 hanyalah menerusi varian 1.5V dan ia kini dilengkapi sistem DVD-AVX 6.9-inci yang dinaik taraf, lengkap dengan ciri Bluetooth, HDMI, slot kad SD serta kamera undur.

Ciri baharu Paparan Skrin Panoramic juga ditawarkan sebagai pilihan yang mana ia membantu pemandu meletakkan kenderaan di ruang parkir dengan memaparkan suasana persekitaran sekeliling.

Malah, pelanggan juga boleh menaik taraf kepada sistem DVD-AVN tujuh inci yang ditawarkan sebagai pilihan, yang disertakan sistem tunjuk arah GPS.

Tempahan bagi kedua-dua model berkenaan boleh dibuat bermula bulan ini. Orang ramai boleh melayari laman web rasmi Toyota menerusi pautan toyota.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

INFO
Harga (tidak termasuk insurans)

  • Hilux 2.8 L-Edition - RM133,900.00
  • Hilux 2.4 L-Edition - RM119,300.00
Berita Harian X