MELAKA: Semangat keperwiraan yang menebal mendorong bekas tentera membina replika binaan bersejarah dan unik di rumahnya di Kampung Permatang, Klebang Besar, di sini.
Apa tidaknya, halaman rumah Saron Jalil, 65, dari Batu Pahat, Johor, itu ibarat kota bersejarah dengan replika keris Taming Sari gergasi dan binaan Kota A Famosa yang dijadikan sebagai garaj kereta atau pelamin sanding bagi majlis perkahwinan.
Malah, keunikan itu bukan sekadar di halaman rumah, bahkan di bahagian dalam dan bilik tidur dengan katil, meja solek dan almari dibentuk menggunakan simen fero.
Saron berkata, beliau menghasilkan replika berkenaan daripada simen fero yang turut dikenali sebagai simen konkrit selepas belajar membuatnya selama tiga bulan ketika mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian Melaka.
Katanya, pada mulanya beliau lebih cenderung dengan hiasan landskap taman, tetapi apabila didedahkan dengan teknik membuat simen fero, hatinya terus terpaut.
Minat dalam bidang landskap dan pembinaan menggunakan bahan itu, katanya, mendorong beliau memenuhi masa lapang selepas 21 tahun bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membentuk kediaman unik dan mempunyai daya tarikan tersendiri.
"Sebelum bersara, saya bersama 10 lagi rakan lain diberi peluang mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian negeri bersama penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dulunya dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia.
"Dari situlah minat saya bermula terhadap simen fero ini," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Bapa kepada lima anak itu berkata, penghasilan sesuatu bentuk menggunakan simen fero perlulah kreatif dan mempunyai pelbagai idea selain untuk melakar bentuk arca bagi memberi kesan semula jadi.
"Ketelitian penting bagi menghasilkan simen fero terbaik yang bukan sahaja bermutu malah mempunyai nilai sentimental tersendiri.
"Setakat ini saya hanya membuat simen fero secara suka-suka, namun turut menerima tempahan secara kecil-kecilan dengan harga berpatutan," katanya.
Setakat ini, beliau memanfaatkan beberapa bahan terbuang untuk digunakan membuat simen fero, sekali gus menghargai barangan lama untuk dikomersialkan.
Katanya, antara barangan lama yang boleh digunakan semula untuk membuat simen fero ialah kawat besi, batu merah, tong plastik, kepingan besi dan botol terbuang yang dikutip.
"Barangan ini bukan saja boleh digunakan semula sebagai rangka untuk membuat simen fero, malah lebih mudah untuk dibentuk menjadi arca yang dikehendaki.
"Ada orang cakap bila masuk bidang ini perlu modal yang tinggi, namun sebenarnya terpulang kepada seseorang individu itu, macam saya selagi boleh guna barang terpakai saya akan aplikasikan.
"Saya kemudian akan menggunakan dawai untuk dijadikan sebagai kerangka untuk seni yang mahu dibina seterusnya berusaha memperbaiki setiap kelemahan dilakukan hingga berpuas hati," katanya.
Saron berkata, disebabkan minat yang mendalam, kini reka cipta simen feronya mula dikenali bukan saja dalam kalangan penduduk, malah orang luar.
"Saya sentiasa mendapat reaksi positif masyarakat yang memuji kreativiti dalam menghasilkan beberapa projek keceriaan berasaskan simen feron di kawasan rumah dan kampung.
"Alhamdulillah, hobi ini bukan setakat di rumah, malah saya sanggup mengeluarkan modal sendiri membina replika keris di pintu masuk kampung, binaan landskap di jalan berhampiran surau, tadika dan juga rumah anak. Sekurang-kurangnya apabila sudah tiada (meninggal dunia), ada kenangan yang saya tinggalkan di sini," katanya berseloroh.
INFO
- Rekaan pertama yang dihasilkan adalah kolam ikan yang mengambil tempoh masa sebulan untuk disiapkan.
- Menggunakan dawai untuk dijadikan sebagai kerangka seni.
- Belajar cara membuat simen fero ketika mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian Melaka, sebelum bersara.