Isnin, 26 Disember 2016 | 12:05am

Hello Kitty tema persandingan

PASANGAN pengantin sentiasa mengimpikan perkahwinan unik dan meninggalkan nostalgia indah dalam mahligai perkahwinan dibina.

Justeru, hari perkahwinan sentiasa dipengaruhi idea segar supaya menjadi kenangan abadi yang sukar dilupakan bukan saja pada diri sendiri tetapi kepada keluarga dan tetamu hadir.

Tidak hairanlah, pasangan Siti Syahrmila Janna, 23, dan suami, Aslan Hasan Pohan, 24, memilih tema kartun popular dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa, Hello Kitty sebagai tema persandingan mereka pada 3 Disember lalu.

Majlis pernikahan dan persandingan yang berlangsung meriah di rumah pengantin perempuan di Tawau, Sabah dengan tema Hello Kitty merangkumi hiasan pelamin, bunga tangan, kek dan busana pengantin yang dipengaruhi dari elemen watak kartun fantasi dari Jepun itu.

Gerak hati pilih tema sama

Kisah di sebalik pemilihan kartun Hello Kitty sebagai tema perkahwinan pengantin baharu ini memang unik.

Siti Syahrmila yang juga usahawan kecantikan dan kafe berkata, semuanya bermula selepas melayari Internet dan membuat pencarian tema hiasan dalaman kafe.

"Sebagai peniaga produk kecantikan dan kafe, saya memang sentiasa merujuk Internet untuk mencari idea untuk kafe. Ketika membuat pencarian di Internet, saya terlihat gambar kafe Hello Kitty dan mula memikirkan tidak salah saya ambil ia sebagai inspirasi perkahwinan saya.

SITI Syahrmila dan suami bersanding di pelamin bertema Hello Kitty.
SITI Syahrmila dan suami bersanding di pelamin bertema Hello Kitty.

"Belum sempat memberitahu bakal suami, beliau rupa-rupanya memang tertarik jika kami menjadikan Hello Kitty sebagai tema perkahwinan. Tak sangka gerak hati kami memilih tema sama. Begitu juga rakan baik saya yang turut mencadangkan perkara sama," katanya.

Apatah lagi, beliau mengakui agak sedikit hambar dengan trend pelamin sentuhan dekorasi kerawang yang biasa digunakan sekian lama. Justeru, mahu tampil unik dan berbeza pada hari bahagia mereka.

Kongsi minat merah jambu

Pasangan ini bukan saja serasi bercinta tetapi pada sama memiliki cita rasa sama. Siti Syahrmila dan suami yang juga seorang usahawan sememangnya meminati rona merah jambu membuatkan mereka lebih tekad memilih tema itu pada hari indah mereka.

"Kalau ikutkan, saya bukanlah peminat tegar Hello Kitty tetapi suami memang gemar kartun. Pada awal perkenalan kami beliau memberikan hadiah pertamanya, sejambak bunga Hello Kitty kepada saya. Kemudian, kebanyakan hadiah lain juga adalah dari kartun Hello Kitty," katanya.

Cinta yang berputik sejak Oktober tahun lalu kemudian terus diakhiri dengan majlis pertunangan awal Mei lalu sememangnya memberikan lebih suntikan kasih sayang buat pasangan ini.

KELUARGA pengantin memberi sokongan dengan tema pilihan.
KELUARGA pengantin memberi sokongan dengan tema pilihan.

Kata anak bongsu daripada lima beradik ini, minat terhadap warna merah jambu sudah berputik sejak beliau kecil lagi dan kini lebih membara apabila suami juga meminati warna sama.

"Lelaki yang memakai baju dari warna merah jambu tidak semestinya mereka lelaki lembut. Kini, sesiapa juga boleh menyarungkan warna ini dan suami saya sendiri memang banyak baju kasual dari rona ini.

"Suami juga tidak kisah memakai busana pengantin merah jambu ketika bersanding di rumah saya. Malah, tidak ada kawan yang mengejek dan mereka melihatkan tema ini sebagai sesuatu yang unik," katanya.

Tidak sangka jadi viral

Beliau berkata, sebaik memilih tema fantasi itu, beliau tidak sangka mendapat perhatian umum apabila gambar tema perkahwinannya menjadi viral di beberapa laman sosial dan blog hiburan.

"Memang tak sangka ia menjadi viral sehingga butik pengantin pilihan saya, turut terkena tempiasnya. Tetapi saya bersyukur kerana pada masa sama, mereka yang menjayakan majlis kahwin kami seperti butik, pengusaha kek dan fotografi menjadi perhatian media dan umum," katanya.

Beliau akui, tidak terusik apabila ada kata-kata nakal mengusik suaminya sebagai terpaksa menyarungkan busana perkahwinan merah jambu dan menggunakan tema kartun itu.

SITI Syahrmila dan suami bersanding di pelamin bertema Hello Kitty.
SITI Syahrmila dan suami bersanding di pelamin bertema Hello Kitty.

"Saya faham apabila benda begini viral, tentu ada netizen dengan komen positif dan negatif. Apa sekalipun, saya berpuas hati dengan hasil kerja pelamin dari Butik Hati Ke Hati dan fotografi yang indah ketika sesi persandingan berlangsung.

"Apa yang penting, keluarga saya dan mentua tidak kisah dengan pemilihan tema kami dan suami," katanya.

Masih ikut adat

Bagaimanapun, ketika sesi malam berinai, pasangan ini masih mengikut adat budaya Sabah yang mana mengadakan majlis berkenaan dengan memakai 'baju opah'

Baju opah adalah baju tradisi nenek dengan motif bunga kecil dan berlengan sehingga siku.

"Adat di Sabah pada malam berinai memakai baju ini bersama kain sarung. Baju ini biasanya dibuat besar dari saiz badan dan rakan yang hadir pada malam berinai menari lagu Lenggok Miah.

"Adat ini dilakukan pada malam sebelum nikah bagi pengantin perempuan menghabiskan masa seadanya dengan kawan-kawan sebelum menjadi isteri orang," katanya.

PASANGAN Siti Syahrmila dan suami, Aslan Hasan memilih tema kartun popular dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa, Hello Kitty sebagai tema persandingan.
PASANGAN Siti Syahrmila dan suami, Aslan Hasan memilih tema kartun popular dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa, Hello Kitty sebagai tema persandingan.

Dapat permintaan ramai

Penangan tema Hello Kitty yang dipilih, Siti Syahrmila dan suami, Aslan Hasan ternyata turut memberi tempias kepada pemilik Butik Hati Ke Hati, Norhayati Abdul Latif, 42.

Beliau berkata, sejak tema pelamin Hello Kitty itu menjadi viral, beliau tidak putus-putus menerima tempahan dan pertanyaan daripada pelanggan yang berminat mendapatkan khidmat beliau sebagai jurusolek, busana dan pereka pelamin.

Ada pelanggan yang mahu menempah dari Indonesia, Kemboja dan Thailand tetapi terlalu jauh untuk saya tunaikan hasrat mereka dan tidak kurang yang meminta kebenaran menjadikan pelamin itu sebagai sumber inspirasi perkahwinan mereka.

Cuba cari kelainan

"Ketika pasangan ini beritahu saya mahu mengadakan tema berkenaan, saya cuba mencari kelainan. Tema ini biasa digunakan untuk majlis hari jadi, jadi saya mahu ia jadi ruang berbeza.

"Jadi, saya cuba melakar rekaan pelamin yang ringkas menggunakan warna tema biru dan merah jambu. Saya ambil masa seminggu untuk melakar dan tunjukkan kembali kepada pengantin.

"Sedikit kerja penambahan lakaran dijalankan dan kami jadikan ia sebagai konsep fantasi. Kami lebih menggunakan cetakan gambar daripada kain yang sering digunakan untuk pelamin tema biasa. Insya Allah, tahun depan kami akan meneruskan fantasi sebagai tema pengantin. Setakat ini sudah ada tempahan untuk Doraemon dan Tarzan," katanya.

Berita Harian X