Sabtu, 14 Januari 2017 | 12:00am
ORANG ramai tidak melepaskan peluang menikmati keenakan sate di Restoran Lineclear Kampung Jawa, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
ORANG ramai tidak melepaskan peluang menikmati keenakan sate di Restoran Lineclear Kampung Jawa, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Sate perut, kuah pekat di tebing Sungai Melaka

PEKERJA membakar pelbagai jenis sate di Restoran Lineclear Kampung Jawa, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
PEKERJA membakar pelbagai jenis sate di Restoran Lineclear Kampung Jawa, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MEMANG tidak terkata keenakan pelbagai jenis sate ketika berkunjung ke Restoran Lineclear Kampung Jawa di Melaka.

Lebih-lebih lagi apabila menikmatinya di tebing Sungai Melaka, dapat menyaksikan pemandangan bot pelancong persiaran membawa pengunjung setiap hari.

Ada sate ayam, daging, kerang, perut dan hati, tetapi bagi penulis yang paling sedap dan istimewa ialah sate kerang dan hati. Sekurang-kurangnya pengunjung ke Melaka ada pilihan makanan, bukan sekadar asam pedas yang sinonim dengan negeri ini.

Tambahan pula, sangat jarang bertemu kedua-dua sate itu. Kuah memainkan peranan dalam setiap hidangan sate.

Kuah kacang yang dihidangkan untuk dicicah dengan sate perut dan hati, cukup rasa, manis, pedas dan pekat!

Begitu juga mi rebus dan char kuetiau goreng, sangat menyelerakan. Sudahlah melepak di restoran yang terletak di tepi sungai, angin sungai cepat membuatkan perut kembali berasa lapar!

Sanggup datang dari jauh

PELBAGAI jenis sate boleh didapati Restoran Lineclear Kampung Jawa di Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
PELBAGAI jenis sate boleh didapati Restoran Lineclear Kampung Jawa di Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Seorang pelanggan tetap restoran ini, iaitu Mohd Dinah Dawe dari Singapura. Beliau yang juga ahli kelab motosikal berkuasa tinggi, sanggup berulang-alik dari Singapura ke Melaka bersama teman-temannya kerana tidak dapat melupakan kelazatan char kuetiau istimewa yang menjadi kegemarannya.

"Sekali 'pekena' char kuetiau goreng istimewa di sini (Restoran Lineclear), perjalanan jauh tak terasa. Sedap.

"Walaupun terpaksa menunggu agak lama makanan yang dipesan, saya reda sebab orang memang terlalu ramai terutama setiap hujung minggu. Saya tak kisah, jauh ke, lama tunggu ke, yang penting, menu kegemaran itu, sampai!," katanya.

Tidak dinafikan, sekiranya berkunjung pada hujung minggu sekitar jam 12.30 tengahari dan ke atas, perlu berbaris sekitar 30 minit menunggu meja kosong.

Pemilik Restoran Lineclear Kampung Jawa, Fadilah Mohd Jaafar, berkata lokasi premis makanannya adalah nilai tambah kepada bilangan pelanggan yang sentiasa bertali arus.

"Restoran kami terletak di muara Sungai Melaka yang menjadi laluan bot pelancong. Sambil makan, pelanggan disajikan pemandangan yang mempesona. Di tebing Sungai Melaka juga berselerak dengan hotel bajet mahupun eksklusif, jadi akses ke restoran kami sangat mudah.

"Begitu juga dengan mutu makanan. Selain sate, mi rebus kami adalah yang paling laris jualannya. Kuahnya sangat istimewa apabila kami menggunakan campuran daging tetel (bahagian daging) untuk menghasilkan kuah pekat dan sedikit manis.

"Kami juga menggunakan resipi asli yang diwarisi sejak turun temurun lagi," kata Fadilah turut mengakui datuknya berasal dari India.

RESTORAN Lineclear Kampung Jawa di Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
RESTORAN Lineclear Kampung Jawa di Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

FAKTA NOMBOR
* 69 tahun - Usia restoran
* 500 tetamu - Anggaran pengunjung pada hujung minggu
* 5,000 cucuk - Sate terjual sehari
* 350 meter - Jarak ke Jonker Walk

INFO

  • Alamat: Nombor 23, Jalan Jawa, Kampung Jawa, Melaka (terletak di tebing Sungai Melaka, berdekatan Jambatan Kampung Jawa).

  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 5 petang, setiap hari.

  • Selain sate, hidangan lain yang sering jadi kegemaran pengunjung termasuklah mi rebus, rojak, char kuetiau goreng dan nasi goreng.

  • Perniagaan makanan diusahakan secara turun temurun, kini memasuki generasi ketiga.
Berita Harian X