Sabtu, 16 September 2017 | 8:00am
MODEL baharu supercub Honda RS150R yang tampil lebih sporty.

BSH perkenal wajah baharu RS150R

SELEPAS setahun berada dalam pasaran tempatan, Boon Siew Honda (BSH) menampilkan model supercub Honda RS150R yang ditampilkan dengan pilihan warna baru yang lebih sporty.

Honda RS150R ini ditawarkan dalam tiga warna baru iaitu Edisi Trico, Candy Scintillate Red dan Pearl Nightfall Blue Bagaimanapun, warna eksklusif sedia ada, Repsol masih dikekalkan.

Model yang sudah berada di bilik pameran pengedar Honda sejak 8 Ogos lalu dengan 2017 ditawarkan pada harga yang disyorkan bermula dari RM8,478.94 (warna Candy Scintillate Red dan Pearl Nightfall Blue) hingga RM8,796.94 (Edisi Trico dan Repsol).

Model ini dilengkapi enjin DOHC 150cc satu silinder dengan sistem penyejukan cecair dan dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Kekal kuasa

Ini menawarkan kuasa 15.4 kuasa kuda (hp) pada 9,000 rpm, manakala tork pula 13.5Nm pada 6,500 rpm.

Spesifikasi lain juga sama dengan model sebelum ini dengan berat RS150R adalah 123 kilogram (kg).

Ia dilengkapi tangki minyak dengan kapasiti 4.5 liter dan menggunakan brek cakera di bahagian hadapan dan belakang.

Dengan warna baharu ditambah pula dengan bentuk badan agresif, wajah depan dan rekaan lampu yang tajam serta rangka badan yang berlapis, ia menjadikan RS150R sangat unik dan mampu menyaingi model seumpamanya di pasaran.

Dengan purata lebih dari 2,000 unit terjual setiap bulan, ia masih lagi menerima permintaan tinggi dari pasaran.

BSH turut meningkatkan kapasiti pengeluaran model ini untuk memastikan semua pembeli mampu mendapatkannya secepat mungkin.

RS150R didatangkan dengan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana dulu).

Info:
RS150R

  • Harga yang disyorkan bermula dari RM8,478.94 (warna Candy Scintillate Red dan Pearl Nightfall Blue) hingga RM8,796.94 (Edisi Trico dan Repsol)
  • Enjin DOHC 150cc satu silinder dengan sistem penyejukan cecair
  • 15.4 hp @ 9,000rpm, tork 13.5Nm @ 6,500rpm.
Berita Harian X