Sabtu, 11 March 2017 | 12:10am

Puas makan udang bersaiz XXL di Tanjong Malim

UDANG galah segar tarikan utama tetamu ke Restoran Garden Seafood yang dibuka setiap hari.
UDANG galah segar tarikan utama tetamu ke Restoran Garden Seafood yang dibuka setiap hari.

MAKANLAH udang puas-puas. Saiznya besar, harganya juga berpatutan. Anda boleh nikmati udang galah bersaiz XXL apabila berkunjung di Tanjong Malim, Perak!

Penulis melihat sendiri udang galah segar bersaiz XXL ketika berkunjung ke Restoran Garden Seafood untuk makan tengah hari. Bukan sekadar saiznya yang besar, harganya pula berpatutan.

Pengarah Urusan Garden Seafood, Peh Teong Hooi berkata, udang galah yang ada di restorannya bersaiz U3 dan sukar diperoleh di perairan Malaysia, sebaliknya perlu mengimport dari pembekal di Indonesia.

"Di Malaysia, masih ada udang galah, tapi saiznya tak besar dan tak banyak. Indonesia kaya dengan udang galah bersaiz XXL atau U3. Udang galah jenis ini besar-besar, baru puas makan!" katanya.

PEH (tengah) bersama pelayan dan tukang masak.
PEH (tengah) bersama pelayan dan tukang masak.

Permintaan sentiasa meningkat

Udang galah siap masak, lazimnya yang paling popular di restoran ini. Dimasak bersama keju, sepinggan ada lima ekor berharga sekitar RM300 saja. Jauh beza harganya di Kuala Lumpur, yang boleh boleh mencecah hampir RM800!

Selain udang galah semua menu di restoran ini seperti ayam, daging dan kambing, mempunyai status halal.

"Di Tanjong Malim, hanya kami satu-satunya premis makanan yang mengusahakan makanan laut dan mempunyai status halal.

"Hampir 90 peratus pelanggan terdiri daripada orang Islam. Apabila masuk bulan puasa, permintaan udang galah semakin tinggi kerana orang Islam gemar memesan udang galah sebagai hidangan utama berbuka puasa," katanya.

UDANG galah goreng mentega.
UDANG galah goreng mentega.

Kambing lada putih

Selain udang galah dan udang laut, Restoran Garden Seafood juga popular dengan masakan kambing lada putih.

Hooi berkata, beliau tidak menggunakan kambing tempatan, sebaliknya di import dari Australia dan New Zealand kerana kualitinya, sekali gus menyajikan rasa lebih enak.

Biarpun sedikit mahal, sekali 'pekena', pasti terbayang-bayang! Tidak ketinggalan menu lain seperti terung udang kering dan tauhu istimewa buatan sendiri, begitu menyelerakan dan puas hati!

"Saya sering berbincang dengan tukang masak, mana-mana menu yang perlu penambahbaikan dan beri layanan lebih baik kepada pelanggan," kata Hooi yang fasih berbahasa Melayu.

FAKTA NOMBOR:

  • -RM300 - harga lima ekor udang galah U3
  • -200 kilogram - udang galah diperlukan
  • INFO:

  • - Lokasi: 7-8 & 9A, Jalan Wangsa Utama, Taman Wangsa, Tanjong Malim, Perak
  • - Tempahan: 017 870 3398
  • -Udang galah saiz U3 bermaksud satu kilogram bersamaan tiga ekor udang galah.
  • - Antara menu popular udang galah keju mentega, udang laut mentega oat, sotong madu, siakap tiga rasa, kambing lada putih dan terung udang kering.
Berita Harian X