Jumaat, 24 Februari 2017 | 12:06am

Motivasi jadi Mukmin sejati

KEBAIKAN perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh. - Foto hiasan
KEBAIKAN perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh. - Foto hiasan

ALLAH SWT membawa satu pendekatan motivasi dan semangat kepada hamba-Nya supaya bersegera dan berlumba-lumba mengerjakan amalan kebaikan bagi mendapat keampunan serta balasan syurga.

Apabila masyarakat bersih daripada kezaliman, penindasan dan hidup berpuak-puak, tibalah pula pusingan menggunakan tenaga kerja pada tempat yang betul iaitu berlumba mendapatkan pengampunan dan syurga. Tumpuan umat hendaklah digerakkan ke arah pencapaian dua matlamat itu serentak.

Keampunan Allah SWT adalah matlamat yang ingin dicapai setiap Mukmin dan ia hanya boleh dicapai dengan bersegera tanpa bertangguh. Keampunan tidak diperoleh jika sikap malas dan mengambil mudah menyelubungi diri.

Allah SWT juga menceritakan sikap Nabi Zakaria melalui firman-Nya: "Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami." (Surah al-Anbiya', ayat 90)

Mukmin yang berhemah tinggi tidak sedia menerima kedudukannya pada tempat yang rendah, dia sentiasa berusaha mendapat tempat yang tinggi dan dihormati. Dunia ini pada hakikatnya tempat orang Mukmin berlumba menuju kemenangan, kejayaan dan kecemerlangan.

Hasad yang positif

Matlamat kedua perlu dicapai dalam persaingan sesama Mukmin ialah mendapatkan syurga, tempat disediakan Allah SWT bagi orang bertakwa, patuh kepada perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Oleh itu, bersihkan diri daripada dosa seperti makan riba dan berinfak kepada mereka yang memerlukan.

Abu Muslim berpendapat, perkataan luas dalam ayat ini merujuk kepada ketinggian martabat dan keunggulan nilainya. Jadi, tidak boleh dinilaikan pengertian luas dengan kebendaan walaupun betapa besarnya sesuatu benda itu.

Rasulullah SAW menjelaskan, kebaikan perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Sabda Baginda SAW: "Tidak boleh hasad kecuali pada dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta, lalu dia gunakan harta itu pada jalan kebenaran, dan seorang yang dianugerahkan ilmu, lalu dia amalkan ilmu itu serta diajarkannya kepada manusia lain." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hasad apabila benci melihat orang lain mendapat nikmat sementara ghibtah bermaksud rasa bangga dengan orang itu dan bercitacita mendapatkan kelebihan seperti mana didapati orang itu. Sifat ini amat terpuji dan hendaklah diserap dalam diri setiap individu.

Nikmat dunia sementara

Menurut Syiekh Sayyid Muhammad Tantawi, Allah SWT menyifatkan kelebaran syurga menyamai kelebaran langit dan bumi dengan pendekatan bandingan kerana dalam tasawwur, seorang manusia yang sederhana pengetahuannya, langit dan bumi adalah dua planet paling besar.

Semangat perlumbaan untuk mendapat keampunan dan kebaikan hanya tercetus kepada yang memahami hakikat bahawa kehidupan adalah tempat mencari bekalan bertemu dengan Allah SWT.

Jelas sekali, tiada sedikit pun kebaikan kepada mereka yang berlumba-lumba mengejar dunia semata-mata dan meninggalkan manhaj Allah SWT. Mereka hanya akan menimbulkan konflik, kerosakan dan huru-hara sahaja di atas muka bumi.

Sedangkan mereka yang berlumba untuk meraih apa yang disediakan Allah SWT akan mampu mengangkat dan meninggikan darjat manusia. Sesungguhnya kenikmatan dunia itu hanya berlangsung sesaat dan sangat cepat menghilang, manakala apa yang ada di sisi Allah SWT kekal berterusan tanpa batas.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources.

Berita Harian X