Khamis, 9 Februari 2017 | 12:08am

Rahsia pokok kelat di Gunung Jerai

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Kebajikan Pesakit Ichthyosis (PEKIM), Mohd Firdaus Mehat, percaya pokok bersisik dikenali sebagai pokok kelat yang ditemui di Hutan lipur Sungai Teroi, Kedah, boleh memberi petunjuk kepada masalah kulit yang dihadapi golongan sepertinya.

Katanya, pokok kelat atau dalam bahasa saintifik Syzgium spp itu ditemuinya dalam misi ke puncak Gunung Jerai.

Beliau percaya penawar yang membolehkan kulit kembali normal ada di situ, sekali gus menemukan jawapan kenapa populasi teramai penduduk yang menghadapi masalah kulit Ichtyhosis terdapat di Baling, Kedah.

gn4id:18855103

Setakat ini, katanya, misi merungkai misteri masalah kulit bersisik di Gunung Jerai adalah positif, berikutan penemuan pokok bersisik, dengan mengambil DNA pokok untuk perbandingan dengan DNA dirinya.

"Sama seperti teknik menghasilkan ubat, pil moden, kita ambil ekstrak untuk dijadikan ubat pil dan bahan lain untuk manfaat manusia sejagat.

"Saya akan pergi lagi ke Gunung Jerai untuk mengkaji keistimewaan sumber air yang dikenali air kehidupan. Apakah ia sama seperti air zam-zam yang sudah dibuktikan secara sains di bawah mikroskop," katanya kepada BH, selepas pertama kali ke Gunung Jerai, baru-baru ini.

KERATAN akhbar BH berkenaan gadis bersisik, Noor Shahira Redzuan pada 22 Januari lalu.
KERATAN akhbar BH berkenaan gadis bersisik, Noor Shahira Redzuan pada 22 Januari lalu.

Dalam perkembangan sama, tangan gadis bersisik, Noor Shahira Redzuan, 17 semakin menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh hasil daripada sumber yang sama di Gunung Jerai.

Mohd Firdaus berkata, jika pakar perubatan mula mengkaji cara moden, kami pula mula mengkaji mengikut kaedah Melayu dan hasil penemuannya nanti akan didedahkan kepada umum.

"Setakat ini nampaknya positif. Insya-Allah kami akan datang lagi," katanya.

Mohd Firdaus berkata, pengalamannya selama 43 tahun menghadapi masalah kulit bersisik dan keajaiban yang diceritakan mengenai Gunung Jerai mencetuskan ideanya untuk mencuba laluan alternatif yang berbeza dengan sains moden.

HUTAN lipur Sungai Teroi, Kedah. - Foto Ifwan Tun Tuah
HUTAN lipur Sungai Teroi, Kedah. - Foto Ifwan Tun Tuah

Katanya, keunikan Gunung Jerai berbanding tempat lain sinonim kelainan golongan bersisik berbanding manusia normal, sekali gus menimbulkan keinginan yang membuak-buak untuk beliau tahu mengenainya dengan lebih lanjut.

"Tambahan pula selepas pendedahan BH, pakar perubatan menunjukkan minat untuk mengkaji lebih lanjut kerana jelas beberapa aspek sudah terlepas pandang selama ini. Misalnya, dari segi imunisasi kami terbina dalam badan, tidak pernah sakit, penawar racun dan bisa," katanya.

Beliau berkata, dua responden menunjukkan sejenis ubat makan yang diberikan doktor menyebabkan terbantutnya tumbesaran fizikal, sedangkan normal bagi yang tidak langsung mengambilnya.

"Tujuan ekspedisi ini bukanlah untuk mencari ubat atau penawar kerana Ichthyosis bukan penyakit tetapi masalah genetik.

"Kajian mereka di seluruh dunia adalah dari segi sains moden. Jadi, saya ingin mencuba alternatif termasuk dari segi sejarah dan asal usul. Saya percaya laporan menyatakan Baling memiliki populasi paling ramai kulit bersisik di dunia bukan berlaku secara kebetulan," katanya.

INFO: Keajaiban Gunung Jerai

- Sebiji batu besar dipotong cantik seakan-akan potongan kek.

- Batu dalam batu, bukan batu dalam simen di sekitar Padang Tok Sheikh

- Garisan putih dalam batu, sebagai panduan mengadap kiblat dianggarkan beratus juta tahun kejadiannya

- Bongkah empat segi sama saiz di atas Padang Tok Sheikh

- Satu lopak air bentuk peta Semenanjung Tanah Melayu di Padang Tok Sheikh

- Air atas batu, di atas bukan di bawah, tidak pernah kering atau meresap ke dalam batu, sentiasa ada seperti air zam-zam.

- Satu sumber air atas batu dikenali sebagai Telaga Tok Sheikh tidak pernah kering airnya walaupun tiba musim kemarau.

- Pokok bersisik dikenali pokok kelat yang sama kulit golongan Ichthyosis dan hanya terdapat di Jerai.

- Air dan tumbuhan di Gunung Jerai dikatakan boleh menjadi penawar pelbagai masalah dan penyakit

- Sebiji batu besar bentuk kapal dikenali Kapal Batu dikatakan kapal Merong Mahawangsa

- Dahan pokok seolah dipulas-pulas menyimpan rahsia kejadiannya yang belum dirungkai.

PEMANDANGAN sekitar Hutan Lipur Sungai Teroi. - Foto Ifwan Tun Tuah
PEMANDANGAN sekitar Hutan Lipur Sungai Teroi. - Foto Ifwan Tun Tuah
PEMANDANGAN waktu senja di Hutan Lipur Sungai Teroi. - Foto Ifwan Tun Tuah
PEMANDANGAN waktu senja di Hutan Lipur Sungai Teroi. - Foto Ifwan Tun Tuah
POKOK bersisik dikenali sebagai pokok kelat yang ditemui di Hutan lipur Sungai Teroi, Kedah, boleh memberi petunjuk kepada masalah kulit Ichtyhosis. - Foto Nur Syazwana Mansor
POKOK bersisik dikenali sebagai pokok kelat yang ditemui di Hutan lipur Sungai Teroi, Kedah, boleh memberi petunjuk kepada masalah kulit Ichtyhosis. - Foto Nur Syazwana Mansor
Berita Harian X