Jumaat, 17 March 2017 | 12:02am

Nasi Lemak Tong Sampah laris

SUNGAI PETANI: Dengar sahaja nama 'Nasi Lemak Tong Sampah' pasti ramai terkejut dan berasa jijik terutama dengan pelbagai imaginasi yang mungkin timbul di sebalik nama unik juadah itu.

Penulis sendiri tergamam apabila pelbagai imej timbul di fikiran susulan kreativiti peniaga dewasa ini sehingga membayangkan pengusaha berkenaan menggunakan tong sampah sebagai bekas untuk menghidangkan nasi lemak.

Tanggapan itu ternyata meleset kerana keunikan nama Nasi Lemak Tong Sampah yang diusahakan Romli Bahari, 65 dan isteri, Azizah Man, 61, sebenarnya diambil bersempena kewujudan sebuah tong sampah milik Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) yang terletak berhampiran gerai mereka di Taman Mutiara, di sini.

Mengakui jolokan diberikan itu kurang enak, Romli bagaimanapun mengakui ia sedikit pun tidak menjejaskan perniagaan mereka yang mula bertapak di kawasan berkenaan sejak 1992.

Tidak hairanlah menu dengan nama unik itu mempunyai peminatnya tersendiri bukan sahaja dalam kalangan Melayu, malah kaum lain seperti Cina, India dan Siam.

ROMLI Bahari (kanan) dan isterinya, Azizah Man, bersyukur nasi lemak mereka menjadi pilihan menu sarapan penduduk sekitar Taman Mutiara. - Foto Nor Farhani Che Ad
ROMLI Bahari (kanan) dan isterinya, Azizah Man, bersyukur nasi lemak mereka menjadi pilihan menu sarapan penduduk sekitar Taman Mutiara. - Foto Nor Farhani Che Ad

Mengulas nama itu, Romli yang juga bekas tentera berkata jolokan Nasi Lemak Tong Sampah diberi penduduk sekitar memandangkan pada awal perniagaan mereka terdapat sebuah tong sampah milik MPSP berhampiran tapak gerai itu yang terletak di kawasan padang permainan.

Katanya, walaupun tong sampah itu kini tidak lagi wujud, jolokan diberikan pelanggan itu tetap kekal sehingga ke hari ini, namun ada juga beberapa pelanggan baharu mengenalinya dengan panggilan nasi lemak padang.

"Menu nasi lemak kami cukup mudah iaitu hanya berlaukkan ikan bilis goreng, telur rebus dan sambal. Walaupun biasa, pelanggan setia kami ramai sehinggakan 21 kilogram (kg) beras atau kira-kira 500 bungkus nasi lemak yang dijual habis hanya dalam tempoh dua jam.

"Saya dan isteri mula berniaga selepas bersara daripada tentera, dengan niat untuk menambah sumber pendapatan dan ketika itu jualan kami hanya pada kadar sekilogram beras. Alhamdulillah, selepas lebih 20 tahun nasi lemak yang kami jual masih mendapat sambutan," katanya yang berniaga seawal jam 7.30 pagi.

Sementara itu, Azizah berkata, tiada resipi rahsia digunakan untuk membuatkan pelanggan sentiasa mencari nasi lemak itu, namun rata-rata pelanggan mengakui nasi lemak yang dijual tahan lebih lama kerana sambal dibungkus berasingan daripada nasi.

ROMLI (dua dari kanan) dan Azizah sibuk menyiapkan bungkusan nasi lemak yang dipesan pelanggan. - Foto Nor Farhani Che Ad
ROMLI (dua dari kanan) dan Azizah sibuk menyiapkan bungkusan nasi lemak yang dipesan pelanggan. - Foto Nor Farhani Che Ad

"Kami guna kaedah pengasingan itu selepas memikirkan kebanyakan nasi lemak mudah basi sekiranya disimpan lama. Syukur kaedah ini membantu memudahkan pelanggan.

"Malah ada juga pelanggan kami yang membawa nasi lemak naik kapal terbang sebagai ole-ole untuk keluarga yang tinggal di luar negara dan ia terbukti tidak basi walaupun melalui perjalanan jauh membabitkan tempoh kira-kira lapan jam.

"Selain tahan lama, kami gunakan santan yang diperah sendiri serta ramuan lengkap seperti rempah ratus tertentu dan penggunaan halia serta daun pandan bagi menghasilkan rasa nasi lemak yang sebenar dengan aroma wangi," katanya yang mengaku bangun seawal jam 2.30 pagi bagi menyiapkan bahan memasak sebelum keluar melakukan jualan nasi lemak. 

Pelanggan, Ang Paik Hiok, 52, berkata dia antara pelanggan setia Nasi Lemak Tong Sampah sejak kira-kira 18 tahun lalu dan hampir setiap pagi, ia menjadi menu sarapan wajib buat keluarga.

"Sejak anak masih di sekolah rendah sehingga mereka sudah bekerja, kami sekeluarga masih menjadi pelanggan setia nasi lemak ini dan kadang-kadang, ahli keluarga dari Kuala Lumpur yang datang akan bawa pulang sebagai bekalan," katanya.

ANTARA pelanggan setia nasi lemak disediakan Romli (kiri) dan isterinya. - Foto Nor Farhani Che Ad
ANTARA pelanggan setia nasi lemak disediakan Romli (kiri) dan isterinya. - Foto Nor Farhani Che Ad

Pelanggan, Abdul Rahman Kechik, 59, berkata Nasi Lemak Tong Sampah mempunyai rasa berbeza dengan sambalnya yang tidak pedas dan nasi yang sedap serta wangi, membuatkan ia boleh dimakan pelbagai lapisan umur tanpa mengira kaum.

"Biarpun dikaitkan dengan nama tong sampah, mereka yang pernah mencuba nasi lemak pasangan ini pasti akan kembali untuk mendapatkannya lagi," katanya.

INFO: Nasi Lemak Tong Sampah

  • Nama diambil bersempena kewujudan sebuah tong sampah milik Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) yang terletak berhampiran gerai mereka di Taman Mutiara.

  • Mula bertapak di Taman Mutiara sejak 1992.

  • Hanya berlaukkan ikan bilis goreng, telur rebus dan sambal.

  • Dijual pada harga RM1, RM1.50 dan RM2 tertakluk pada lauk.
ROMLI (dua dari kiri) dan Azizah (kiri) sibuk menyiapkan tempahan pelanggan. - Foto Nor Farhani Che Ad
ROMLI (dua dari kiri) dan Azizah (kiri) sibuk menyiapkan tempahan pelanggan. - Foto Nor Farhani Che Ad
JOLOKAN Nasi Lemak Tong Sampah diberi penduduk sekitar kerana dahulu tidak jauh dari gerai itu ada tong sampah MPSP. - Foto Nor Farhani Che Ad
JOLOKAN Nasi Lemak Tong Sampah diberi penduduk sekitar kerana dahulu tidak jauh dari gerai itu ada tong sampah MPSP. - Foto Nor Farhani Che Ad
Berita Harian X