Jumaat, 20 Januari 2017 | 12:09am

Gadis bersisik dibenar mohon lesen memandu tanpa biometrik

KUALA LUMPUR: Susulan pendedahan BH, gadis bersisik tanpa cap jari, Noor Shahira Redzuan, 17, kini boleh memohon lesen memandu tanpa perlu prosedur biometrik yang menghalang hasratnya sebelum ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron, berkata yang penting pemohon mesti mematuhi syarat lain, antaranya menjalani kursus memandu dan tidak rabun warna.

Katanya, biasanya pemohon tidak datang merujuk ke JPJ untuk rundingan dan tidak tahu bahawa selagi mereka memenuhi syarat, tiada masalah untuk mendapatkan hak memandu.

"Kami permudahkan cara bagi golongan bersisik tanpa cap jari untuk mendapat lesen memandu dengan pengecualian ujian berkomputer yang memerlukan cap jari.

GADIS bersisik tanpa cap jari, Noor Shahira Redzuan.
GADIS bersisik tanpa cap jari, Noor Shahira Redzuan.

"Bagaimanapun, pemohon mesti menduduki ujian bertulis secara manual pada tarikh ditetapkan selepas menghadiri kursus di institut memandu yang diiktiraf," katanya kepada BH di sini, semalam.

Nadzri berkata, sebagai rujukan dan sokongan, pihaknya hanya memerlukan dokumen pengenalan diri MyKad, pengesahan perubatan atau Jabatan Pendaftaran Negara berhubung masalah yang dialami.

"Walaupun kes sebegini jarang ditemui, kita ada inisiatif kemanusiaan sendiri untuk membantu mereka yang kelainan upaya," katanya.

Noor Shahira ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada JPJ dan Kementerian Kesihatan yang mula mengambil inisiatif membantu golongan sepertinya yang selama ini terlepas pandang.

NOOR Shahira kini boleh memohon lesen memandu tanpa perlu prosedur biometrik.
NOOR Shahira kini boleh memohon lesen memandu tanpa perlu prosedur biometrik.

"Saya harap golongan seperti saya tidak lagi malu untuk tampil mendapat bantuan kerana masyarakat mula faham dan terima," katanya.

BH Ahad minggu lalu mengetengahkan isu golongan bersisik seperti Noor Shahira yang disahkan menghidap palmoplantar keratoderma berdepan masalah untuk memperoleh lesen memandu dan melakukan urusan rasmi akibat tiada cap jari.

Masalah kecacatan kulit ini bertambah sukar kerana tidak dikategorikan sebagai orang kurang upaya untuk memudahkan urusan hidup tanpa diskriminasi.

Bagaimanapun, permohonan Noor Shahira untuk mendapat taraf OKU tidak diterima kerana masalah kecacatan kulit tidak terkandung dalam kategori OKU.

KETUA Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

INFO

  • JPJ permudahkan cara bagi golongan bersisik tanpa cap jari untuk mendapat lesen memandu dengan pengecualian ujian berkomputer yang memerlukan cap jari.
  • Pemohon mesti menduduki ujian bertulis secara manual pada tarikh ditetapkan selepas menghadiri kursus di institut memandu yang diiktiraf.
  • Sebagai rujukan dan sokongan, JPJ hanya memerlukan dokumen pengenalan diri MyKad, pengesahan perubatan atau Jabatan Pendaftaran Negara berhubung masalah yang dialami.
Berita Harian X