X
Khamis, 16 Februari 2017 | 12:04am

Sutan Puasa menetap di Jalan Ampang

PERKAMPUNGAN Mandailing sudah pun wujud di Kuala Lumpur sebelum ibu negara Malaysia itu dibangunkan Sutan Puasa sekitar 1830, sekali gus menjadikannya sebagai tokoh yang membuka wilayah berkenaan.

Pengkaji sejarah dan penerbit dari Areca Books, Abdur-Razzaq Lubis, berkata fakta itu menjadikan Sutan Puasa sebagai individu yang bertanggungjawab dalam merancang dan membangunkan wilayah baharu berkenaan, sebagai pusat perniagaan dan ekonomi sebelum kedatangan British pada 1875.

Malah Sutan Puasa yang berasal daripada keturunan bangsawan di Tobang, Sumatera mendapat sokongan daripada orang Mandailing lain yang berada di sekitar Kuala Lumpur seperti Raja Asal dan Raja Bilah, selain kapitan Cina.

Lari dari Perang Padri

"Sutan Puasa yang dikenali juga sebagai Sutan Naposo, datang ke Tanah Melayu kerana lari daripada Perang Padri yang berlangsung di kampung halamannya dari 1803 hingga 1838.

PENGKAJI sejarah dan penerbit dari Areca Books, Abdur-Razzaq Lubis. - Foto ihsan Google
PENGKAJI sejarah dan penerbit dari Areca Books, Abdur-Razzaq Lubis. - Foto ihsan Google

"Sebelum Hui Siew diangkat sebagai Kapitan Cina pertama di Kuala Lumpur dan kedatangan Ah Sze Keledek, Sutan Puasa terlebih dulu berada di situ serta tinggal di lokasi yang kini dikenali sebagai Ampang Road (Jalan Ampang).

"Malah beliau yang menjemput Hui Siew dan Ah Sze Keledek untuk datang ke Kuala Lumpur dan sama-sama membangunkan kawasan berkenaan," katanya kepada Sastera & Budaya BH, di sini.

Abdur-Razzaq berkata, sekitar 1800 banyak penempatan baharu di Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain di Tanah Melayu dibuka oleh keturunan Mandailing.

"Antaranya Ampang dibuka Raja Beranang dan kawasan Bunus yang kini sebahagian Kampung Baru (Tok Bunus). Di Teluk Intan, ia mengambil nama wanita keturunan Mandailing yang membuka kawasan itu dikenali sebagai Mak Intan sebelum British menukar nama menjadi Teluk Anson.

"Apabila Perang Kelang tercetus antara 1867 hingga 1874, Sutan Puasa terbabit secara langsung apabila menyokong Raja Mahadi.

"Apabila pasukan Raja Mahadi tewas, Kuala Lumpur diserahkan kepada Kapitan Cina Kuala Lumpur ketiga, Yap Ah Loy yang menyokong Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad," katanya.

YAP Ah Loy (kiri) dan Sutan Puasa atau nama sebenarnya ialah Sutan Naposo. - Foto ihsan daulah rakyat
YAP Ah Loy (kiri) dan Sutan Puasa atau nama sebenarnya ialah Sutan Naposo. - Foto ihsan daulah rakyat

Abdur-Razzaq yang turut menulis artikel, Sutan Puasa The Founder of Kuala Lumpur yang diterbitkan oleh Jurnal of Southeast Asia Architecture 2013 berkata, pada akhir 1871 Sultan Puasa mengumpulkan pengikutnya di Hulu Langat bagi mendapatkan kembali Kuala Lumpur yang dikuasai Yap Ah Loy tetapi usaha itu gagal.

"Sutan Puasa melarikan diri ke Kelang tetapi kemudiannya ditangkap sebelum dipenjarakan selama setahun dan hanya dibebaskan dengan jaminan berjumlah 6,000 ringgit dan hukuman berkelakuan baik. Detik itu menyaksikan Kuala Lumpur di bawah penguasaan kepada Yap Ah Loy sepenuhnya.

"Kekeliruan fakta yang menyebut Yap Ah Loy atau Raja Abdullah sebagai pembuka Kuala Lumpur adalah disengajakan kerana ia menjadi persaingan antara etnik.

"Hari ini waris Sutan Puasa masih ada dan masih tinggal di Kuala Lumpur antaranya ialah penyanyi, Datuk Sheila Majid," katanya.

KERATAN akhbar BH, 15 Februari 2017.
KERATAN akhbar BH, 15 Februari 2017.
RAJA Mahadi adalah putera Sultan Sulaiman yang pernah memerintah Klang. Perang Saudara di Selangor berpanjangan dari tahun 1867 hingga 1873. - Foto ihsan Google
RAJA Mahadi adalah putera Sultan Sulaiman yang pernah memerintah Klang. Perang Saudara di Selangor berpanjangan dari tahun 1867 hingga 1873. - Foto ihsan Google
Berita Harian X