Ahad, 29 Oktober 2017 | 8:00am

Pembelian berbaloi Kawasaki Z650 ABS


KAWASAKI Z650 ABS ditawarkan pada harga mampu milik, RM35,609. - Foto Surianie Mohd Hanif

SESIAPA saja yang sedang mencari motosikal berkuasa besar pastinya akan membuat tinjauan terlebih dulu pelbagai model dan jenama terkemuka kerana ia seharusnya menjadi satu pembelian berbaloi.

Kebiasaannya, faktor harga dan kuasa menjadi perbandingan sebelum sebarang keputusan untuk membeli dilakukan kerana ia bukannya membabitkan wang yang agak banyak mencecah puluhan ribu.

Mungkin Kawasaki Z650 ABS boleh dipertimbangkan secara serius kerana bagi penulis, ia adalah model berkuasa besar yang sememangnya boleh dijadikan satu pembelian berbaloi.

Sebenarnya, penulis sudah dua kali menunggang uji Z650 ABS dengan kedua-dua sesi itu membabitkan tempoh selama satu minggu.

Pada sesi pertama, penulis memberi tumpuan kepada kuasa dan tahap mampu milik dan untuk sesi kedua ia lebih kepada faktor kesesuaian untuk tunggangan harian.

Berbaloi untuk wang anda

Bagi menguatkan pertimbangan mengenai tahap betapa berbaloinya jentera ini, penulis menggariskan enam sebab mengapa Z650 ABS perlu dipertimbang sebagai motosikal untuk tunggangan harian anda.

Pertama, harganya mampu milik iaitu RM35,609 (harga jualan asas termasuk GST), di mana pada harga sedemikian, anda menerima tidak hanya jentera berkuasa 650cc, malah beberapa fungsi lain yang dianggap terbaik termasuk sistem brek anti-kunci (ABS) Bosch.

Kedua, rekaannya 'naked' yang diperagakan untuk Z650 ABS ini cukup menarik meskipun ia tampak ringkas tetapi agak sporty dan sangat sesuai untuk tunggangan harian tidak kira jarak singkat atau jauh.

Ketiga, pastinya kos penggunaan bahan api juga menjadi titik tolak jika anda ingin menjadikan model ini sebagai jentera harian berulang-alik ke tempat kerja kerana apa yang ditawarkan Z650 ABS ini sangat cekap kerana ia hanya menggunakan 4.6 liter bahan api untuk perjalanan 100 kilometer.

Keempat, pengendalian Z650 ABS sangat mudah tidak hanya pada laluan lurus, malah ketika mengambil selekoh juga, penulis merasa penuh yakin tanpa sebarang keraguan

Kelima, kuasa enjin 649 cc sejukan cecair empat lejang berkembar selari DOHC yang menghasilkan 68PS pada 8,000 rpm dan tork 65.7 Nm pada 6,500 rpm amat memadai untuk anda menunggangnya ke tempat kerja atau mungkin memerah kuasa untuk perjalanan jauh pada hujung minggu.

Terakhir, kos servis untuk jentera ini amat berpatutan. Terima kasih kepada Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd kerana memiliki rakan pengedaran, pusat servis eksklusif Kawasaki (KESC) dan bantuan tepi jalan Kawasaki.


PEMBELIAN berbaloi untuk mereka yang sedang mencari motosikal berkuasa besar. - Foto Surianie Mohd Hanif

Rangkaian meluas

Dengan rangkaian kira-kira 112 pusat pengedaran, servis dan alat ganti di seluruh negara, ia akan memudahkan anda untuk membuat rujukan atau menghantar motosikal selepas memiliki jentera Kawasaki.

Tidak keterlaluan jika penulis mengatakan, apa yang ditawarkan Kawasaki cukup komprehensif dan ia seharusnya menambah keyakinan anda untuk memiliki jentera Kawasaki.

Berbalik kepada tunggang uji kedua, model naked berkuasa tinggi Z650 ABS yang menggantikan model ER6-n sangat sesuai untuk kegunaan harian.

Di sebalik penawaran penggunaan bahan api yang cekap, gaya rekaan yang ranggi juga membuatkan penulis mulai jatuh cinta dengan Z650 ABS ini.

Penahan angin hadapan yang 'comel' dengan penutup meter membuatkan model ini lebih ranggi, manakala bahagian pelana dengan ketinggian sekitar 790mm membuatkan penulis selesa kerana kaki mudah mencapai 'tanah'.

Paling menonjol adalah lampu belakang dengan huruf Z jelas kelihatan apabila membrek yang jelas unik, selain bahagian belakang lebih aerodinamik melengkapkan rekaan Z650 baharu ini.

Meskipun, paparan meter LCD ringkas, ia sudah memadai bagi penulis kerana maklumat asas mencukupi (tidak perlu banyak fungsi dipaparkan pada LCD jika pemilik tidak ambil kisah).

Perjalanan penulis setiap hari dari Putrajaya ke Kuala Lumpur cukup 'indah' kerana ia bukan saja ringan, malah Z650 ABS amat mudah dikendalikan ketika menempuh jalan sesak pada waktu puncak.

Malah, Z650 ABS ini juga senang membelok memandangkan sudut membeloknya 35 darjah, iaitu lebih dua darjah berbanding Ninja, menjadikan ia mudah digerakkan untuk tujuan itu.

Sepanjang tunggang uji selama seminggu membabitkan jarak lebih 60 kilometer setiap hari, penulis merasakan Z650 ABS ini adalah jentera sesuai kepada semua peringkat umur yang ketika ini sedang berkira-kira untuk mendapatkan motosikal berkuasa tinggi pada harga mampu milik.


KAWASAKI Z650. - Foto Surianie Mohd Hanif

Info
Kawasaki Z650 ABS

  • Harga jualan asas termasuk GST RM35,609
  • Dua pilihan warna iaitu hijau atau titanium
  • Jaminan 2 tahun atau 20,000 km yang mana lebih awal
  • Enjin 649 cc sejukan cecair empat lejang berkembar selari DOHC
  • 68 PS @ 8,000rpm
  • 65.7 Nm @ 6,500rpm
  • Transmisi 6-kelajuan
Berita Harian X