ZAMAN kegilaan muzik rock n roll tahun 1960- an. Sekumpulan remaja berjaket kulit, berseluar jeans dan memakai but kulit, berlegar-legar di ruang pakir sebuah cafe di Britain dengan motosikal Triumph, AJS, BSA, Norton, Moto-Guzzi dan Ducati.
Mereka, yang juga digelar 'rockers', akan memainkan lagu pada jukebox kafe berkenaan sebelum memecut motosikal masing-masing di laluan yang sudah ditetap dan kembali ke kafe sebelum lagu yang dimainkan itu berakhir. Ramai yang tidak kembali sama sekali. Mereka ini ialah 'cafe racer'.
Selepas 40 tahun, genre cafe racer bangkit semula dan semakin ramai pengikut di negara ini, justeru Triumph, jenama ikonik motosikal Britain, mengambil peluang berkenaan dengan mengembalikan model lagenda cafe racer menerusi pengenalan Thruxton R.
Sekali imbas, Thruxton R menerapkan sedikit reka bentuk jentera perlumbaan Grand Prix pada era 1950-an dengan rekaan tangki yang panjang, kedudukan pemegang yang rendah dan tempat duduk tunggal.
Tunggang uji Thruxton R, model cafe racer yang diberi nafas baru ini adalah sesuatu yang amat dinantikan. Pada pandangan awal, Thuxton R bagaikan 'supermodel' British yang amat menawan dengan bentuk badan yang seksi, yang mana pasti mencuri tumpuan orang ramai di mana saja ia ditunggang.
Menambahkan lagi 'faktor wow' adalah ia dilengkapi brek premium Brembo dengan kaliper monoblock; fork depan terbalik dipadankan dengan piston besar Showa. Belakangnya pula dilengkapi suspensi lengan ayun Ohlins dan tayar Pirelli Diablo Rosso Corsa yang terbukti cepat panas untuk cengkaman lebih padu.
Memperhebatkan lagi penampilannya adalah seni kejuruteraan motosikal yang amat halus dengan emblem ikonik Triumph terpapar di setiap sudut, termasuk dalam lampu hadapan.
Thruxton R juga didatangkan dengan pelbagai peralatan elektronik antaranya pendikit ride-by-wire, pilihan tiga mode tunggangan, sistem kawalan cengkaman (TC), sistem ABS, lampu belakang LED dan lampu nyalaan siang hari (DRL) LED.
Motosikal tunggang uji ini juga turut dipasang dengan komponen tambahan selepas jualan iaitu exzos Vance & Hines, yang jelas menghasilkan bunyi yang lebih garang sebaik saja enjin dihidupkan.
BH Auto menguji di laluan Batu Caves, Ulu Yam Lama, Batang Kali sebelum ke Awana, Genting Highland. Terlalu banyak boleh dikatakan mengenai motosikal ini, namun memandang ruang penulisan agak terhad, secara ringkasnya, Thruxton R membawa tema retro cafe racer ke peringkat yang amat tinggi.
Enjin Thruxton R 1,200cc dengan penyejukan cecair dan tiga mod tunggangan berserta pelbagai suis yang mudah diakses, jelas memudahkan penulis menjiwai sepenuhnya kuasa enjin.
Thruxton R tidak mempunyai skrin LCD yang besar, namun ia tetap mampu memaparkan maklumat mencukupi pada skrin kecil di dalam meter. Tork Thruxton R adalah sangat tinggi, justeru membolehkan penulis melakukan pertukaran gear dengan cepat. Sistem suspensinya juga agak keras dan sesuai untuk tunggangan agresif.
Terasa nikmat apabila tayar Rosso Corsa beraksi secara harmoni dengan sistem gantungan Showa dan Ohlins, sekali gus membantu penulis 'berperang' dengan setiap selekoh tajam dengan bergaya. Meskipun, beratnya lebih 200 kilogram, namun ia lincah dihayun ke kiri dan kanan.
Sudah lebih seminggu, penulis memulangkan semula model tunggang uji ini kepada Fast Bikes Sdn Bhd, terasa 'rindu' pula pada Thruxton R, lebih-lebih lagi setelah diberitahu pengedar Triumph di Malaysia itu, harganya kini sudah disemak semula kepada RM83,900 daripada RM91,900 sebelumnya.
Thruxton R adalah antara model pilihan penulis kerana rupa bentuknya yang 'tidak hilang ditelan zaman' berserta kenikmatan tunggangan. Inilah kelahiran semula cafe racer sebenar.
Spesifikasi: Triumph Thruxton R
Enjin: 1200cc; sejukan cecair; 8 valve; SOHC; 270 darjah sudut crank berkembar sebaris
Kuasa: 97 PS/ 96 Bhp (72 kW) @ 6750 rpm
Tork: 112 Nm @ 4950 rpm
Kluc: Basah; kluc bantuan plet berganda
Kotak gear: 6 kelajuan
Brek depan: Twin floating Piring Brembo terapung
Brek belakang: Brembo Monobloc
Fork depan: Showa piston besar boleh laras
Suspensi belakang: Ohlin berkembar boleh laras
Sistem pendikit: Ride-by-wire
Penggunaan petrol: 5 L/100km
Berat kering: 206 kg
Kapasiti tangki: 14.5 L