Isnin, 20 Februari 2017 | 12:06am

Sewa 'Food Truck' jual sate

KOTA BHARU: Jika 11 tahun lalu, perniagaan sate yang diusahakan seorang pemuda bersama keluarganya hanya di sebuah restoran di Lebuh Raya Machang-Tanah Merah, namun atas inisiatifnya dipermodenkan menggunakan trak.

Wan Mohd Asrul Wan Ahmad, 29, berkata beliau mendapat idea menjalankan perniagaan sate menerusi trak makanan 'Food Truck' sebaik tamat pengajian di Institut Kemahiran Belia Tinggi Negara (IKBN) Bachok pada 2010.

PERNIAGAAN sate menerusi trak makanan 'Food Truck' milik Wan Mohd Asrul. - Foto Syamsi Suhaimi
PERNIAGAAN sate menerusi trak makanan 'Food Truck' milik Wan Mohd Asrul. - Foto Syamsi Suhaimi

"Saya melihat jualan sate yang diusahakan ayah, Wan Ahmad Wan Ismail di restoran kami tidak begitu memberangsangkan jualannya.

"Ketika itu saya memikirkan bagaimana ingin mengembangkan legasi perniagaan sate bapa yang diusahakannya selepas bersara daripada bidang perguruan, kira-kira 10 tahun lalu.

"Apabila melihat sebuah trak makanan, maka timbul idea untuk menjual sate menggunakan kenderaan, memudahkan saya datang ke pelanggan.

"Impian itu akhirnya termakbul apabila Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menawarkan trak makanan kepada peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS), apabila meluluskan permohonan saya awal tahun ini," katanya kepada BH Plus.

HARGA sate 60-80 sen secucuk. - Foto Syamsi Suhaimi
HARGA sate 60-80 sen secucuk. - Foto Syamsi Suhaimi

Wan Mohd Asrul berkata, trak makanan yang diberikan KADA itu bernilai RM80,000 sebuah dengan bayaran ansuran RM1,700 sebulan untuk tempoh lima tahun.

"Saya juga mengeluarkan kos RM1,500 bagi mengubah suai trak makanan berkenaan, di mana ruang penyediaan dan pembakaran bagi memudahkan pelanggan mendapatkan sate segar lagi panas.

"Selain mengelilingi sekitar bandar Kota Bharu, trak makanan berkenaan diletakkan di Dataran Rehal, iaitu kawasan yang dikhaskan KADA.

"Jika sebelum ini, sate hanya boleh didapati di restoran atau warung, kini saya berjaya melakukan kelainan iaitu berniaga di dalam trak," katanya.

PENGUNJUNG menunggu giliran untuk mendapatkan tempahan sate. - Foto Syamsi Suhaimi
PENGUNJUNG menunggu giliran untuk mendapatkan tempahan sate. - Foto Syamsi Suhaimi

Beliau berkata, selepas lima tahun, trak makanan berkenaan akan menjadi miliknya.

Program anjuran KADA yang pertama kali diadakan di Kelantan itu dilihat berupaya membantu peserta memperoleh pendapatan bersih sehingga RM5,000 sebulan.

Untuk program itu seramai 10 peniaga PKS dipilih KADA bagi mengembangkan perniagaan, sekali gus menambah pendapatan peserta.

Beliau bersyukur pembaharuan yang dilakukan menampakkan hasil walaupun baru beberapa hari beroperasi di Dataran Rehal.

"Insya-Allah kini saya dalam proses menyediakan menu terbaru iaitu kambing golek kepada pelanggan yang berkunjung, selain menikmati sate," katanya.

Seorang pelanggan, Muhamad Izwan Ahmad Azmi, 26, berkata sate yang dibeli daripada Wan Mohd Asrol dijual pada harga berpatutan selain dapat merasai kelainan pada kuah kacangnya.

"Saya suka makan sate. Apabila saya datang ke sini dan merasai sendiri sate yang disediakan dalam trak, ia terbukti sedap dan kuah kacangnya enak," katanya.

INFO:

- Perniagaan diusahakan sejak 11 tahun lalu.

- RM1,700 sewa trak selama 5 tahun.

- Harga sate 60-80 sen secucuk.

- 10 trak makanan beroperasi di Dataran Rehal.

- Mula beroperasi di Dataran Rehal pada 12 Februari.

Berita Harian X