Ahad, 22 Januari 2017 | 12:23am

Pakar mula kaji keunikan, populasi bersisik terbanyak di Baling

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pakar perubatan Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mula mengkaji keunikan dan faktor populasi terbanyak golongan kulit bersisik jenis Ichthyosis di Baling, Kedah.

Ini kerana mengikut pengalaman pakar perubatan, golongan ini memiliki sistem imunisasi dan tahap intelektual yang normal atau lebih daripada orang lain.

Pakar Perunding Pediatrik Dermatologi HKL, Dr Leong Kin Fon, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan pembawa pertama Ichthyosis berasal di Baling, berpunca daripada genetik yang diwarisi daripada hasil perkahwinan rakyat tempatan.

Malah, katanya, kajian turut dibuat untuk melihat sejauh mana kesahihan hipotesis bahawa golongan berkenaan memiliki imunisasi terbina dari dalam badan sehingga menyebabkan mereka kebal daripada sebarang jangkitan virus dan kuman.

"Pihak perubatan ada teori sendiri berhubung kecacatan kulit genetik namun kajian perlu dilakukan untuk mendapat kesahihan, antaranya mengenai kulit luar yang berfungsi sebagai perisai ancaman penyakit di sebalik masalah kekurangan protein yang menyebabkan kulit sangat sensitif kepada suhu panas dan trauma.

PAKAR Perunding Pediatrik Dermatologi HKL, Dr Leong Kin Fon. - Foto Asyraf Hamzah
PAKAR Perunding Pediatrik Dermatologi HKL, Dr Leong Kin Fon. - Foto Asyraf Hamzah

"Pendedahan oleh BH mengenai mereka dengan kulit bersisik ini amat baik kerana ia mengubah persepsi salah orang ramai sebelum ini. Golongan ini sebenarnya berdepan masalah genetik dan tidak berjangkit kepada orang lain.

"Laporan akhbar ini memberi perspektif baharu untuk melihat kelebihan golongan ini, di sebalik kekurangan upaya mereka yang selama ini terlepas pandang," katanya sambil menambah kajian dilakukan susulan pendedahan BH, sejak minggu lalu.

Dr Kin Fon berkata, berdasarkan pengalaman pakar perubatan, golongan itu memiliki sistem imunisasi dan mental yang normal seperti orang lain.

Katanya, pihak perubatan ada teori sendiri berhubung masalah kecacatan kulit genetik namun kajian perlu dilakukan untuk mendapat kesahihan, antaranya mengenai kulit luar yang berfungsi sebagai perisai ancaman penyakit dan kekurangan protein pada kulit sehingga menyebabkan mereka sangat sensitif kepada suhu panas dan trauma.

Mengulas isu dua beranak yang disahkan menghidap Epidermolytic Hyperkeratosi iaitu simptom sisik pada tangan dan kaki tetapi belum menerima jawapan pasti selepas enam tahun sampel mereka dihantar ke luar negara, Pakar Perunding Pediatrik Dermatologi HKL, Dr Sabeera Begum Kader Ibrahim, menjelaskan sampel dihantar ke luar negara untuk beberapa peringkat ujian.

PAKAR Perunding Pediatrik Dermatologi HKL, Dr Sabeera Begum Kader Ibrahim. - Foto Asyraf Hamzah
PAKAR Perunding Pediatrik Dermatologi HKL, Dr Sabeera Begum Kader Ibrahim. - Foto Asyraf Hamzah

"Sebenarnya kajian genetik membabitkan beberapa peringkat, keputusan diagnos di Jepun sudah diterima iaitu mengenal pasti simptom manakala untuk peringkat seterusnya, sampel sudah dihantar ke Singapura tahun lalu dan masih menunggu keputusan.

"Ketika ini, makmal genetik di HKL belum memulakan perkhidmatan ujian genetik bagi masalah kulit genetik kerana jumlah pesakit tidak ramai dan ujian genetik kulit dihantar ke luar negara kerana fasiliti lebih lengkap," katanya.

Dr Sabeera Begum berkata, akibat faktor psikologi pesakit kecacatan kulit genetik kurang keluar dari rumah untuk mendapat bantuan menyebabkan kesukaran usaha mengumpul data bagi mengetahui jumlah sebenar pesakit.

"Melalui pendedahan ini jabatan kami mula berbincang dengan beberapa jabatan lain termasuk genetik, diet, psikologi dan lain-lain jabatan untuk membantu golongan ini daripada pelbagai aspek.

"Kami menyokong penarafan OKU terhadap golongan ini di bawah kategori pelbagai kurang upaya," katanya.

DAERAH di Kedah catat ramai penghidap sakit unik Ichthyosis.
DAERAH di Kedah catat ramai penghidap sakit unik Ichthyosis.

INFO

  • Golongan kulit bersisik memiliki sistem imunisasi dan tahap intelektual yang normal atau lebih daripada orang lain.
  • Kajian dilakukan mengenai kulit luar yang berfungsi sebagai perisai ancaman penyakit dan kekurangan protein pada kulit.
  • Kajian dilakukan bagi menentukan kesahihan hipotesis bahawa golongan berkenaan memiliki imunisasi terbina dari dalam badan.
DR Sabeera Begum (kiri) dan Dr Kin Fon (kanan) memberi penerangan mengenai kajian golongan kulit bersisik jenis Ichthyosis di HKL. - Foto Asyraf Hamzah
DR Sabeera Begum (kiri) dan Dr Kin Fon (kanan) memberi penerangan mengenai kajian golongan kulit bersisik jenis Ichthyosis di HKL. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X