Jumaat, 20 April 2018 | 7:00am
KARAKTER matang dengan sisi ikonik.
KARAKTER matang dengan sisi ikonik.

MINI Cooper Countryman canggih

MINI Countryman serba baharu, generasi kedua kenderaan aktiviti sukan (SAV) premium adalah jenama automotif kompak premium paling sofistikated di dunia.

Tidak hanya ditekankan dengan status itu, ia sebenarnya diterjemahkan oleh reka bentuk dan yang paling penting kuasa dan kecekapan bahan api yang ditawarkan jentera dari Britain itu.

Varian MINI Cooper Countryman dan MINI Cooper S Countryman serba baharu, SAV premium adalah model paling besar serta versatil dalam sejarah 57 tahun MINI.

Ia dibina untuk menunjukkan kemajuan dari segi ruang, fungsi, gaya atletik dan karekteristik premium MINI.

MINI Countryman dilihat berjaya memecahkan stereotaip kenderaan dalam segmen premium kompak.

Ia membuktikan bahawa idea kreatif dan premium boleh bersatu secara harmoni dalam industri automotif yang dikenali mengikut segmennya.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji MINI Cooper Countryman di mana ini adalah model kedua yang dipandu uji sejak MINI Cooper S Countryman Park Lane.

Karakter lebih matang

MINI Countryman serba baharu menampilkan elemen rekaan yang tipikal dengan jenama berkenaan termasuk tiga struktur utama pada bahagian sisi yang ikonik, iaitu yang terdiri daripada bumbung, bahagian kaca dan badan.

Saiz MINI Countryman serba baharu juga bertambah, tetapi masih mampu mengekalkan perkadaran tipikal sebuah MINI.

Jentera itu kini 20 sentimeter lebih panjang dan tiga sentimeter lebih lebar berbanding model terdahulu.

MINI Countryman serba baharu mempunyai panjang 4,299mm, lebar 1,822mm dan tinggi 1,557mm.

Auranya turut diserlahkan melalui jarak kelegaan tanah dan posisi tempat duduk yang lebih tinggi.

Ini dijelaskan lagi dengan kit badan MINI ALL4, Dapra (fender) hadapan dan belakang yang dibezakan melalui kemasan hitam Piano Black dan sump guard berwarna perak, menyerlahkan lagi karektor lasak MINI Countryman serba baharu.

Karakter off-road ditambah dengan Roof Rails yang boleh menempatkan kargo tambahan seperti rak bumbung, kotak atau rak basikal.

Bukan itu sahaja, MINI Countryman serba baharu buat kali pertamanya dilengkapi lampu utama LED dengan lampu membelok yang menjadi satu penambahan sempurna yang membolehkan anda meneroka malam dengan lebih selamat.

Dari segi pilihan rim, MINI Countryman serba baharu dipasang dengan rim aloi ringan bersaiz 18 inci, manakala MINI Cooper S Countryman didatangkan dengan rim aloi ringan MINI Yours bersaiz 19 inci.

Teknologi MINI TwinPower Turbo

Enjin MINI Countryman ini ditala untuk memberikan tahap kelincahan dan pecutan yang mantap, sinonim dengan jenama MINI.

Buat kali pertamanya, MINI Countryman serba baharu dikuasakan oleh enjin tiga dan empat silinder TwinPower generasi terkini BMW Group.

Ini membuatkan MINI lebih laju, garang dan menjimatkan bahan api berbanding model terdahulu.

MINI Countryman serba baharu kini dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris bersesaran 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi Steptronic enam kelajuan automatik.

Rangkaian kuasa ini membolehkannya menjana kuasa 136 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 220Nm.

Jentera ini mampu memecut dari 0 ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 9.6 saat dengan kelajuan maksimum 200km/j dengan penjimatan bahan api sekitar 6.0 liter bagi setiap 100km.

Lebih mengujakan, mod pemanduan MINI diaktifkan menerusi satu suis rotari pada bahagian bawah tuil gear.

Talaan pemanduan MINI Countryman boleh dipilih berdasarkan kepada tiga mod iaitu MID, SPORT dan GREEN.

Penulis menguji semua mod di mana, GREEN untuk pemanduan yang santai dan menjimatkan minyak, manakala SPORT untuk pecutan dan pengendalian yang lebih responsif. Jika ingin menikmati kedua-duanya, pilih saja mod MID.

Tahap keselamatan berkualiti tinggi

MINI Countryman dipasang dengan suspensi berkualiti tinggi di mana ia menggabungkan topang gandar sambungan tunggal yang diuji pada roda hadapan serta gandar jenis multi-link dengan reka bentuk yang dioptimumkan untuk berat dan ketegaran di belakang.

Selain suspensi dan stereng elektromekanikal dengan fungsi Servotronic, turut dipasang ialah brek penuh kuasa serta Dynamic Stability Control (DSC) yang mengubahsuai output kuasa kenderaan kepada roda.

Ini membantu mengelakkan berlakunya masalah over-steer atau under-steer dan memastikan kereta sentiasa selamat.

Aspek perlindungan daripada kecelakaan jalan raya dipertingkatkan dengan penggunaan kerangka besi multifasa yang sangat tegar.

MINI Countryman juga menggunakan cagak enjin yang boleh tertanggal, seterusnya mengurangkan impak ke atas pemandu dan penumpang jika berlaku pelanggaran.

Sebagai tambahan, Hill Hold Control memastikan MINI tidak bergerak apabila diparkir di kawasan berbukit atau ketika memandu dalam trafik sesak.

Beg udara yang dipasang pada bahagian hadapan, sisi dan siling memberikan ketenangan jiwa kepada pemandu dan penumpang MINI Countryman serba baharu.

Ruang luas ambien, eksklusif

Bukti jelas MINI Countryman serba baharu kini sudah memasuki segmen premium adalah menerusi peningkatan ruang pada jentera lima tempat duduk ini.

Ruang storan dan kargo juga ditingkatkan untuk memberi lebih versatiliti. Gabungan material dan kemasan paling mewah yang pernah digunakan pada MINI, membuatkan MINI Countryman ini lebih premium dan praktikal.

Tawaran untuk ruang kabin MINI Countryman baharu, termasuk upholsteri hitam Firework Carbon dengan permukaan dalaman berwarna kelabu (Hazy Grey) dan stereng sport dibalut kulit.

Ruang penyimpanan barang yang ekstensif di dalam model baharu MINI ini termasuk poket pada pintu hadapan dan belakang yang boleh menempatkan botol minuman satu liter.

Konsol tengah yang turut merangkumi panel instrumen kini mempunyai satu kompartmen bersepadu dengan dua pemegang cawan minuman di hadapan tuil gear.

MINI Countryman serba baharu juga dilengkapi sistem pendingin hawa automatik dua zon dan cermin pandang belakang anti-silau automatik.

Pemanduan terbaik, selesa

Pengalaman pemanduan, infotaimen dan komunikasi MINI Countryman serba baharu dipertingkatkan dengan ciri MINI Connected yang menawarkan rangkaian integrasi telefon pintar yang ekstensif pada skrin sentuh beresolusi tinggi bersaiz 6.5 inci.

Dari segi ruang penyimpanan barang, MINI Countryman hadir bersama kemudahan lebih luas untuk menunjukkan bahawa fungsi dan versatilitinya telah dioptimumkan.

Apabila semua tempat duduk digunakan, ruang kargo ialah 450 liter. Dengan tempat duduk belakang dilipat pada konfigurasi 40:20:40, ruang kargo boleh ditingkatkan sehingga 1,390 liter.

Secara keseluruhannya, memandu uji MINI Countryman serba baharu menawarkan pengalaman unik dan tidak dapat disangkal lagi keseronokannya.

Apa tidaknya, penulis memandu uji dari Putrajaya ke Taiping sebelum berpatah balik ke Putrajaya dalam masa tiga hari bersama keluarga.

Hakikatnya, ruang yang ditawarkan jentera ini amat selesa tidak hanya kepada pemandu malah penumpang dan anak kecil.

MINI Countryman serba baharu hadir bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had MINI selama empat tahun dan servis berjadual percuma.

Anggaran harga atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans bagi model yang dipandu uji penulis adalah RM239,888. Jika memiliki wang lebih anda boleh mendapatkan MINI Cooper S Countryman bermula RM269,888.

Berita Harian X