Rabu, 18 April 2018 | 10:01pm
DATUK Abdul Harith Abdullah (tengah) bersama Amirudin Abd Kadir dan Dinesh Kulkarni pada pelancaran MODENAS Dominar D400. - Foto Eizairi Shamsudin

Jualan motor MODENAS meningkat 47 peratus

KUALA LUMPUR: Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) mencatatkan peningkatan jualan motosikal keluarannya sehingga 47 peratus sepanjang tempoh tahun kewangan 2017/18 berbanding 2016/17.

Ketua Pegawai Eksekutif (Pengagihan Automotif, Pertahanan, Pembuatan & Kejuruteraan) DRB-HICOM, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata sepanjang tempoh berkenaan, MODENAS berjaya menjual lebih 41,800 unit motosikal, dengan model Pulsar dan V15 menyumbang 11 peratus daripada keseluruhan jualan.

"Sejak dilancarkan pada Mei tahun lalu, MODENAS Pulsar dan V15 sudah terjual lebih 4,500 unit. Tahun pertama kemunculan kedua-dua model ini membolehkan MODENAS menguasai 23 peratus segmen motosikal kategori bawah 250cc," katanya ketika Pelancaran MODENAS Dominar D400.

Hadir sama ialah Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa Bajaj Auto Limited (Bajaj Auto), Dinesh Kulkarni; Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abd Kadir dan Ketua Bahagian (Automotif) DRB-HICOM, Rohimie Shafie.

Menurut Abdul Harith, kejayaan jualan model Pulsar dan V15 selepas kerjasama dengan Bajaj Auto, menguatkan lagi kepercayaan pihaknya untuk menawarkan produk yang terbaik.

"Ini adalah masa tepat untuk MODENAS menawarkan produk baharu yang menepati kehendak peminat motosikal tempatan. Dengan reka bentuk moden dan harga yang kompetitif, Dominar D400 pasti menjadi pilihan terbaik di pasaran," katanya.

MODENAS Dominar D400 adalah motosikal model sport tourer tempatan kedua selepas model Jaguh dikeluarkan pada 1999 dan menjadi produk ketiga bersama Bajaj Auto selepas Pulsar dan V15.

Jentera kelas pertengahan ini dikuasakan enjin 373cc sejukan cecair yang menyalurkan kuasa 35PS pada 8,000 rpm manakala daya kilas maksimum 35Nm pada 6,500 rpm.

Dengan teknologi sistem pencucuhan Digital Triple Spark (DTS-i) termaju, Dominar D400 menawarkan pembakaran sempurna dan optimum selain membantu mencapai kecekapan bahan api lebih baik.

Selain bentuknya yang moden dan agresif, jentera enam kelajuan ini turut dilengkapi Slipper Clutch dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran selain penyerap hentak teleskopik pada roda hadapan dan monoshock boleh laras di belakang. 

Ciri lain termasuklah lampu hadapan dan belakang LED serta paparan meter digital.

Selain itu, tangki bahan api 13 liter memastikan jarak perjalanan lebih jauh dan ideal untuk pengangkutan harian atau tunggangan santai hujung minggu.

Dijual pada harga RM13,788, sebanyak empat warna ditawarkan iaitu merah, biru, hitam dan putih.

Berita Harian X