Selasa, 7 March 2017 | 12:10am

Kanak-kanak umur 8 tahun sudah boleh jahit skirt

KUALA LUMPUR: Jarang si kecil dibiarkan bermain mesin jahit, malah untuk memegang jarum kerana dikhuatiri boleh mencederakan atau lebih tepat lagi, belum tiba usia sepatutnya.

Kanak-kanak perempuan lazimnya, dibiasakan bermain dengan anak patung manakala lelaki diberikan kereta mainan, robot atau digalakkan dengan aktiviti lasak.

Namun, jika diteliti ilmu menjahit ini berkait rapat perkembangan motor halus seperti kebolehan kanak-kanak menggunakan anggota seperti tangan dan kaki untuk membuat gerakan. Misalnya, usaha si kecil memasukkan benang ke dalam lubang jarum, merangsang gerakan memegang, menggenggam dan menggunakan jari.

Menyedari manfaat itu, kelas jahitan, Junior Sewing World memberi peluang kanak-kanak lelaki dan perempuan mengikuti bimbingan menjahit, selain berpeluang belajar kraftangan.

Menariknya, dalam setiap sesi selama dua jam itu, kelas bimbingan jahitan berkenaan hanya membabitkan 10 kanak-kanak supaya tumpuan dapat diberikan secara individu.

Selain itu, kelas dua kali sebulan itu turut menekankan penggunaan bahan kitar semula, sekali gus lebih ekonomi, tidak membebankan berikutan material jahitan bahan sudah digunakan.

Ini sekali gus menarik minat kanak-kanak mempelajari seni jahitan kerana mereka berpeluang membuat rantai kunci burung hantu, skirt menggunakan kemeja terpakai dan banyak lagi.

GOET Lee (kiri) memberi tunjuk ajar menjahit kepada Nicole Kam pada sesi kelas jahitan asas. - Foto Rohanis Shukri
GOET Lee (kiri) memberi tunjuk ajar menjahit kepada Nicole Kam pada sesi kelas jahitan asas. - Foto Rohanis Shukri

KANAK-KANAK seawal usia 7 tahun belajar menjahit di kelas jahitan asas. - Foto Rohanis Shukri
KANAK-KANAK seawal usia 7 tahun belajar menjahit di kelas jahitan asas. - Foto Rohanis Shukri

Seronok belajar menjahit

Bagi Nur Iman Annisa' Mohamed Iqbal, 10, ini adalah kelas sesi kedua pembelajarannya di Sewing World Gallery dan menyifatkan aktiviti disertainya menarik.

"Saya diajar dari peringkat asas dan apabila sudah mula mahir jahitan tangan, cikgu mengajar kami menggunakan mesin pula.

"Misalnya, projek cenderahati burung hantu sebelum ini memberikan makna tersendiri kerana ia buatan tangan pertama dan tidak sangka hasilnya begitu menakjubkan," katanya yang tinggal di Bandar Saujana Putra.

Nur Iman Annisa' juga sudah mampu menyiapkan skirt pada kelas yang kedua dengan menggunakan kemeja terpakai ibunya.

Sementara itu, Nurul Qaisya Amira Nor Azlan, 9, berkata kelas jahitan itu sesuai dengan peringkat usianya dan ia menyeronokkan. Malah, dua kakaknya turut mengikuti kelas jahitan berkenaan.

"Pada mulanya, saya rasakan aktiviti ini sukar berikutan perlu kemahiran jahitan, penggunaan mesin, peralatan gunting dan perlu mengikuti ukuran yang ditetapkan.

Namun, selepas dua kelas bimbingan asas, saya semakin yakin dan teruja untuk menantikan projek seterusnya kerana setiap bulan, projek jahitan berbeza," katanya yang tinggal di Gombak, Selangor.

Kata Nurul Qaisya Amira, ibunya turut mengikuti program jahitan, sekali gus mengisi masa terluang hujung minggu mereka sekeluarga.

AKTIVITI menjahit ini menyeronokkan kerana ia mengisi masa hujung minggu, berpeluang mempelajari asas jahitan dan menguji kemampuan kanak-kanak. - Foto Rohanis Shukri
AKTIVITI menjahit ini menyeronokkan kerana ia mengisi masa hujung minggu, berpeluang mempelajari asas jahitan dan menguji kemampuan kanak-kanak. - Foto Rohanis Shukri

Mudah diikuti

Chin Tzyy Anne, 9, pula berkata, beliau ditemani nenek setiap kali kelas berlangsung berikutan ibu bapa bekerja, menyifatkan kelas berkenaan menarik, mudah diikuti dan diajar langkah demi langkah.

"Sebenarnya ini pendedahan pertama saya dalam bidang jahitan dan tidak sangka ia menyeronokkan kerana ada saja projek baharu dari minggu ke minggu.

Sekurang-kurangnya, hasil jahitan itu bolehlah jual kepada kawan di sekolah kerana barang itu comel dan jahitan kemas. Saya boleh jadikan ia hobi yang menjana pendapatan," katanya yang tinggal di Putra Height.

Murid Tahun Dua, Sarah Nabihah Sharul Nizal, 8, pula selalu ditemani ibunya, Lily Azlina Ahmad, 42, yang bertugas sebagai pensyarah.

"Aktiviti ini menyeronokkan kerana ia mengisi masa hujung minggu, berpeluang mempelajari asas jahitan dan menguji kemampuan kanak-kanak seusia ini untuk mahir menjahit.

"Biarpun hanya baru beberapa kali kelas, saya teruja untuk datang ke sini kerana berpuas hati dengan hasil jahitan dan guru pula sentiasa berada di sisi memberikan bimbingannya," katanya yang tinggal di Putra Height.

Bagi ibunya Lily Azlina, anaknya menunjukkan minat biarpun pada awalnya anak ketiga hanya menjadi peneman, berikutan ia satu-satunya anak perempuan.

"Jadi alang-alang saya ke sini mengikuti kelas dewasa, anak juga memperoleh kemahiran tambahan supaya tumpuan tidak hanya diberikan pada akademik saja," katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Sewing World Gallery, Fully Chye Goet Lee, 50, berkata idea mewujudkan kelas khusus untuk kanak-kanak sudah lama namun tertangguh kerana kekangan masa.

"Namun, pada Februari lalu, saya memulakan kelas kanak-kanak kerana mahu lebih ramai kanak-kanak menyertainya kerana bidang seni jahitan sangat luas, mampu memberikan peluang dan menggalakkan penggunaan barangan terpakai.

Katanya, selain menggalakkan kemahiran motor halus, kemahiran motor kasar juga penting bagi kanak-kanak membuat gerakan kerana pembelajaran kemahiran jahitan sangat luas.

"Kemahiran ini penting bagi kanak-kanak dapat memanipulasi kemahiran, koordinasi, keseimbangan dan kestabilan bagi membuat gerakan. Justeru, dengan menjahit perkembangan motor kanak-kanak bukan saja menjadi lebih baik malah ia juga membantu anak-anak membangunkan daya tumpuan mereka," katanya yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang jahitan.

SENI jahitan beri keseronokan kepada kanak-kanak, asah kemahiran dan kreativiti. - Foto Rohanis Shukri
SENI jahitan beri keseronokan kepada kanak-kanak, asah kemahiran dan kreativiti. - Foto Rohanis Shukri

Peluang olah kreativiti

Katanya, kelas jahitan itu membabitkan murid berusia tujuh tahun ke atas dan pembelajaran mengambil masa enam bulan. Yuran dikenakan hanya RM300 manakala kelas diadakan dua kali sebulan.

Peserta diajar menjahit menggunakan kain felt dan juga menghasilkan bantal lembut bercorak burung hantu mereka sendiri.

"Ini memberikan peluang kanak-kanak mengolah kreativiti masing-masing di bawah pemantauan saya atau tiga guru pembimbing lain," katanya.

KANAK-KANAK seawal usia 7 tahun belajar menjahit di kelas jahitan asas. - Foto Rohanis Shukri
KANAK-KANAK seawal usia 7 tahun belajar menjahit di kelas jahitan asas. - Foto Rohanis Shukri

INFO

  • Kelas bermula dengan langkah keselamatan
  • Pada permulaan peserta diajar menggunakan jarum bersaiz besar.
  • Mereka diajar jenis jahitan jelujur, membuat simpulan benang.
  • Projek seterusnya belajar menggunakan jenis jahit.
  • Kelas pada Sabtu antara jam 4 hingga 6 petang
  • Kelas pada Ahad antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari.

ATIKAH Muhd Shufi (dua dari kanan) menunjukkan cara menjahit kepada tiga adik-beradik (dari kiri) Nurul Shafini, Qhaisah Amira dan Nurul Shamimi di kelas jahitan, Junior Sewing World. - Foto Rohanis Shukri
ATIKAH Muhd Shufi (dua dari kanan) menunjukkan cara menjahit kepada tiga adik-beradik (dari kiri) Nurul Shafini, Qhaisah Amira dan Nurul Shamimi di kelas jahitan, Junior Sewing World. - Foto Rohanis Shukri
NURUL Iman belajar memotong kain di kelas jahitan asas, Sewing World Gallery. - Foto Rohanis Shukri
NURUL Iman belajar memotong kain di kelas jahitan asas, Sewing World Gallery. - Foto Rohanis Shukri
Berita Harian X