Isnin, 6 March 2017 | 12:10am

Melayu, Iban, Melanau melukis kaligrafi Cina

SIBU: Kaligrafi Cina lazimnya hanya dipelajari dan dipraktikkan oleh komuniti Cina di negara ini.

Mereka diajar teknik menggunakan berus, cara tekanan jari di batang berus dan di atas kanvas serta cara menilai hasil kaligrafi yang baik bermula di bangku sekolah rendah aliran cina dan jarang diajar secara terbuka di tempat lain.

Namun di Sibu, kaligrafi Cina menjadi penanda aras tahap persepakatan kaum di Sarawak apabila seramai 6,140 penduduk kaum Cina, Iban, Melayu, Melanau dan pelbagai suku kaum lain hadir memecahkan rekod acara penulisan kaligrafi Cina terbesar negara untuk dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records.

Berlangsung di Unicity, Sungai Merah, di sini, baru-baru ini, acara unik yang jelas memaparkan perpaduan kaum ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu, sempena sambutan ulang tahun ke-40 penubuhannya, selain turut disenaraikan dalam Kalendar Tahun Melawat Sibu 2017.

SEBAHAGIAN daripada 6,140 penduduk kaum Cina, Iban, Melayu, Melanau dan pelbagai suku kaum lain yang hadir dalam acara penulisan kaligrafi Cina terbesar negara untuk dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records. - Foto Harun Yahya

Ribuan peserta bukan Cina yang hadir tidak kelihatan kekok mengawal berus kaligrafi mereka dan bersungguh-sungguh meniru kertas tulisan cina yang diedarkan bagi membantu memecahkan rekod berkenaan.

Presiden UCA, Kong Hain Khin, berkata acara itu tidak hanya mendapat perhatian komuniti setempat, bahkan turut menambahkan daya penarik di Sibu, terutama dalam kalangan pelancong asing untuk mengenali seni kaligrafi Cina.

Malah, katanya, program itu turut diadakan bagi mendedahkan orang ramai mengenai keunikan warisan kebudayaan itu yang menjadi kebanggaan masyarakat Cina, khususnya dalam kalangan generasi muda.

"Kita menjemput menjemput 'mahaguru' kaligrafi tempatan untuk memberikan tunjuk ajar mengenai seni ini. Ini antara inisiatif UCA untuk memulihara kesenian ini yang kini sangat jarang dipraktikkan oleh generasi muda.

ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam acara penulisan kaligrafi Cina terbesar negara untuk dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records. - Foto Harun Yahya
ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam acara penulisan kaligrafi Cina terbesar negara untuk dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records. - Foto Harun Yahya

"Selain memecah rekod, kita juga mengadakan pertandingan kaligrafi bagi mengiktiraf bakat anak muda dalam seni ini," katanya ketika ditemui BH Plus.

Hadir sama Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh dan Residen Sibu, Hii Chang Kee.

Hain Khin berkata, lebih menarik apabila acara itu turut disertai masyarakat berbilang bangsa, sekali gus menonjolkan semangat perpaduan dan keharmonian yang terjalin dalam kalangan penduduk Bumi Kenyalang.

"Bukan hanya masyarakat Cina, malah ada orang Melayu dan Iban turut serta membantu memecahkan rekod lama acara itu yang sebelum ini membabitkan penyertaan 3,000 peserta," katanya.

SERAMAI 6,140 penduduk kaum Cina, Iban, Melayu, Melanau dan pelbagai suku kaum lain hadir dalam acara penulisan kaligrafi Cina terbesar negara untuk dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records. - Foto Harun Yahya

Beliau berkata, penganjur sedang berusaha mengemukakan rekod itu ke London bagi percubaan mendapatkan pengiktirafan Guiness Book of World Records untuk kategori sama.

"Semua video dirakam dan dokumen berkaitan akan digunakan, termasuk pendaftaran dan 'barcode' peserta yang hadir akan dihantar ke London untuk pengesahan rekod.

"Keputusan rekod dunia ini akan diumumkan kemudian. Kita yakin tidak menghadapi sebarang masalah berikutan semua prosedur dilaksanakan, selain turut disaksikan oleh beberapa orang penting di sini," katanya.

Beliau berharap rekod kali ini kekal lama berikutan pihak yang mahu memecahkan rekod itu perlu menambah jumlah peserta sekurang-kurangnya 20 peratus atau lebih 7,000 berbanding jumlah peserta sedia ada.

PRESIDEN UCA, Kong Hain Khin bergambar dengan sijil rekod yang dipecahkan dalam acara penulisan kaligrafi Cina terbesar negara. - Foto Harun Yahya
PRESIDEN UCA, Kong Hain Khin bergambar dengan sijil rekod yang dipecahkan dalam acara penulisan kaligrafi Cina terbesar negara. - Foto Harun Yahya

Sementara itu, peserta, Wong Hua Yiing, 65, berkata beliau sudah lama mempelajari seni tulisan kaligrafi Cina dan penganjuran acara memecah rekod itu sangat mengujakannya.

"Saya suka kaligrafi dan saya mahu seni ini dikekalkan. Kini, saya menggalakkan cucu-cucu saya mempelajari seni tulisan kaligrafi yang unik ini," katanya yang juga jurulatih wushu berpengalaman.

INFO

  • 6,140 penduduk bandar Sibu menyertai program melukis kaligrafi Cina.
  • Rekod lama acara melukis kaligrafi Cina sebelum ini, 3,000 peserta.
  • Rekod baharu MBOR dihantar ke London bagi percubaan mendapatkan pengiktirafan Guiness Book of World Records untuk kategori sama.
PESERTA menunjukkan kaligrafi Cina yang dihasilkan oleh mereka. - Foto Harun Yahya
PESERTA menunjukkan kaligrafi Cina yang dihasilkan oleh mereka. - Foto Harun Yahya
WONG Hua Yiing menunjukkan kaligrafi Cina yang dihasilkan olehnya. -Foto Harun Yahya
WONG Hua Yiing menunjukkan kaligrafi Cina yang dihasilkan olehnya. -Foto Harun Yahya
URUSETIA acara mengumpul setiap hasil tulisan kaligrafi bagi proses pengiraan. - Foto Harun Yahya
URUSETIA acara mengumpul setiap hasil tulisan kaligrafi bagi proses pengiraan. - Foto Harun Yahya
Berita Harian X