Jumaat, 22 September 2017 | 8:00am
PENGURUS Besar Kanan Nasim Sdn Bhd, Yasser Awan (kiri) dan Pengarah Besar Operasi ASEAN, PSA Group, Lionel Faugeres, ketika melancarkan Peugeot 3008 SUV di Shah Alam, baru-baru ini.

SUV Peugeot 3008 tampil lebih elegan

NASIM Sdn Bhd melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu, Peugeot 3008 dengan pilihan dua varian, Active THP dan Allure THP.

Kedua-dua varian ini dijanakan oleh enjin petrol 1.6L THP 165 S&S dan transmisi automatik enam kelajuan bersama Tiptronic dan mod Sport yang menghamburkan kuasa 165 kuasa kuda (hp) dan tork 240 Nm.

Dengan kuasa yang dimiliki jentera ini, ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 211 kilometer sejam (km/j), terbaik dalam kelasnya.

Lebih menarik, enjin ini juga dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih cekap dengan catatan tujuh liter bagi setiap 100 kilometer.

SUV yang dibina dengan menggunakan platform Efficient Modular Platform (EMP2) ini menampilkan banyak pembaharuan dari segi dalaman atau luaran sekali gus tampil lebih elegan dan kontemporari.

Lebih elegan

Bagi varian Active THP, ia menampilkan lampu utama halogen dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus halogen dan lampu belakang LED halogen dan roda aloi 18 inci yang dibaluti tayar Continental ContiCrossContact LX2 tyres (225/55).

Bagi Allure THP iaitu varian dengan spesifikasi tertinggi pula, ia menerima lebih banyak elemen menarik termasuk lampu utama LED penuh dengan lampu nyalaan siang LED, dan lampu membelok jujukan serta pakej luaran GT Line.

Selain itu, ia turut menampilkan gril yang berlainan bersama pelindung bampar hadapan warna perak dan kemasan krom pula menghiasi seksyen bawah pada bahagian sisi varian ini.

Bahagian kabinnya, kedua-dua varian dilengkapi dengan Peugeot i-Cockpit berserta rekaan yang lebih bergaya terutama suis, roda stereng berbentuk segi empat tepat dan tuil gear yang direka menarik.

Ia juga menampilkan butang dial rotary Advanced Grip Control yang membolehkan pemandu memilih lima mod pemanduan.

Harga menarik

Dari segi infortainmen, Peugeot 3008 tampil dengan kluster instrumen digital 12.3 inci, dengan paparan definisi tinggi yang memaparkan maklumat pemanduan.

Selain itu, ia turut mengetengahkan skrin sesentuh lapan inci pada papan pemuka yang bertindak sebagai 'pemain utama' untuk hiburan serta kawalan suhu dwi zon.

Peugeot 3008 turut menawarkan elemen termasuk sambungan Android Auto, Apple CarPlay dan MirrorLink.

Lain-lain elemen yang ditampilkan termasuk sambungan Bluetooth dan USB, brek parkir elektronik serta sistem bunyi 3D Arkamys bersama enam pembesar suara.

Dari segi harga, varian Active THP ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM142,888, manakala Allure THP (RM155,888).

Ia termasuk jaminan lima tahun atau 120,000 km serta servis 24 jam Peugeot Assistance.

Peugeot 3008 ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Metallic Copper, Magnetic Blue, Amazonite Grey, Ultimate Red dan Pearl White.

Info:
Peugeot 3008

* Harga atas jalan tanpa insurans

- Varian Active THP RM142,888

- Varian Allure THP RM155,888

* Enjin petrol 1.6L THP 165 S&S

* Transmisi automatik 6 kelajuan bersama Tiptronic dan mod Sport

* 165 hp dan tork 240 Nm

* Kluster instrumen digital 12.3 inci

* Skrin sesentuh 8 inci

* Sambungan Android Auto, Apple CarPlay dan MirrorLink

* 6 beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, kawalan Cengkaman, Kawalan Kestabilan Dinamik, Program Kestabilan Elektronik, Bantuan Mendaki Bukit, Bantuan Kekal Lorong, pengesan parkir hadapan dan belakang serta kamera undur

Berita Harian X