Selasa, 30 Januari 2018 | 7:00am
RANGE Rover Velar.

Range Rover Velar bakal masuk pasaran tempatan

BERITA gembira bagi mereka yang menantikan kehadiran Range Rover Velar 2018 apabila Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) mengumumkan model itu bakal memasuki pasaran tempatan menjelang suku tahun kedua 2018.

Dinamakan sempena prototaip Range Rover yang dihasilkan pada 1969, Velar adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) bersaiz sederhana yang menawarkan elemen pembaharuan dan kemewahan.

Reka bentuk futuristik, ruang dalaman lebih luas

Diposisikan antara Range Rover Evoque dan Range Rover Sport, Velar menawarkan reka bentuk menarik di samping ruang dalaman yang luas, menyasarkan mereka yang sememangnya inginkan SUV bersaiz sederhana.

Ia dihasilkan menerusi campuran reka bentuk kontemporari dan teknologi canggih serta didatangkan dengan lampu utama LED paling langsing yang dihasilkan kenderaan Land Rover.

Ia juga dikatakan lebih ringan, hasil penggunaan aloi aluminium yang turut dipadankan dengan suspensi double-wishbone untuk hadapan dengan suspensi Integral Link di belakang bagi bagi pengendalian lebih mantap dan selesa.

Velar juga mempunyai ciri keselamatan yang tinggi dengan mempunyai tahap perlindungan kemalangan luar biasa, yang mana ia dihasilkan untuk memenuhi peraturan ujian kemalangan paling mencabar di seluruh dunia.

Tempahan dibuka

Selain itu, ia juga didatangkan dengan sistem infotainment baharu iaitu Touch Pro Duo yang merangkumi dua paparan skrin sentuh 10 inci serta menggabungkan elemen futuristik dan elegan bagi menghasilkan ruang dalaman yang lebih selesa.

Tempahan di semua cawangan pameran Land Rover seluruh negara.

Bagaimanapun, JLRM dalam kenyataannya, tidak mendedahkan maklumat penuh mengenai spesifikasi Velar secara menyeluruh dan akan membuat pengumuman pada suku kedua 2018.

Range Rover Velar kini dibuka untuk tempahan di semua cawangan pameran Land Rover di seluruh negara.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan perkembangan terkini boleh melayari di laman web rasmi Land Rover di pautan www.landrover.com.my/keep-me-informed.

INFO
Range Rover Velar

  • Diposisikan antara Range Rover Evoque dan Range Rover Sport
  • Bakal memasuki pasaran tempatan pada suku kedua 2018
  • Disertakan sistem infotainment Touch Pro Duo
Berita Harian X