Khamis, 29 Disember 2016 | 12:05am

Kisah tragis 'Titanic Sarawak' di muara Tanjung Jerijeh

SARIKEI: Ia disifatkan sebagai tragedi terburuk dalam sejarah maritim negara, kerana membabitkan jumlah kematian mencecah 121 mangsa, yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Kelmarin, genap 43 tahun 'Tragedi Pulau Kidjang' yang menyaksikan kapal penumpang, MV Pulau Kidjang, karam di muara Tanjung Jerijeh, kira-kira 3.5 batu nautika di barat bandar ini, akibat dipukul ombak ketika ribut membadai kawasan terbabit.

Kejadian berlaku jam 2 pagi pada 27 Disember 1973, ketika kapal terbabit bersama pelbagai muatan kargo termasuk kenderaan, dalam pelayaran dari Kuching ke Sarikei. 

Insiden yang mendapat jolokan 'Tragedi Titanic Sarawak' itu berkenaan meninggalkan kesan mendalam kepada kalangan warga Bumi Kenyalang, lebih-lebih lagi ia berlaku dalam suasana sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu ketika itu.

"Sebenarnya, sisa badan kapal itu masih ada di lokasi ia karam kerana tidak pernah dialihkan sejak kejadian itu. Namun, agak sukar mencarinya, termasuk mengesan lokasi sebenar kerana sudah tertanam dalam lumpur dan pasir. 

KERATAN akhbar tragedi Pulau Kidjang. Anak panah menunjukkan buritan MV Pulau Kidjang selepas tenggelam. - Foto Khalid Latip
KERATAN akhbar tragedi Pulau Kidjang. Anak panah menunjukkan buritan MV Pulau Kidjang selepas tenggelam. - Foto Khalid Latip

PETA lokasi karamnya MV Pulau Kidjang. - Foto Khalid Latip
PETA lokasi karamnya MV Pulau Kidjang. - Foto Khalid Latip

"Lokasi ini agak terpencil dan tidak aktif lagi sebagai laluan perkapalan, kecuali kaki pancing kerana perairan ini kaya dengan pelbagai hidupan laut," katanya pemandu bot, Rustam Ali, 51, ketika membawa penulis belayar selama tiga jam menuju ke lokasi itu dari Sibu.

Selain sisa kapal Pulau Kidjang masih berkubur di lokasi itu, ada dalam kalangan mangsa yang dilaporkan hilang dalam tragedi itu, gagal ditemui hingga kini.

Rustam berkata, ketika kejadian, dia masih kanak-kanak, namun sentiasa ingat kerana sering dilarang bermain di tepi pantai ketika itu oleh ibu bapanya ekoran cuaca buruk.

"Saya masih ingat, saya dan adik beradik lain tidak dibenarkan ke pantai kerana cuaca buruk. Ketika ini, angin agak kencang dan ombak besar," katanya.

Bekas petugas sukarela yang membantu pasukan penyelamat ketika itu, Dayang Sabariah Awang Musbatau, 87, berkata tragedi itu meninggalkan kenangan pahit kepada semua lapisan rakyat Sarawak, khususnya waris penumpang yang terkorban.

AWANG Mohamad Awang Daud. - Foto Khalid Latip
AWANG Mohamad Awang Daud. - Foto Khalid Latip

KERATAN akhbar yang merakamkan sejarah menunjukkan helikopter menurunkan mayat mangsa di Dewan Suarah, Sarikei. - Foto Khalid Latip
KERATAN akhbar yang merakamkan sejarah menunjukkan helikopter menurunkan mayat mangsa di Dewan Suarah, Sarikei. - Foto Khalid Latip

"MV Pulau Kidjang memulakan pelayaran dalam keadaan cuaca yang baik, malah keadaan laut juga tenang. Bagaimanapun, beberapa jam sebelum nahas, cuaca tiba-tiba berubah, dengan angin agak kencang dan berlaku ombak besar.

"Ia seolah-olah menjadi petanda awal bahawa sesuatu yang buruk bakal berlaku," katanya yang berusia 44 tahun ketika itu, malah masih boleh mengingati dengan jelas setiap detik cemas apabila kapal berkenaan karam.

Katanya, sejurus berita itu dihebahkan radio, suasana di Sarikei, bandar paling hampir dengan lokasi kejadian, bertukar menjadi kelam kabut,

"Malah, saya sendiri bagaikan tidak percaya kapal besar yang moden ketika itu, boleh tenggelam. Ia pengangkutan utama ketika itu, malah saya juga pernah menggunakannya untuk ke Kuching," katanya.

Ketika mengimbas kejadian itu, Dayang Sabariah berkata, beliau membantu menguruskan mayat mangsa wanita, termasuk kanak-kanak perempuan untuk proses pengecaman oleh waris bagi tujuan pengebumian.

TANJUNG Jerijeh menjadi saksi bisu 'Tragedi Pulau Kidjang' yang berlaku 43 tahun lalu. - Foto Khalid Latip
TANJUNG Jerijeh menjadi saksi bisu 'Tragedi Pulau Kidjang' yang berlaku 43 tahun lalu. - Foto Khalid Latip

"Saya bertugas dari jam 6 pagi hingga 2 pagi kerana proses pengebumian perlu disegerakan. Semua mayat mangsa dipindahkan dari lokasi penemuan menggunakan jala sebelum diangkat menggunakan helikopter.

"Air mayat menitis di atas atap rumah penduduk. Ada antara mayat mangsa masih elok, malah ada juga yang tidak dikenali kerana terendam dalam air. Ada yang rupanya masih menghantui saya sampai sekarang. Malah, ada mangsa terkorban adalah rakan baik sendiri, masih terbayang kesedihan waris mereka," katanya.

Pesara Jabatan Pertanian Sarawak, Awang Mohamad Awang Daud, 69, berkata tragedi itu mendapat liputan media di seluruh negara dan negara jiran.

Selain radio, katanya, nahas itu turut melariskan jualan akhbar kerana orang ramai ingin mengetahui perkembangannya dari semasa ke semasa.

"Saya yakin ramai anak muda tidak tahu kejadian ini. Namun, bagi kami yang mengalaminya, tragedi ini terus terpahat dalam ingatan. Nama MV Pulau Kidjang akan saya kenang selama-lamanya," katanya.

PANGKALAN jeti yang pernah menjadi tumpuan ribuan penduduk yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai tragedi Pulau Kidjang. - Foto Khalid Latip
PANGKALAN jeti yang pernah menjadi tumpuan ribuan penduduk yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai tragedi Pulau Kidjang. - Foto Khalid Latip

INFO: Kapal pMV Pulau Kidjang

  • Kapal seberat 227 tan dibina di Hong Kong dibeli pada harga RM320,000 pada 1964 

  • Berkapasiti 150 penumpang, ada ruang kargo dan kenderaan

  • Beroperasi mulai 1965 sebagai pengangkutan hubungkan Sarikei dan Kuching

  • 121 mangsa terkorban, 38 mangsa terselamat termasuk 18 kelasi, selebihnya hilang sehingga kini 

  • Kerajaan Sarawak bina perkuburan khas dua kilometer dari Bandar Sarikei bagi mengebumikan mayat mangsa tidak dikenali

  • Penduduk setempat trauma makanan laut kerana kerana ada dakwaan menemui cebisan organ manusia dan aksesori seperti cincin dan jam tangan dalam perut ikan.

DEWAN Suarah Sarikei tersergam indah pada hari ini. - Foto Khalid Latip
DEWAN Suarah Sarikei tersergam indah pada hari ini. - Foto Khalid Latip

BOT ekspres masih menjadi pilihan penduduk untuk ke Kuching kerana tempoh perjalanan lebih pantas dan singkat. - Foto Khalid Latip
BOT ekspres masih menjadi pilihan penduduk untuk ke Kuching kerana tempoh perjalanan lebih pantas dan singkat. - Foto Khalid Latip

KRONOLOGI

26 Disember 1973

  • 6.30 petang - penumpang mula menaiki kapal dan kargo dimasukkan

  • 8 malam - mula belayar dari Jeti K.T.S ke Muara Tebas menuju laut lepas

27 Disember 1973

  • MV Pulau Kidjang berselisih 'kembarnya', MV Rajah Mas sebelum memasuki perairan Tanjung Jerijeh

  • 2 pagi - sebaik menghampiri muara Kuala Rajang, cuaca bertukar buruk disusuli angin kencang dan ombak besar 

  • MV Pulau Kidjang dikendalikan juragan berpengalaman, namun sebaik sahaja menghampiri Tanjung Jerijeh, ia bertukar haluan akibat ombak besar dan angin kencang

  • Keadaan menjadi kelam kabut apabila tali pengikat kenderaan dan kargo di buritan kapal terputus menyebabkan kapal tidak stabil sebelum terbalik dan karam

  • Mangsa terselamat ditemui terdampar di Pantai Tanjung Gerigat oleh kapal pengangkut kayu, MV Hornbill yang kebetulan dalam perjalanan dari Selalang

  • Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terbesar ketika itu dilancarkan, membabitkan kapal peronda, KD Seri Kelantan dan helikopter Nuri.
TERMINAL Ekspres Sarikei menjadi tempat orang ramai menunggu pengangkutan untuk ke Kuching. - Foto Khalid Latip
TERMINAL Ekspres Sarikei menjadi tempat orang ramai menunggu pengangkutan untuk ke Kuching. - Foto Khalid Latip
PEMANDANGAN indah dan tenang di Muara Kuala Rajang. - Foto Khalid Latip
PEMANDANGAN indah dan tenang di Muara Kuala Rajang. - Foto Khalid Latip
Berita Harian X