Khamis, 16 Februari 2017 | 12:03am

Burger sengkuang menguntungkan

KUALA TERENGGANU: Sebut saja 'Burger Wan', ramai akan terbayang akan keenakan rasanya yang unik, berbeza dengan kebanyakan burger yang berada di pasaran.

Jika burger biasa dimakan bersama salad, timun, tomato, sos dan mayonis, burger yang diusahakan Mohd Awang Abdullah, 55, itu dicampur dengan lapisan sengkuang, lobak merah serta daun sup.

"Itulah yang memberikan kelainan akan rasa 'Burger Wan'. Sayuran ini dihiris agak tebal bagi memberi kerangupan pada setiap gigitan burger, manakala daun sup memberikan rasa segar apabila pelanggan memakannya, sos lada hitam digunakan sekiranya pelanggan mahukan rasa burger lebih pedas.

"Jadi, tidak hairanlah burger ini menjadi pilihan penduduk sekitar Kuala Terengganu, pelancong dan orang kenamaan (VIP), antaranya kerabat diraja Terengganu iaitu Almarhumah Tengku Datuk Farah Quraishiyah Sultan Mahmud.

"Resepinya yang unik dan lambat basi itu, turut dijadikan 'ole-ole' oleh warga asing terutama Vietnam, Indonesia, Thailand serta Brunei, yang membelinya untuk dibawa pulang ke negara mereka," katanya kepada BH Plus.

Mohd Awang berkata, beliau membelanjakan sekitar RM500 hingga RM700 untuk modal harian, membeli barangan mentah termasuk sayuran, roti, daging burger dan sos.

MOHD Awang menunjukkan burger daging yang dijual di kedainya di Jalan Sultan Mahmud. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
MOHD Awang menunjukkan burger daging yang dijual di kedainya di Jalan Sultan Mahmud. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

MOHD Awang menyiapkan burger yang ditempah oleh pelanggannya. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
MOHD Awang menyiapkan burger yang ditempah oleh pelanggannya. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

"Burger yang dijual ialah daging, ayam dan arnab iaitu serendah RM3.30 hingga RM7.20 sebiji. Sehari, saya mampu meraih RM700 dan pada musim cuti sekolah atau cuti panjang, jualannya mampu mencecah sehingga RM1,500.

"Syukur Alhamdulillah, dengan hasil pendapatan menjual burger ini, saya mampu menghantar anak melanjutkan pengajian ke universiti," kata bapa kepada tiga anak berusia setahun hingga 30 tahun itu.

Menyingkap kerjaya sebagai penjual burger, beliau berkata, ia bermula pada 1991 secara sambilan bersama rakan bagi mencari pendapatan tambahan untuk menyara keluarga.

"Melihat prospeknya besar, akhirnya saya nekad berhenti kerja sebagai pembantu pejabat dan berniaga burger sepenuh masa.

"Ketika itu ramai yang mencemuh dengan tindakan berkenaan, namun saya tidak sedikit pun berasa goyah, sebaliknya membuktikan perniagaan itu mampu menjana pendapatan berkali ganda lebih lumayan berbanding ketika makan gaji," katanya.

Katanya, lokasi gerai burger beliau yang strategik iaitu berhampiran Stadium Negeri dan bertentangan dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), sedikit sebanyak membantu melariskan jualan.

ANTARA cara yang digunakan oleh Mohd Awang untuk membuat burger di di kedainya. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
ANTARA cara yang digunakan oleh Mohd Awang untuk membuat burger di di kedainya. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

MOHD Awang menyiapkan burger yang ditempah oleh pelanggannya di Jalan Sultan Mahmud. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
MOHD Awang menyiapkan burger yang ditempah oleh pelanggannya di Jalan Sultan Mahmud. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

"Promosi orang ramai daripada mulut ke mulut juga banyak membantu. Yang seronoknya, bila sebut pasal burger, orang akan memperkatakan 'burger Wan depan hospital' dan ini memudahkan kerja saya," katanya.

Walaupun mutakhir ini gerai menjual burger tumbuh bagai cendawan khususnya di bandar berkenaan, namun 'Burger Wan' tetap menjadi pilihan kebanyakan penggemar makanan segera itu di Terengganu.

"Ramai pelanggan datang ke kedai menyatakan rasa sangat puas hati dengan saiz burger dijual yang disifatkan mereka sebagai tidak berpatutan dengan harga. Biarpun harga barangan mentah sentiasa naik, namun saya masih mengekalkan harga sama sejak beberapa tahun lalu.

"Ditambah pula, menjadi prinsip saya yang sentiasa mementingkan kualiti, menyaksikan pelanggan yang lima hingga 10 tahun tidak datang pun mengakui rasa burger saya tetap sama seperti dulu," katanya.

Kecekapan Mohd Awang menguruskan ratusan permintaan pelanggan seorang diri membangkitkan rasa kagum pada diri penulis, malah sepanjang rakaman diadakan, beliau tidak putus-putus menerima pesanan termasuk daripada panggilan telefon.

INFO:

  • Gerai 'Burger Wan' dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 6 petang hingga 12 malam.
  • Burger dijual pada harga serendah RM3.30 sebiji hingga paling mahal, RM7.20 sebiji.
MOHD Awang menyiapkan burger yang ditempah oleh pelanggannya. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
MOHD Awang menyiapkan burger yang ditempah oleh pelanggannya. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
ANTARA cara yang digunakan oleh Mohd Awang untuk membuat 'burger daging special'. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
ANTARA cara yang digunakan oleh Mohd Awang untuk membuat 'burger daging special'. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Berita Harian X