Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memeriksa semua premis perkakasan binaan dan pasar raya di seluruh negara bagi mengesan berus cat bulu babi yang dijual di pasaran.
Ia susulan penemuan Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (IPPH-UPM) yang mendapati sampel berus cat yang dihantar untuk ujian makmal oleh wakil BH disahkan diperbuat daripada bulu babi.
Pemeriksaan ke premis menjual perkakas binaan dan pasar raya di seluruh negara itu juga selepas Bahagian Penguatkuasa KPDNKK menemui berus cat menggunakan kod A913 dan A680 dijual secara berleluasa menerusi pemeriksaan ke atas dua premis di Bangsar, semalam.
Premis pertama diperiksa kira-kira jam 2.20 petang sebelum pasukan berkenaan merampas 30 berus cat pelbagai saiz menggunakan kod A913 dan A680, manakala lebih 60 berus lagi menggunakan kod sama, dirampas dari premis kedua.
Sepanjang gerakan berkenaan yang turut disertai wakil BH, seorang pegawai dan tiga anggota penguat kuasa KPDNKK terpaksa menggunakan sarung tangan bagi memeriksa berus cat yang dijual.
Terdahulu, seorang pekerja di salah sebuah kedai yang diperiksa, mendakwa mereka tidak tahu ada berus cat yang dijual di premis berkenaan beroperasi sejak lebih 40 tahun itu diperbuat daripada bulu babi.
"Kami tidak tahu sebab kami ambil semua berus daripada pembekal. Mereka juga tidak pernah memberitahu berus cat ada bulu babi. Sepanjang kedai ini dibuka, kami tak pernah pun dapat aduan daripada pelanggan mengenai isu ini," kata wanita berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin, berkata pihaknya akan meneruskan pemeriksaan dalam isu berkaitan produk halal di seluruh negara bagi melindungi pengguna, khususnya pengguna Islam.
"Dalam dua pemeriksaan hari ini (semalam), kami turut mengambil keterangan pekerja di premis yang diperiksa bagi membantu siasatan. Berus cat yang disita akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Barang-Barang Diperbuat Daripada Mana-Mana Bahagian Babi atau Anjing) 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 28 Akta Perihal Dagangan 2011.
Info
- Seksyen 28 Akta Perihal Dagangan 2011 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali.