Jumaat, 3 Februari 2017 | 12:02am

Emosi tersentuh dengan gelagat Afiatul

KUALA LUMPUR: "Afiatul suka kumpulan muzik dari Korea, BigBang dan kadang-kadang akan menari mengikut rentak lagu ini. Dia yang pandai melayari laman YouTube sendiri selalu akan buka lagu BigBang". Demikian cerita Hammad Zamakhshari Mohd Noor, 30, mengenai adik istimewanya, Afiatul Salsabiila, 19.

Hammad atau mesra dipanggil Bengah berkata, selain meminati muzik K-Pop, Afiatul yang menghidap sindrom down juga gemar memakan kentang dan meminati kucing.

"Jika saya keluar makan bersama Afiatul, dia lebih gemar makan kentang. Tidak kira apa jenis masakan, asalkan kentang adalah isi utama sajian.

"Selain gemar masakan kentang, dia juga suka kucing. Malah, dia mempunyai sehelai baju kucing yang boleh dikatakan akan kerap dipakai sehinggakan ada yang menegur di ruang komen bertanya mengapa memberi Afiatul memakai baju yang sama.

"Bukan saya tak pernah melarang tetapi disebabkan baju ini baju kegemarannya, tak akan pula saya mahu menyekat kesukaannya," katanya yang menyifatkan teguran itu sebagai sikap prihatin orang ramai.

PENGHIDAP sindrom down, Afiatul Salsabiila Mohd Noor, 17, menunjukkan gambar kemesraan di antara dia dan abangnya, jurugambar bebas, Hammad Zamakhshari Mohd Noor, 28. - Foto NSTP
PENGHIDAP sindrom down, Afiatul Salsabiila Mohd Noor, 17, menunjukkan gambar kemesraan di antara dia dan abangnya, jurugambar bebas, Hammad Zamakhshari Mohd Noor, 28. - Foto NSTP

Telatah spontan Bengah bersama Afiatul ketika merakam video gelagat di dalam kereta kini menjadi viral di media sosial.

Gelagat dua beradik itu juga bukan sahaja dilihat ketika merakam video, tetapi di sebalik kamera juga boleh menampakkan hubungan akrab kedua-dua mereka.

Bengah berkata, adik bongsunya itu sering menceriakan kehidupan mereka sekeluarga dengan karenahnya.

"Saya memuat naik video bersama Afiatul, tahun lalu, hanya untuk suka-suka dan berkongsi sahaja tetapi tidak sangka ia menjadi viral dengan begitu pantas.

"Setiap video yang dikongsi bukan bertujuan untuk menjadi popular tetapi hanya ingin berkongsi melayan Afiatul yang mempunyai gelagatnya yang tersendiri.

"Gelagat yang dirakam juga adalah secara spontan. Bagaimana saya dan Afiatul melayan antara satu sama lain di dalam video begitu juga sama di luar video," katanya ketika ditemui BH Plus.

GELAGAT penghidap sindrom down, Afiatul Salsabiila Mohd Noor, 17, ketika bersama abangnya, Hammad Zamakhshari Mohd Noor, 28, mencuit hati masyarakat. - Foto NSTP
GELAGAT penghidap sindrom down, Afiatul Salsabiila Mohd Noor, 17, ketika bersama abangnya, Hammad Zamakhshari Mohd Noor, 28, mencuit hati masyarakat. - Foto NSTP

Bengah yang juga anak kedua daripada tujuh beradik berkata, beliau memang suka mengusik Afiatul, begitu juga adik-beradik yang lain kerana suka melihat Afiatul yang mempunyai pelbagai ragam.

Katanya, video yang dikongsi selalunya dirakam ketika beliau mengambil Afiatul dari sekolah, ketika mereka dalam perjalanan untuk makan di luar atau keluar bersiar-siar bersama.

Selain itu, beliau turut mengulas setiap video yang dikongsi mendapat pelbagai reaksi positif orang ramai dan jumlah penonton semakin meningkat menerusi laman Facebook, Instagram dan Twitter.

"Paling tinggi tontonan video yang dikongsi adalah ketika saya membuat 'mannequin challenge' bersama Afiatul. Ketika itu saya saja naik ke atas bumbung rumah untuk menangkap gambar waktu petang, tidak sangka pula Afiatul ikut saya.

"Ketika itu terdetik untuk saya membuat 'mannequin challenge'. Memang agak sukar kerana Afiatul hanya akan diam di hadapan kamera tetapi akan terus makan kembali keropoknya apabila kamera di hala ke tepi," katanya yang tidak sangka ia menjadi tontonan dan disukai ramai dengan telatah lucu Afiatul dalam 'mannequin challenge' itu.

HAMMAD Zamakhshari Mohd Noor, 28, memegang koleksi gambar adiknya yang menghidap sindrom down, Afiatul Salsabiila Mohd Noor, 17. - Foto NSTP
HAMMAD Zamakhshari Mohd Noor, 28, memegang koleksi gambar adiknya yang menghidap sindrom down, Afiatul Salsabiila Mohd Noor, 17. - Foto NSTP

Beliau berkata, Afiatul mempunyai 'mood' yang sukar dijangka dan ahli keluarganya sudah faham dengan ragam Afiatul.

"Kadang-kadang dia okay saja, namun ada masa mood dia kurang elok dan kita kena sabar melayan karenahnya. Malah, orang ramai akan melihat ada adegan kami menarik rambut antara satu sama lain, saya ditampar Afiatul dan Afiatul penat melayan usikan saya. Ia terjadi secara spontan, bukan lakonan," katanya yang sudah berkongsi lebih 500 video bersama adik kesayangannya itu.

Bengah berkata, viral video dia bersama Afiatul bukan sahaja menjadi tarikan di Malaysia tetapi juga mendapat tempat di negara jiran seperti Indonesia.

INFO

  • Memuat naik video di laman Instagram dengan nama @ makhlokmacho.

  • Akan menggunakan hashtag #AbangYangPenyayang atau #Afiathorrr.

  • Video yang dimuat naik pernah mencecah 100,000 tontonan.
AFIATUL Salsabiila Mohd Noor, 17, dan abangnya, Hammad Zamakhshari Mohd Noor, 28, ketika di dalam kereta. - Foto NSTP
AFIATUL Salsabiila Mohd Noor, 17, dan abangnya, Hammad Zamakhshari Mohd Noor, 28, ketika di dalam kereta. - Foto NSTP
Berita Harian X