KUALA KANGSAR: Menyedari belum ada peniaga menjual murtabak keju di Perak, sepasang suami isteri nekad mengusahakan perniagaan itu bagi memberi kelainan kepada penggemar makanan itu.
Asrul Sani Zainun, 42, yang mengusahakan gerai makanan bersama isterinya, Nor Hasidah Zaman, 31, membuat sedikit kelainan pada hidangan murtabak biasa bagi menarik pelanggan, terutama masyarakat yang kini semakin terdedah kepada makanan ala Barat.
Azrul berkata, beliau membuka gerai berkenaan tiga tahun lalu dengan menyediakan murtabak keju bersama hidangan sampingan lain termasuk sup cendawan dan campuran salad sayur hiris bersama mayonis atau 'coleslow'.
Katanya, selain murtabak ayam dan daging yang dibungkus bersama keju mozzarella serta nanchos yang boleh didapati dalam saiz kecil, sederhana dan besar, murtabak dijualnya juga disertakan bersama sos Jalapeno sebagai pencicah selain adanya sup cendawan dan 'coleslaw' yang dapat dibeli berasingan pada harga 50 sen setiap bekas kecil.
"Walaupun saya mengambil idea perniagaan ini daripada Johor, saya cuba menampakkan kelainan dalam resipi saya apabila bahan yang digunakan dalam penghasilan murtabak selain bahan pencicah juga berlainan daripada yang terdapat di Johor.
"Contohnya, murtabak keju yang terdapat di Johor dihidangkan bersama kuah yang biasa dihidangkan bersama murtabak iaitu kuah kari berserta sirap bawang manis kemasaman, manakala murtabak yang kami jual menjadikan sos keju Jalapeno cair yang sebagai kuah pencicah yang dimakan bersama murtabak selain adanya sup cendawan serta 'coleslow' sebagai penyedap rasa," katanya kepada BHPlus ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak berdekatan Stesen Bas Kuala Kangsar, di sini.
Sehingga kini, purata 100 murtabak keju, ayam dan daging terjual dalam sehari.
Asrul Sani yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pernah mengikuti pengajian sekolah pondok berkata, beliau sudah berazam untuk berniaga sejak tamat SPM.
Bagaimanapun, katanya, beliau hanya berkesempatan membuka perniagaan berkenaan selepas berkahwin dengan isteri empat tahun lalu dan berjaya mengumpul modal di samping kekangan masa dan belanja khususnya apabila masih belajar di sekolah pondok walaupun pada usia agak tua.
"Saya terdetik untuk mempelajari cara membuat roti canai selepas tamat pengajian di pondok melalui bimbingan rakan yang juga seorang penebar roti canai.
"Namun saya tidak sangka kemahiran menebar roti canai yang saya pelajari itu memberikan ilham lain kepada saya di mana roti yang ditebar itu dapat juga digunakan sebagai bahan pembungkus isi murtabak," katanya.
Asrul Sani kini berpuas hati apabila azamnya tercapai berikutan keuntungan yang diperolehnya mampu membuatkan beliau dan isterinya tersenyum lebar berbanding pendapatannya ketika bekerja secara makan gaji.
"Sebelum belajar di pondok, saya pernah bekerja kilang, eksekutif dan kerani bank namun ketika belajar di pondok, saya juga bekerja secara sambilan sebagai pemandu lori yang membawa kitab-kitab agama dari Pattani, Thailand ke pondok tempat saya belajar selain ada kalanya berkhidmat sebagai guru agama ganti," katanya.
INFO
- Keuntungan yang diperoleh hasil jualan murtabak lebih lumayan berbanding gaji yang pernah diterima.
- Bercadang menambah menu baharu iaitu murtabak kambing berkeju dan kebab gulung tortilla, untuk menarik lebih ramai pelanggan.
- Perniagaan diusahakan sejak tiga tahun lalu bermula selepas mendapati belum ada penjual murtabak keju di Perak, ketika itu.