Isnin, 6 March 2017 | 12:04am

Naskhah klasik dalam catan songket

Faizal bersama karya lukisan Gunung Ledang yang dipamerkan di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya. - Foto SAIFULLIZAN TAMADI/BH
Faizal bersama karya lukisan Gunung Ledang yang dipamerkan di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya. - Foto SAIFULLIZAN TAMADI/BH

KUALA LUMPUR: Naskhah klasik kesusasteraan Melayu mampu mencetus inspirasi kepada pembaca yang benar-benar menikmati khazanah besar bangsa yang tidak ternilai itu.

Ibarat pepatah lama, apa yang baik jadikan teladan, perkara yang buruk dijadikan sempadan, maka naskhah seperti Sulalatus Salatin atau Hikayat Hang Tuah terbuka kepada seribu tafsiran.

Bagi pelukis dan kurator, Faizal Sidik, episod peminangan Puteri Gunung Ledang yang terakam dalam kedua-dua naskhah itu merakamkan kegilaan penguasa memuaskan nafsunya sendiri meskipun terpaksa meletakkan beban yang bukan sedikit kepada rakyatnya.

Reaksi Faizal terhadap episod itu menzahirkan siri lukisan peminangan Puteri Gunung Ledang yang menghimpunkan 18 lukisan landskap menuju ke puncak gunung.

Sebahagian daripada 54 karya seni halus

Siri itu menjadi sebahagian daripada 54 karya seni halus yang dipamerkan menerusi Pameran 'Faizal Sidik: Catan Songket' di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya (UM) di sini.

Jelas Faizal, kisah yang diangkat daripada teks klasik itu walaupun sudah berabad-abad berlalu, mesejnya kekal relevan hingga ke hari ini kerana ia adalah peringatan supaya tidak mengulangi kesilapan serupa.

Namun sesuai dengan namanya songket, catan dengan pelbagai warna dan gaya dipersembahkan kepada khalayak sebagai bukti orang Melayu memiliki kehebatan yang setara dengan penggiat seni antarabangsa.

Tradisi songket bukti kebijaksanaan pembuat

"Tradisi songket ialah bukti kebijaksanaan pembuatnya dalam sifir matematik ditambah dengan tenunannya halus dan kaya pula dengan corak serta motif.

"Karya ini boleh dikongsi bersama-sama dalam arena seni lukis antarabangsa, apatah lagi ia juga seni kraf tradisional Malaysia yang sangat dikenali," katanya.

Malah dalam konteks yang lebih luas, catan songket itu sendiri menjadi kesinambungan tradisi seni Melayu itu. Menarik juga untuk melihat Taman Impian Ledang II yang dihasilkan dengan ukuran 549 sentimeter (cm) x 123.5 cm yang mungkin boleh dikatakan sebagai catan songket terpanjang yang pernah dihasilkan.

Catan itu memperlihatkan ketelitian Faizal dalam menggambarkan sebuah taman yang dipenuhi bunga-bungaan.

Secara keseluruhan, pameran itu menghimpunkan 10 catan, 40 lukisan dan lakaran serta empat arca yang mengambil inspirasi corak bunga songket antara lainnya bunga bintang, bunga tanjung, matahari dan awan larat.

Berita Harian X