Rabu, 1 November 2017 | 8:00am
TEMPAHAN model SUV versi CKD dibuka. - Foto Salhani Ibrahim
TEMPAHAN model SUV versi CKD dibuka. - Foto Salhani Ibrahim

Mitsubishi Outlander tawar penjimatan bahan api

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia memperkenalkan Mitsubishi Outlander SUV 2.0L pemasangan tempatan (CKD).

Model berkenaan menjadi model CKD kedua selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) ASX, yang menjalani proses pemasangan di Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut, Kuala Lumpur.

Outlander 2.0L 4WD ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter DOHC MIVEC bersama hamburan kuasa 145 PS dan 196 NM, serta dipadankan bersama transmisi INVECS-III CVT.

MMM berkata, ia mampu memberikan penjimatan bahan api sekitar 13.7 liter bagi setiap 100 kilometer (km) atau sekitar 13 liter untuk 100 km bagi varian 2.4 liter.

Outlander 2.0L ini juga didatangkan dengan sistem 4WD pintar sebagai standard, sistem Multi-Select 4WD dengan tiga pilihan mod iaitu 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock.

Miliki elemen keselamatan asas

Outlander 2.0L 4WD memiliki senarai elemen keselamatan asas yang agak lengkap iaitu tujuh beg udara, ABD dan EBD, Bantuan Brek, Kestabilan Aktif dan Kawalan Cengkaman (ASTC), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan cagak ISOFIX.

Sesuai dengan perkembangan semasa dengan elemen teknologi baharu, model itu juga mempunyai fungsi Rest Reminder yang mana ia mengingatkan pemandu untuk rehat sekiranya keletihan.

Outlander diperkenalkan di Malaysia pada April 2016 sebagai versi import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Varian baharu Outlander 2.0L 4WD itu dijual seiringan dengan model 2.4L 4WD CBU, bagi memperluaskan rangkaian SUV Mitsubishi.

Harga pengenalan untuk Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD CKD itu adalah RM139,988 dan ia hanya untuk tempoh terhad hingga akhir tahun ini.

Outlander dilengkapi dengan jaminan kilang standard MMM selama lima tahun dan perbatuan yang tidak terhad.

Khas untuk pasaran Malaysia, Outlander 2.0L CKD ini turut diberikan warna eksklusif iaitu Ruby Black, serta mengekalkan warna Red Metallic dan Solar White.

Peluang menang iPhone 8

Pengenalan model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu turut menyaksikan MMM menganjurkan acara eksklusif di bilik pamerannya pada 14 dan 15 Oktober lalu bagi cawangan di Semenanjung Malaysia, manakala esok dan 22 Oktober di Sabah dan Sarawak.

Sempena acara eksklusif itu, tiga pelanggan bertuah yang memandu uji Mitsubishi Outlander berpeluang memenangi iPhone 8.

"Selain itu, 200 pelanggan pertama yang menempah dan mendaftarkan model berkenaan juga berhak mendapatkan baucar minyak bernilai RM300," kata MMM dalam satu kenyataan.

Info
Mitsubishi Outlander SUV 2.0L CKD

* Harga pengenalan RM139,988

Berita Harian X