Sabtu, 25 Februari 2017 | 12:00am

Burger hentak dalam roti hitam di restoran hipster

BURGER roti hitam arang buluh cetus fenomena.
BURGER roti hitam arang buluh cetus fenomena.

PENGHASILAN daging burger yang baharu dikenali sebagai 'smash burger', bermaksud bebola daging yang dimasak di atas pemanggang atau kuali 'dihentak' menggunakan alat khas supaya ia penyek menjadi pipih atau leper.

Ini penting supaya tekstur atau jalinan daging berkenaan menjadi garing di luar, sekali gus mengekstrak jus di bahagian dalam. Teknik 'smash burger' popular dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan remaja di Amerika Syarikat (AS) dan kini ia sedang menular di Malaysia.

Justeru, bagi memperoleh pengalaman baharu dan unik menikmati daging burger yang 'dihentak' atau 'smash burger', bolehlah berkunjung ke Restoran Loveats terletak di Taman Universiti, Tanjong Malim, Perak.

FAZLIZAM (kanan) melihat pekerjanya memanggang daging.
FAZLIZAM (kanan) melihat pekerjanya memanggang daging.

Hampir semua buatan sendiri

Memilih konsep hipster, Restoran Loveats menampilkan 'smash burger' yang dinikmati bersama roti burger atau hotdog hitam, dikenali sebagai roti arang buluh.

Fenomena roti arang buluh menjadi pilihan penduduk Jepun yang kreatif dan inovatif dalam semua aspek kehidupan mereka. Roti burger hitam yang menggunakan serbuk arang buluh masih baharu di Malaysia, namun ia semakin popular, sekali gus mendapat sambutan kerana kelembutannya berbanding roti burger biasa.

Kualitinya juga dikatakan setanding roti burger atau hotdog digunakan restoran popular makanan segera.

Pemilik restoran ini, Fazlizam Abas, berkata beliau bersama rakan kongsinya, Azwan Muhammad, menjadikan Loveats berbeza dengan restoran seumpama apabila menampilkan keistimewaan unik.

Selain teknik smash burger dan penggunaan roti arang buluh untuk menyuntik kelainan, semua bahan utama termasuk roti, malah daging burger dan hot dog seperti ayam, kambing, lembu serta ikan dihasilkan secara home made atau buatan sendiri.

PELBAGAI menu burger roti hitam arang buluh di Restoran Loveats, Taman Universiti, Tanjong Malim.
PELBAGAI menu burger roti hitam arang buluh di Restoran Loveats, Taman Universiti, Tanjong Malim.

"Kami tidak menggunakan khidmat pembekal kerana hampir semua bahan utama penghasilan burger dan hot dog adalah buatan sendiri.

"Inilah yang membezakan Loveats berbanding restoran lain yang menampilkan cita rasa makanan segera atau ala Barat," katanya.

Sos buatan sendiri

Fazlizam berkata, sos yang mereka guna adalah resipi istimewa buatan sendiri.

Alhamdulillah, konsep dan teknik penghasilan makanan yang cuba diperkenalkan ini mendapat sambutan, terutama dalam kalangan remaja dan keluarga yang membawa anak-anak. Boleh dikatakan, pelanggan tetap kami terdiri daripada golongan pelajar kerana kedudukan restoran terletak berdekatan UPSI.

"Kami juga ada perancangan membuka cawangan di Bangi, namun biarlah Loveats menempa jenama lebih kukuh di Tanjong Malim terlebih dulu selepas empat tahun kami beroperasi," katanya yang mempunyai pengalaman berniaga burger di tepi jalan sekitar Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

FAKTA NOMBOR:

* 77.8 kilometer - jarak Tanjung Malim dari Kuala Lumpur

* 10 tahun - pengalaman berniaga

* 90 peratus - pelanggan pelajar universiti

INFO:

* Lokasi: Nombor 22, Jalan U1, Taman Universiti, Tanjong Malim, Perak (hanya tiga minit berkereta dari UPSI)

* Instagram / Facebook : @loveats / www.facebook.com/LoveatsKitchen

* Waktu operasi: setiap Ahad hingga Jumaat (jam 5 petang hingga 11 malam)

* Antara menu paling popular termasuklah The Black Pearl, The Big Billy, The King Fisher, The Boston Bob's dan Amazing Grilled Lamb Shoulder.

Berita Harian X