Isnin, 27 November 2017 | 7:00am
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Toyota Harrier baharu pada pameran Malaysia Autoshow 2017 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Toyota Harrier baharu pada pameran Malaysia Autoshow 2017 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Toyota Harrier lebih garang

MESKIPUN tahun depan Toyota Harrier memasuki pasaran negara ini, langkah UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) pada Malaysia Autoshow 2017 tepat pada masanya.

Apa tidaknya, pengenalan pada acara tumpuan ramai seperti itu membolehkan peminat melihat dengan lebih dekat Toyota Harrier sebelum memuktamadkan keputusan membelinya.

Harrier baharu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula dari RM238,000.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) terkenal import sepenuhnya itu adalah versi terkini yang ditawarkan menerusi dua varian iaitu Harrier 2.0T Luxury dan 2.0T Premium.

Harrier baharu itu turut didatangkan dengan versi enjin petrol turbocaj 2.0 liter dengan D>4ST dan teknologi VVT-iW.

Ia turut dilengkapi dengan Pakej Toyota Safety Sense (TSS) maju bagi perlindungan penumpang yang dipertingkatkan serta keselamatan pemanduan.

Dari segi luaran, ia mempunyai lampu LED dengan projektor berkembar, gril bahagian atas yang direka semula, lampu kabus LED baharu serta lampu nyalaan siang LED yang diletakkan pada posisi mendatar.

Jaminan lima tahun

Harrier baharu ini didatangkan dengan rim bercorak turbin baharu berdiameter 18 inci, serta bahagian bawah bampar belakang yang direka semula dan turut menempatkan tip ekzos krom.

Memasuki bahagian kabin, Harrier baharu ini diberikan tempat duduk pemandu larasan berkuasa dengan fungsi memori, upholsteri serta kemasan carbon-weave metal.

Kedua-dua varian juga menerima sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa dua-zon, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan sokongan lumbar sisi boleh ubah, pengesan jarak hadapan dan belakang serta kamera undur.

Seperti semua model Toyota dijual oleh UMWT, Harrier turut menerima sokongan selepas jualan termasuk alat ganti serta jaminan lima tahun dengan tanpa had perbatuan.

Pelancaran jualan Harrier baharu akan diumumkan pada tarikh lain, namun ketika ini model berkenaan menerima tempahan dan boleh didapati di bilik pameran Toyota seluruh negara.

Info:
Toyota Harrier

  • Harga atas jalan tanpa insurans bermula dari RM238,000
  • Dua varian Harrier 2.0T Luxury dan 2.0T Premium
  • Enjin petrol turbocaj 2.0 liter dengan D>4ST dan teknologi VVT-iW
Berita Harian X