Selasa, 7 Februari 2017 | 12:08am

Keunikan paip rokok buatan Ashari

MELAKA: Keunikan paip rokok yang dihasilkan seorang pesara kerajaan menarik perhatian warga England, Australia, Singapura, Brunei dan Thailand sehingga sanggup ke rumahnya di Taman Jaya Padang Temu di sini, untuk membelinya.

Ashari Hasan, 76, berkata kebanyakan mereka mengatakan tertarik dengan kualiti bahan yang digunakan untuk menghasilkan paip rokok di samping aromanya yang menyenangkan.

Katanya, beliau hanya mengitar semula bahan terbuang yang diperoleh daripada ranting dan dahan pokok mati untuk dijadikan hiasan menarik, sekali gus dijadikan sumber pendapatan.

"Bagi proses awal pembuatan peralatan ini, saya perlu berada di kawasan belukar atau kawasan bakau untuk tempoh beberapa jam, malah ada ketikanya lebih lama untuk meneliti kesesuaian, bentuk dan jenis dahan atau ranting yang tahan dan kukuh.

"Malah, dengan hanya ranting pokok terbiar di sebuah kawasan kosong di hadapan rumah, sudah cukup buat saya mereka bentuk paip yang menarik," katanya ketika ditemui di rumahnya.

ANTARA koleksi antik kesayangan Ashari Hasan. - Foto Nazri Abu Bakar
ANTARA koleksi antik kesayangan Ashari Hasan. - Foto Nazri Abu Bakar

Namun, apa yang pasti ketelitian warga emas itu dalam pembuatan peralatan terbabit berjaya menghasilkan kualiti luar biasa, tambahan dapat menilai keindahan seni ranting kayu seperti dicorak dan dibentuk dalam acuan.

Bagi Ashari, hanya bersandarkan kepada minat dan kesungguhan, dia mampu menghasilkan pelbagai bentuk paip, termasuk berimej seperti burung, gajah dan harimau yang boleh dihisap menerusi saluran khas diperbuat daripada aluminium di dalam ranting kayu.

"Antara bahan yang digunakan ialah kayu ara, kayu terpakai dan kayu teras kilo yang difikirkan menarik dan sesuai untuk proses menggerudi dan membentuk.

"Saya juga menggunakan akar kayu berbentuk seperti tongkat yang boleh digunakan untuk menghisap paip. Malah, terdapat juga rotan yang direka khas bagi penghasilannya (paip) yang boleh dibawa ke mana saja," katanya.

Bagi Ashari, dia lebih berasa nikmat menghisap paip menggunakan kayu atau rotan berikutan aromanya yang menyenangkan.

SEBAHAGIAN simpanan Ashari di rumahnya di Taman Jaya Padang Temu. - Foto Nazri Abu Bakar
SEBAHAGIAN simpanan Ashari di rumahnya di Taman Jaya Padang Temu. - Foto Nazri Abu Bakar

"Jika tidak kena caranya, asap tidak boleh keluar melalui ranting kayu berkenaan atau tembakau terbakar bersama 'rumah' atau mangkuk kayu, selain mudah pecah dan tidak tahan lama," katanya.

Ashari berkata, dia kini terus aktif menghasilkan produk berkenaan untuk pameran, selain permintaan daripada individu dan rakan.

"Selain peralatan ini, saya juga menghasilkan tempurung sebagai tempat membuang habuk rokok, kereta kuda dan kayu hiasan dinding serta mainan kanak-kanak daripada kotak," katanya yang turut berkebolehan menjadikan bahan itu sebagai hiasan almari seperti patung robot.

INFO

  • Ashari mencari inovasi baharu dalam teknik pembuatan paip sejak berusia 25 tahun.
  • Ranting pokok terbuang mampu kelihatan unik, luar biasa dan menarik.
  • Ashari mengambil tempoh seminggu hingga beberapa bulan untuk menyiapkan paip tertakluk kepada kesukaran reka bentuk asal ranting dan kayu yang digunakan.
ASHARI Hasan, menggerudi pohon kayu untuk menghasilkan cerut. - Foto Nazri Abu Bakar
ASHARI Hasan, menggerudi pohon kayu untuk menghasilkan cerut. - Foto Nazri Abu Bakar
ANTARA koleksi istimewa milik pesara kerajaan, Ashari Hasan. - Foto Nazri Abu Bakar
ANTARA koleksi istimewa milik pesara kerajaan, Ashari Hasan. - Foto Nazri Abu Bakar
PAIP kayu hasil kerja tangan Ashari Hasan. - Foto Nazri Abu Bakar
PAIP kayu hasil kerja tangan Ashari Hasan. - Foto Nazri Abu Bakar
KERETA kuda kotak antara koleksi Ashari Hasan, di Taman Jaya Padang Temu. - Foto Nazri Abu Bakar
KERETA kuda kotak antara koleksi Ashari Hasan, di Taman Jaya Padang Temu. - Foto Nazri Abu Bakar
Berita Harian X