Sabtu, 31 Disember 2016 | 12:00am

Krisdayanti tunggu 10 tahun untuk beraksi di Istana Budaya

ANDAI sudah tertulis rezeki, biar terpaksa lama menanti ia pasti akan tetap digenggam. Kenyataan itu turut dilalui penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti. Pernah dilamar sedekad lalu untuk beraksi di pentas berprestij, Panggung Sari, Istana Budaya (IB), impian itu bagaimanapun, tidak menjadi kenyataan atas beberapa faktor.

Hasrat yang sekian lama tertunda itu, tidak pernah menguburkan impiannya untuk beraksi di pentas yang menjadi igauan ramai penyanyi hebat itu. Penantian panjang penyanyi Menghitung Hari itu terjawab apabila bakal beraksi dalam konsert tiga malam, Romansa Krisdayanti 2017 di pentas berprestij itu bermula 24 Februari depan.

"Saya tidak menyangka akan kembali menerima pelawaan untuk beraksi di IB. Saya hanya berpegang kepada satu perkara, jika sudah tertulis rezeki, ia tidak akan ke mana. Pentas ini terlalu istimewa dan bukan sebarangan artis berpeluang membuat persembahan di sini.

"Apabila kembali ditawarkan, saya pantas memberikan persetujuan untuk meraikan muzik saya bersama peminat setia di negara ini," kata penyanyi yang sentiasa anggun berdandan pada satu pertemuan, baru-baru ini.

Mula mencuri perhatian peminat menerusi lagu Menghitung Hari, penyanyi yang mesra disapa KD, 41, tidak ralat apabila beberapa penyanyi senegara seperti Datuk Rossa dan Afgan terlebih dulu memperoleh kesempatan emas untuk beraksi di pentas hebat itu.

PENYANYI tersohor Indonesia, Kris Dayanti. - Foto Adi Safri
PENYANYI tersohor Indonesia, Kris Dayanti. - Foto Adi Safri

Peluang yang hadir itu tidak akan sesekali disia-siakan, malah KD dan pasukannya sudah mula melakukan persediaan rapi untuk menampilkan kelainan pada kemunculan terbaharunya nanti.

Berkongsi sedikit perancangannya untuk konsert itu, KD berhasrat menyatakan perasaan hormat dan kagumnya terhadap dua penyanyi legenda negara, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dengan menyampaikan beberapa lagu popular mereka.

"Saya mengagumi kehebatan mereka. Selama ini, saya begitu menyukai lagu yang dinyanyikan arwah Sudirman. Saya juga mula tertarik mendekati nyanyian arwah Saloma apabila mendapat tahu Allahyarham adalah isteri kepada seniman tersohor, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

"Di hati saya sering terdetik, arwah pastinya seorang tokoh seni yang hebat apabila namanya diabadikan oleh sebuah restoran. Saya mahu tampil dengan pilihan lagu nyanyiannya, malah jika berkesempatan ingin bergaya sepertinya pada konsert itu nanti," katanya.

Untuk menyuntik sedikit kelainan, KD juga memilih menyanyikan lagu rock kerana ia tidak pernah dilakukannya pada mana-mana konsert.

"Ada beberapa pilihan lagu yang sudah berada di minda saya, termasuk lagu Cobalah Untuk Setia yang akan digubah dalam genre itu. Ia percubaan pertama saya menyanyikan lagu rock, membuatkan saya agak teruja menanti detik itu," katanya.

KRIS Dayanti bakal beraksi dalam konsert tiga malam, Romansa Krisdayanti 2017 bermula 24 Februari depan. - Foto Adi Safri
KRIS Dayanti bakal beraksi dalam konsert tiga malam, Romansa Krisdayanti 2017 bermula 24 Februari depan. - Foto Adi Safri

Suami beri restu

Bercerita mengenai lembaran kerjaya seninya, suri hati ahli perniagaan dari Timor Leste, Raul Lemos ini bersyukur, fokus utamanya terhadap nyanyian mendapat restu penuh suaminya. KD tidak menafikan, Raul sebelum ini kurang bersetuju untuk dirinya terus aktif dalam bidang muzik.

Suaminya itu bagaimanapun, bertukar fikiran selepas melihat sendiri bagaimana kelompok peminatnya begitu setia menyanjungi bakat yang dimilikinya.

"Selepas melihat sendiri sambutan yang diberikan, termasuk ketika bertemu peminat dari Malaysia, suami memberikan restunya. Ia hanya terbatas kepada nyanyian, tetapi tidak lakonan kerana menuntut masa yang panjang selain terpaksa meninggalkan anak-anak.

"Saya gembira apabila sesuatu yang ikhlas dikerjakan mendapat sokongan suami tercinta, malah Raul juga sudah mula berjinak-jinak dengan perniagaan berkaitan muzik," katanya.

Kagum pencapaian Yuna

Turut popular menerusi lagu Pilihlah Aku dan Mencitaimu, KD juga bakal melahirkan album mini khas yang diterbitkan di California, Amerika Syarikat (AS). Projek khas itu diusahakan oleh suaminya dan dua lagu sudah dirakamkan, manakala bakinya akan disiapkan pada awal tahun depan.

"Lagu saya dicipta oleh komposer lagu Waka Waka nyanyian Shakira dan membabitkan produksi di AS. Semua itu bermula daripada angan-angan untuk mencuba nasib di peringkat antarabangsa. Saya maklum, ia bukan usaha yang mudah tetapi tidak salah jika kita mengimpikan sesuatu meskipun ia sangat tinggi," katanya.

KRIS Dayanti bakal memilih menyanyikan lagu rock pada konsert tiga malam, Romansa Krisdayanti 2017. - Foto Adi Safri
KRIS Dayanti bakal memilih menyanyikan lagu rock pada konsert tiga malam, Romansa Krisdayanti 2017. - Foto Adi Safri

Mengambil Yuna sebagai contoh, KD melahirkan perasaan kagum terhadap penyanyi itu yang bermula dari bawah mengejar cita-citanya.

"Saya kagum dengan Yuna dan menjadikannya contoh untuk saya berusaha menembusi pasaran di sana. Saya percaya jika kita bersungguh-sungguh, pasti kita mampu lakukan. Saya juga hormat dengan cara Yuna yang berani mencari tapak dan bermula dengan usaha sendiri demi memperjuangkan muzik yang membanggakan Malaysia," katanya.

Akur fasa peralihan

Sempat ditanya mengenai kenyataan, kemilau bintang yang pernah digenggamnya semakin pudar, KD yang sentiasa ramah melayan bicara ini mempunyai pandangan tersendiri. Baginya, lumrah perjalanan setiap insan seni apabila melalui fasa dan era peralihan dengan kemunculan bakat baharu yang menguasai industri.

Apa yang pasti, KD sentiasa bersyukur kerana masih mempunyai kelompok peminat tersendiri yang tidak jemu menyokong perjuangannya.

"Bukan saja di Indonesia, tetapi juga di Malaysia. Saya terharu kerana masih mempunyai kumpulan peminat yang sentiasa ada bersama. Saya bertuah kerana tidak pernah kurang menerima perhatian daripada penggemar yang terus setia ketika saya susah dan senang," katanya.

KRIS Dayanti membuat persembahan pada sidang media Romansa Kris Dayanti Kuala Lumpur di Istana Budaya. - Foto Adi Safri
KRIS Dayanti membuat persembahan pada sidang media Romansa Kris Dayanti Kuala Lumpur di Istana Budaya. - Foto Adi Safri
PENYANYI, Kris Dayanti (kiri) dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada sidang media Romansa Kris Dayanti Kuala Lumpur di Istana Budaya. - Foto Adi Safri
PENYANYI, Kris Dayanti (kiri) dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada sidang media Romansa Kris Dayanti Kuala Lumpur di Istana Budaya. - Foto Adi Safri
Berita Harian X