Selasa, 30 Januari 2018 | 5:44pm
DATUK Aishah Ahmad.- Foto fail NSTP
DATUK Aishah Ahmad.- Foto fail NSTP

Kenaikan OPR tidak jejas jualan kenderaan

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kereta dijangka mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini meskipun pengumuman kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus kepada 3.25 peratus minggu lalu, menurut MIDF Research.

Menurut firma penyelidikan itu, lazimnya berdasarkan rekod sejarah, terdapat korelasi terbalik antara OPR dan pergerakan jumlah jualan kenderaan.

Ia berkata, pertumbuhan jualan kenderaan cenderung untuk lemah atau dalam keadaan yang mana OPR meningkat mendadak seperti yang berlaku dalam tempoh Oktober 2005 hingga Mei 2006.

"Dalam tempoh Oktober 2005 hingga Mei 2006, OPR meningkat daripada 2.75 peratus kepada 3.50 peratus dalam tempoh hanya tujuh bulan.

"Justeru, jumlah jualan kenderaan beralih kepada arah aliran menguncup berbanding pertumbuhan yang perlahan," menurut MIDF Research dalam nota penyelidikannya mengenai kesan kenaikan OPR sebanyak 0.25 peratus kepada 3.25 peratus baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai kesan kenaikan OPR yang diumumkan baru-baru ini itu, firma penyelidik itu menegaskan, peningkatan OPR secara mendadak tidak berlaku ketika ini.

Justeru, jumlah jualan kenderaan dijangka kekal mencatatkan pertumbuhan positif pada 2018, terutamanya selepas dua tahun berturut-turut mencatatkan penguncupan pada 2016 hingga 2017, katanya.

Sementara itu, dalam laporan media baru-baru ini, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata peningkatan OPR yang diumumkan itu akan memberi impak kecil kepada jualan kereta.

Malah, katanya, peningkatan sebanyak 0.25 peratus OPR itu sudah diambil kira oleh peserta industri.

MAA mengunjurkan jumlah jualan kenderaan di negara ini akan berkembang sebanyak 2.3 peratus kepada 590,000 unit tahun ini, berbanding 576,635 unit tahun lalu.

Ia sejajar dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara lebih tinggi antara lima hingga 5.5 peratus.

Jumlah jualan kenderaan penumpang dijangka berkembang 2.3 peratus daripada 514,679 unit tahun lalu kepada 526,500 unit pada 2018, manakala kenderaan komersial menyaksikan peningkatan 2.5 peratus kepada 63,500 unit tahun ini berbanding 61,956 unit pada 2017.

Berita Harian X