Ahad, 12 Februari 2017 | 12:07am

Rumah buluh dijual RM60,000

SUNGAI SIPUT: Keunikan buluh tidak boleh dinafikan hinggakan pujangga Melayu menjadikannya perumpamaan atau peribahasa lama dalam karya mereka.

Antaranya 'Kalau hendak meluntur buluh, biarlah dari rebungnya', begitu juga dengan 'Umpama aur dengan tebing', seakan memuji tumbuhan berkenaan.

Namun, bagi dua beranak iaitu Anum Nazahah, 26, bersama bapanya, Ahmad Mazlan Othman, 60, memiliki kreativiti tersendiri apabila menjadikan kelebihan buluh bagi membangunkan perniagaan dengan pembuatan pelbagai produk menerusi syarikatnya, Bamboo Jungle Adventures (BJA).

RUMAH buluh di kawasan Bamboo Jungle Adventure. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
RUMAH buluh di kawasan Bamboo Jungle Adventure. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Berbekalkan kepakaran yang ada, mereka menghasilkan rumah kecil, gazebo, anjung, pondok dan perabot serta kraftangan lain berasaskan buluh.

Biarpun kelihatan agak kusam dengan warna asalnya, perabot atau binaan yang dihasilkan mempunyai nilai estetika tersendiri, kelihatan lebih berseri apabila disapu dengan varnis.

Menurut bekas graduan Sarjana Muda Fizik (Elektronik), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, kreativiti mereka paling bernilai ialah sebuah rumah buluh pasang siap yang dijual pada harga RM60,000 ketika menyertai Pameran Floria 2015 di Putrajaya.

"Rumah buluh setinggi dua tingkat itu dilengkapi ruang tamu, satu bilik tidur di tingkat atas, bersambung dengan beranda serta beberapa perabot termasuk katil, penyangkut baju, meja ruang tamu dan rangka kusyen.

PERABOT buluh yang dihasilkan oleh Bamboo Jungle Adventures. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
PERABOT buluh yang dihasilkan oleh Bamboo Jungle Adventures. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

"Memandangkan buluh ini sudah diawet dan disapu varnis, jangka hayat rumah berkenaan mampu bertahan sehingga 30 tahun," katanya kepada BH Plus.

Menurut Anum Nazahah, beliau bersama bapanya, Ahmad Mazlan Othman, 60, yang juga Presiden Persatuan Buluh Malaysia (PBM), menubuhkan BJA di kawasan seluas 0.8 hektar di Kampung Temin, Sungai Siput, Perak sejak 2013.

"Ketika di UMS lagi saya mengkaji pokok buluh dan penggunaannya. Saya mendapati buluh lebih mudah direka bentuk, malah harganya amat murah dan bekalannya senang diperoleh berbanding kayu balak.

"Bagi pembuatan perabot atau lantai, buluh yang hendak ditebang berusia antara tiga hingga empat tahun, manakala bagi binaan struktur rumah buluh, pokok berusia enam tahun paling sesuai.

BILIK tidur rumah buluh yang dihasilkan oleh Bamboo Jungle Adventures. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
BILIK tidur rumah buluh yang dihasilkan oleh Bamboo Jungle Adventures. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

"Bagi mengelakkan buluh dimakan serangga perosak atau 'bubuk', proses pengawetan dengan merendamnya ke dalam air yang bercampur kimia selama dua minggu.

"Proses ini juga bagi membuang kanji dan gula pada bahagian dalamannya. Buluh itu kemudiannya dikeringkan dan disapu varnis, sekali gus memastikan kekuatan dan ketahanannya," katanya.

Beliau berkata, selain perabot dan pembuatan struktur binaan, BJA turut mengendalikan program latihan dan kursus bimbingan bagi tujuan komersial kepada pihak yang berminat.

"Latihan berbentuk kursus lima hari bagi setiap sesi itu mendapat perakuan pihak Lembaga Perkayuan Malaysia Berhad (MTIB).

"Selain itu, BJA juga menyediakan khidmat membaik pulih mana-mana bahagian produk buluh yang rosak kepada pelanggan yang membeli dengan mereka sekali gus menjimatkan kos," katanya.

Bagi menghidupkan suasana kedamaian di desa, BJA turut membina rumah buluh contoh di premis berkenaan untuk memberi peluang kepada pelanggan dan peserta kursus menikmati suasana berada dalam binaan seperti itu.

BAMBOO Jungle Adventures yang diusahakan Anum Nazahah Ahmad Mazlan bersama bapanya, Ahmad Mazlan Othnman. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
BAMBOO Jungle Adventures yang diusahakan Anum Nazahah Ahmad Mazlan bersama bapanya, Ahmad Mazlan Othnman. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sekiranya ada pihak yang ingin bermalam di situ BJA mengenakan bayaran RM150 .

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, beliau terbabit dalam beberapa projek besar berkaitan struktur buluh termasuk pembinaan empat unit chalet di kaki bukit Bukit Larut, Taiping dan Surau Buluh Kuala Kangsar.

"Projek yang didirikan melalui sumbangan wakaf itu kini 80 peratus siap," katanya.

INFO:

- pokok buluh cepat membesar dan matang untuk ditebang, kitaran hidupnya hanya tujuh tahun.

- berbeza dengan pokok balak memerlukan masa hingga 60 tahun untuk mencapai tempoh matang dan dapat ditebang semula.

- pokok buluh mempunyai kelebihan menyedut 30 peratus karbon dioksida, mengeluarkan lebih 30 peratus oksigen, menyumbang kepada keseimbangan alam.

PEMILIK Bamboo Jungle Adventures, Anum Nazahah. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
PEMILIK Bamboo Jungle Adventures, Anum Nazahah. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SURAU Buluh Kuala Kangsar yang didirikan melalui sumbangan wakaf yang 80 peratus sudah siap. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SURAU Buluh Kuala Kangsar yang didirikan melalui sumbangan wakaf yang 80 peratus sudah siap. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Berita Harian X