Rabu, 26 Julai 2017 | 2:37pm

Lexus LC 500 dilancar di Malaysia

PETALING JAYA: Lexus Malaysia, cabang perniagaan kenderaan mewah UMW Toyota Motor Sdn Bhd, melancarkan model serba baharu Lexus LC 500 untuk pasaran tempatan hari ini.

LC 500 yang kali pertama dipertontonkan awal tahun ini, memukau perhatian dunia dengan rekaan serta kelengkapan teknikal canggih yang turut memberikannya prestasi sebuah supercar.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy, berkata LC 500 adalah model terkini yang menyertai barisan kenderaan Lexus lain yang ditawarkan di Malaysia yang kini berjumlah sembilan model.

Katanya, model berkenaan ialah sebuah kereta yang menakjubkan dan membuatkan ramai orang ingin memilikinya.

Senarai tempahan LC 500 juga pantas bertambah yang mana di Jepun, tempahan terhadap model itu sudah meningkat tiga kali ganda berbanding sasaran 600 unit setahun.

"Syarikat menyasarkan untuk menjual kira-kira 10 unit model ini tahun ini," katanya pada majlis pelancaran model itu di sini.

Bagi pasaran tempatan, Lexus Malaysia menawarkan LC dalam varian yang dilengkapi enjin 5.0 liter V8 petrol yang menjana sebanyak 470PS (351kW) kuasa kuda dan kilas (tork) 540Nm.

Unit ini digandingkan dengan transmisi automatik Direct Shift 10-kelajuan, pertama bagi kereta penumpang premium.

Dijual pada harga RM940,000 (tidak termasuk insurans), LC 500 ditawarkan dalam 11 pilihan warna dengan tiga tema warna pilihan bagi ruang dalaman.

Setiap unit model itu didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta servis percuma.

Berita Harian X