Sabtu, 14 Oktober 2017 | 2:19pm
MODENAS bawa masuk Dominar 400 awal tahun hadapan.

Dominar 400 mengancam

SELEPAS memperkenalkan tiga model baharu hasil kerjasama dengan Bajaj Auto Ltd (BAL), Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) mengorak langkah untuk memperkenalkan satu lagi model baharu iaitu motosikal naked dikenali Dominar 400 awal tahun depan.

Lebih menarik, Dominar 400 akan menjadi model pemasangan tempatan (CKD) sama seperti model sebelum ini yang mana hanya komponennya saja diimport sebelum ia dipasang sepenuhnya di kilang milik MODENAS di Gurun, Kedah.

Kemasukan Dominar 400, selain tiga model keluaran BAL iaitu V15, Pulsar NS200 dan Pulsar RS200 yang dibawa masuk pada Mei lalu, bakal memberi saingan kepada jenama terkemuka lain dalam kelas dan kapasiti sama.

Masuk Malaysia tahun depan

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Amirudin Abd Kadir, berkata model Dominar 400 itu dijangka akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia seawal suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, katanya, segala maklumat lanjut mengenai perkara itu termasuk harga masih belum diputuskan pihaknya buat masa ini.

"Dominar 400 ini adalah antara model dalam perancangan MODENAS dan ketika ini pun dalam persiapan untuk membawa masuk model ini ke Malaysia.

"Jadi, untuk peminat motosikal ini, kita minta bersabar dan dalam masa terdekat ini, kita akan bawa Dominar400.

"Apa paling menarik mengenai model ini, selain spesifikasi dan kawalannya, harganya juga dijangka sangat kompetitif dan saya yakin ia akan memenuhi cita rasa pasaran Malaysia," katanya yang enggan mendedahkan harga model motosikal jalanan baharu itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada lawatan bersama media dan pengedar tempatan kilang BAL di Pune, India, minggu lalu.

Namun, menurut sumber, dipercayai harga jualan model Dominar 400 itu adalah di bawah RM20,000.

Sambutan baik

Mengulas lanjut, mengenai kemungkinan MODENAS akan membawa masuk satu lagi model baharu iaitu Boxer 150, Amirudin berkata, perkara itu masih di peringkat awal.

"Ketika ini, cadangan membawa masuk motosikal pelbagai guna ini masih dalam perbincangan dan mungkin sama ada kami akan membawanya masuk atau tidak.

"Namun, yang pasti, MODENAS akan membawa masuk Dominar 400 awal tahun depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, sambutan terhadap ketiga-tiga model motosikal BAL yang dibawa masuk pada Mei lalu amat memberangsangkan sehingga lebih 2,000 unit sudah terjual sehingga kini.

Sehubungan itu, katanya, bersandarkan jualan yang memberangsangkan itu, pihaknya menyasar untuk menjual sehingga 6,000 unit bagi ketiga-tiga model itu pada akhir tahun ini.

"Pada mulanya, kami jangkakan model Pulsar NS200 yang akan mendapat sambutan, namun tidak sangka dua model lain turut menerima sambutan memberangsangkan," katanya.

Info:
Dominar 400 (berdasarkan laman web BAL)

  • Harga belum diputuskan
  • Enjin tiga palam pencucuh 4-injap DTS-i penyejuk cecair, suntikan bahan api 373cc
  • 35 PS @ 8,000rpm, Tork 35Nm @ 6,500rpm
  • Enam kelajuan
  • 0-100 km/j dalam masa 8.23 saat
  • Kelajuan maksimum 148 km/j
  • Brek ABS dwi-saluran
Berita Harian X