Khamis, 19 April 2018 | 4:34pm
LANGITAN bersama motosikal yang digunakannya dalam misi jelajah solo dari Jakarta-London di Kawasaki Training Center Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Jelajah solo Jakarta-London guna Kawasaki Versys X

BERBEKALKAN keazaman dan disiplin tinggi dalam pengurusan masa menyaksikan penunggang solo dari Indonesia, Stephen Langitan memutuskan untuk menjelajah dari Jakarta hingga London menggunakan motosikal Kawasaki Versys X.

Beliau yang juga blogger pemotoran sejak tiga tahun lalu singgah ke Kuala Lumpur, negara pertama daripada keseluruhan 26 negara yang akan dilalui sepanjang tunggangan solo yang membabitkan jarak 30,000 kilometer (km).

Bagi menghargai pengorbanan Langitan yang menunggang sejauh 2,000km dari Jakarta ke Kuala Lumpur, Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (Kawasaki) mengadakan majlis pertemuan ringkas antara Stephen dan wakil media Malaysia di ibu pejabat Kawasaki di Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

Yang turut hadir, Pengurus Besar yang juga Pengarah Kawasaki, Datuk Jeffrey Lim Chee Sing dan Timbalan Pengurus Besar Kawasaki, Awalludin Muhammad Lip.

Menceritakan usaha untuk memahat nama sebagai penunggang solo Indonesia pertama menggunakan Versys X berkapasiti 250cc, Langitan berkata, penunggang jelajah solo atau berkumpulan dari Malaysia menjadi sumber inspirasi kepadanya untuk meneruskan komitmennya.

"Saya mengikuti rapat perkembangan penunggang Malaysia yang menjelajah pelbagai negara. Kejayaan mereka membuatkan saya makin teruja untuk meneruskan tunggang ke London dengan misi yang mengambil masa 145 hari ini akan tamat di kota London pada 17 Ogos ini.

"Misi saya adalah untuk meraih impian dan ini adalah perjuangan untuk diri saya," katanya sambil menambah beliau memperuntukkan 320 juta rupiah (RM90,000) untuk mencapai cita-cita jelajah solonya.

Usia bukan penghalang

Langitan berkata, dengan usianya sudah mencecah 53 tahun, apa yang penting baginya adalah menjaga kesihatan sepanjang jelajah supaya sampai ke destinasi dengan selamat dan tepat pada masanya.

"Saya menunggang kira-kira 450km sehari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dengan kelajuan purata tidak melebihi 70 hingga 80 kilometer sejam (km/j). Perhentian kedua saya adalah Padang Besar, Perlis sebelum memasuki Thailand," katanya.

Beliau menjelaskan, pemilihan Versys X kerana untuk melengkapkan jelajah solo, motosikal kategori jelajah berkapasiti 250 cc sudah mencukupi.

"Verysy X sudah mencukupi. Tidak perlu kapasiti enjin lebih besar. Enjin dan ekzos juga standard, cuma beberapa penambahbaikan dibuat, termasuk kotak simpanan barang, penghadang enjin dan tayar yang bersesuaian," katanya.

Berita Harian X