Jumaat, 10 March 2017 | 12:03am

Pakaian bundle 'sembunyi' harta karun

SARIKEI: Pakaian terpakai atau bundle mempunyai kelompok peminat tersendiri. Walaupun dijual di tepi jalan, kelihatan lusuh dan harganya murah, bundle ada keistimewaan, terutama bagi penggemar koleksinya.

Ramai tidak tahu, bundle ada kalanya menyimpan harta karun yang bernilai tinggi. Bagaimanapun, mereka perlu rajin 'menyelam' bagi mendapatkan pakaian yang mungkin dianggap 'rare' atau jarang diperoleh.

Bagi peminat, keadaan pakaian bukan ukuran kerana yang penting kualitinya. Malah, ada yang sanggup menghabiskan masa lama di tapak bundle semata-mata untuk memilih pakaian terbaik dan menjadikannya sebagai koleksi peribadi.

AWANG Zaidi menunjukkan sebahagian pakaian bundle yang mendapat permintaan tinggi pelanggan digerainya. - Foto Khalid Latip
AWANG Zaidi menunjukkan sebahagian pakaian bundle yang mendapat permintaan tinggi pelanggan digerainya. - Foto Khalid Latip

Penjualnya, Awang Zaidi Awang Yusuf, 38, berkata permintaan orang ramai terhadap pakaian bundle tidak pernah bermusim dan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

"Orang ramai bebas memilih dan tidak perlu berbelanja besar. Setiap pakaian yang dijual di sini berharga serendah RM5. Sebahagiannya amat sukar ditemui di tempat lain. Ada yang mengikut perkembangan fesyen dan tidak kurang juga berstatus vintage," katanya ketika ditemui BH Plus.

Awang Zaidi yang mengusahakan perusahaan itu sejak tiga tahun lalu memberitahu, pakaian bundle hari ini diminati oleh semua peringkat masyarakat tanpa mengira pangkat mahu pun kedudukan.

Bukan sekadar itu, katanya, ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mencari koleksi pakaian yang diminati mereka.

"Saya buka gerai bundle setiap hujung minggu di Pasar Sentral Sarikei. Sambutannya memang cukup menggalakkan. Jumlah pelanggan pula meningkat tiga kali ganda setiap kali acara keramaian berlangsung di sini.

"Lazimnya, pakaian dibawa dari Selangor, Kuching dan Sabah bagi menampung permintaan pelanggan yang sentiasa meningkat pada setiap bulan. Semua pakaian yang saya jual masih dalam keadaan baik dan harganya pula amat berpatutan," katanya.

MOHD Hanif Ali Hassan (kanan) melayan pelanggan di gerai bundle miliknya. - Foto Khalid Latip
MOHD Hanif Ali Hassan (kanan) melayan pelanggan di gerai bundle miliknya. - Foto Khalid Latip

Seorang lagi peniaga, Mohd Hanif Ali Hassan, 28, berkata walaupun kebanyakan seluar jeans yang dijualnya murah, dia sentiasa mengutamakan kualiti bagi menjamin kepuasan pelanggan.

Katanya, ada antara pelanggan beruntung kerana berpeluang mendapatkan seluar bundle berjenama dijual dengan harga yang jauh lebih rendah.

"Dalam timbunan pakaian yang dijual itu memang ada yang asli. Bagaimanapun, pelanggan perlu rajin menyelam. Untuk mendapatkan barangan bundle yang 'rare' dan berkualiti, kena tahu caranya," katanya.

Peminat bundle, Abdul Amin Jamaluddin, 30, berkata dia adalah pengumpul baju vintage tegar sejak di bangku sekolah dan sanggup ke mana sahaja membeli pakaian itu untuk kegunaan sendiri.

"Saya pernah beli sehelai baju kumpulan rock dengan harga RM10 tetapi ada yang sanggup menawarkan harga sehingga RM1,200 kerana keasliannya dan tidak lagi dijual di mana-mana tempat. Bagaimanapun, sehingga kini saya tidak berhasrat menjualnya," katanya.

INFO:

  • Tiada tulang, dua atau tiga kain, satu jahit dan kepala kain antara istilah digunakan bagi menilai kualiti pakaian bundle.
  • Bundle ada gred harganya tersendiri daripada serendah RM1 hingga ke ribuan ringgit.
  • Ada pakaian yang import daripada luar negara dan sebahagiannya dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.
  • Peniaga bundle Sarikei menawarkan harga cukup berpatutan kepada pelanggan.
  • Permintaan terhadap pakaian bundle tidak bermusim sebaliknya sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.
  • Selam, satu perkataan yang digunakan oleh peminat bundle ketika memilih pakaian kegemaran.
  • Bagi membezakan asli atau sebaliknya, lihat jenis kain dan tanda nama kerana ia disertakan nombor siri.
ORANG ramai memilih pakaian yang baru dikeluarkan daripada guni di gerai bundle. - Foto Khalid Latip
ORANG ramai memilih pakaian yang baru dikeluarkan daripada guni di gerai bundle. - Foto Khalid Latip
PAKAIAN bundle biasanya disimpan dalam karung guni. - Foto Khalid Latip
PAKAIAN bundle biasanya disimpan dalam karung guni. - Foto Khalid Latip
SELAIN harga yang murah, pelanggan juga bebas memilih pakaian yang mereka minati. - Foto Khalid Latip
SELAIN harga yang murah, pelanggan juga bebas memilih pakaian yang mereka minati. - Foto Khalid Latip
YANA Bundle antara gerai yang menjadi pilihan orang ramai di Sarikei. - Foto Khalid Latip
YANA Bundle antara gerai yang menjadi pilihan orang ramai di Sarikei. - Foto Khalid Latip
KAKITANGAN Badrulhj Sarikei Bundle bersedia untuk melonggokkan pakaian bundle yang tiba untuk dipilih pelanggan. - Foto Khalid Latip
KAKITANGAN Badrulhj Sarikei Bundle bersedia untuk melonggokkan pakaian bundle yang tiba untuk dipilih pelanggan. - Foto Khalid Latip
MOHD Hanif Ali Hassan menunjukkan seluar jeans bundle yang dijual digerainya. - Foto Khalid Latip
MOHD Hanif Ali Hassan menunjukkan seluar jeans bundle yang dijual digerainya. - Foto Khalid Latip
Berita Harian X