Selasa, 21 Februari 2017 | 12:17am

Gadis bersisik cadang tubuh Kelab Mutan-X

KUALA LUMPUR: Gadis kulit bersisik, Noor Shahira Redzuan, 17, berjaya memperoleh lesen memandu L selepas setahun usahanya menerusi pusat latihan memandu gagal kerana tidak memiliki cap jari.

Hasil pendedahan BH, gadis itu akhirnya dibenarkan menjalani Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP Test) secara bertulis di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Khamis lalu.

Noor Shahira berkata, beliau datang ke JPJ pada sebelah pagi seperti dimaklumkan dan terpaksa menunggu hingga petang kerana sesi pagi khas untuk pemegang kad orang kurang upaya (OKU) sedangkan beliau tidak dikategorikan sebagai OKU.

PENGARAH JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Md Ziki A Rahman (kanan) memberi kelulusan kepada gadis bersisik, Noor Shahira Redzuan untuk memohon lesen memandu tanpa biometrik di JPJ WPKL.
PENGARAH JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Md Ziki A Rahman (kanan) memberi kelulusan kepada gadis bersisik, Noor Shahira Redzuan untuk memohon lesen memandu tanpa biometrik di JPJ WPKL.

"Usaha untuk mendapat taraf OKU sangat sukar kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat mahu pengesahan pihak perubatan, manakala pihak perubatan pula mahu melihat sama ada masalah genetik yang dihadapi saya sejak lahir kekal begitu atau sebaliknya.

"Saya tidak faham apa yang ditunggu lagi selepas 17 tahun di bawah pemerhatian pakar perubatan, kecacatan kulit bersisik tidak diiktiraf OKU yang menyebabkan saya terpaksa berusaha menjadi normal, bukan OKU.

"Untuk menjadi normal, tiada pilihan lain kecuali mencari perubatan alternatif. Alhamdulillah, usaha sebulan lalu sudah menampakkan perubahan genetik ke arah normal," katanya kepada BH Plus.

BH bulan lalu mengetengahkan isu golongan bersisik seperti Noor Shahira yang disahkan menghidap palmoplantar keratoderma berdepan masalah untuk memperoleh lesen memandu dan melakukan urusan rasmi akibat tiada cap jari.

GADIS bersisik, Noor Shahira Redzuan dibenar memohon lesen memandu tanpa biometrik.
GADIS bersisik, Noor Shahira Redzuan dibenar memohon lesen memandu tanpa biometrik.

Susulan itu, sekumpulan pakar perubatan Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mula mengkaji keunikan dan faktor populasi terbanyak golongan kulit bersisik jenis Ichthyosis di Baling, Kedah.

Ini kerana mengikut pengalaman pakar perubatan alternatif, golongan ini memiliki sistem imunisasi terbina dalam badan terhadap racun, bisa serta tahap intelektual normal atau lebih daripada orang lain.

Dalam pada itu, Noor Shahira mengucapkan terima kasih kepada Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Md Ziki A Rahman, dan BH yang mengetengahkan isu golongan sepertinya sehingga diberi perhatian pelbagai pihak.

"Sisik tangan sebelah kiri sudah mula lembut, menggelupas dan 50 peratus sisik hilang. Bagaimanapun masih terlalu awal untuk saya dedahkan kaedah alternatif yang digunakan.

PERBEZAAN antara tangan normal dengan tangan penghidap palmoplantar keratoderma.
PERBEZAAN antara tangan normal dengan tangan penghidap palmoplantar keratoderma.

"Saya percaya perubahan positif ini kerana saya tidak menganggapnya sebagai satu penyakit seperti tanggapan awam yang memandang jijik. Jika penyakit ada ubatnya tetapi ini adalah perubahan genetik bukan penyakit, maka ia diurus sebagai mutasi genetik," katanya.

Noor Shahira meminta orang ramai yang mengalami masalah kecacatan atau mutasi gen yang tidak lengkap sepertinya supaya menghubunginya bagi perkongsian maklumat dan pengalaman, di talian 019 3982700.

"Jangan malu untuk mengakui kita adalah golongan Mutan-X," katanya yang sedang berusaha menubuhkan kelab atau pertubuhan Mutan-X.

INFO

- Noor Shahira yang disahkan menghidap palmoplantar keratoderma.

- Berjaya memperoleh lesen memandu L selepas setahun.

- Sisik tangan sebelah kiri sudah mula lembut, menggelupas dan 50 peratus sisik hilang.

GADIS kulit bersisik, Noor Shahira Redzuan berjaya memperoleh lesen L di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wangsa Maju.
GADIS kulit bersisik, Noor Shahira Redzuan berjaya memperoleh lesen L di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wangsa Maju.
NOOR Shahira Redzuan menunjukkan tapak tanganya mula bertambah baik. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
NOOR Shahira Redzuan menunjukkan tapak tanganya mula bertambah baik. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
TAPAK tangan Noor Shahira Redzuan mula bertambah baik. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
TAPAK tangan Noor Shahira Redzuan mula bertambah baik. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
NOOR Shahira Redzuan yakin setiap penyakit ada penawarnya. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
NOOR Shahira Redzuan yakin setiap penyakit ada penawarnya. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
Berita Harian X