MEMBAKUT: Sate ayam yang dipelihara secara organik dan hanya diberi makan ekstrak Tongkat Ali menjadi menu tarikan perniagaan seorang bekas kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.
Sarianshah Shamsudin, 33, yang "menghidupkan" semula perniagaan yang ditinggalkan ibu bapanya itu menamakan sate itu sebagai "Ayam Li", singkatan kepada ayam Tongkat Ali.
Katanya, sate ayam Li yang dijual RM1.10 secucuk itu antara penarik kepada perniagaannya itu yang kini mempunyai enam francais di beberapa lokasi di Sabah atas jenama Satay Power.
Anak sulung daripada enam beradik itu menjalankan perniagaan bersama seorang rakan kongsi sejak April lalu dengan lokasi francais di Taman Suria dan Grand Millineum, Penampang; Cybercity, Plaza Menggatal, Putatan dan Kingfisher di Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, bekalan Ayam Li agak terhad dan ada ketika beliau tidak dapat menjualnya seperti beberapa hari kebelakangan ini.
"Ayam Li diternak secara organik, hanya diberi makan Tongkat Ali tanpa campuran bahan lain lain.
"Ayam yang diberikan ekstrak Tongkat Ali menunjukkan kelebihan dari segi tekstur, bau, ketahanan dan kandungan lemak yang rendah," katanya kepada BH.
Ayam Li adalah hasil kajian seorang pensyarah di UMS yang dagingnya kurang lemak, berprotein tinggi dan lebih pejal.
"Produktiviti ladang juga menunjukkan peningkatan dengan kadar kematian yang rendah, penjimatan kos vaksin, peningkatan berat dan kualiti serta ketahanan terhadap serangan penyakit, selain kadar tumbesaran yang lebih cepat.
"Kos dan kaedah pengendalian serta perawatan sisa buangan ladang melalui kaedah tersebut juga menampakkan kelebihan berbanding kaedah konvensional," katanya.
Beliau berhenti kerja sebagai pegawai keselamatan di UMS selepas tidak sampai hati melihat perniagaan ibu bapanya terkubur begitu sahaja kerana ia adalah nostalgianya sejak kanak-kanak.
Perniagaan keluarganya sejak 1983 itu terhenti sejak tiga tahun selepas ibu bapanya, Shamsudin Mada, 63, dan Norbaiyah Dugapar, 52, mengambil keputusan menumpukan perhatian kepada kantin sekolah sejak 2013.
"Walaupun pada mulanya ibu bapa cuma berniaga di kaki lima kedai, kami pernah membekalkan sate dan kuah sejuk beku ke beberapa hotel terkemuka di Kota Kinabalu antara tahun 2007 hingga 2009.
"Kemudian, kami membuka kafe berasaskan sate pada tahun 2012 di Asia City, Kota Kinabalu sebelum ibu bapa mengambil keputusan pulang ke kampung untuk memberi tumpuan dengan perniagaan kantin sekolah," katanya.
Sarianshah berkata, beliau keputusannya berhenti kerja langkah terbaik kerana di samping menghidupkan semula perniagaan keluarga, ia membuka peluang kepada belia memulakan perniagaan francais itu.
Selain sate ayam Li, Sariansah juga menjual sate ayam, daging dan kambing dengan pelanggan juga boleh membuat tempahan untuk sate secara sejuk beku terutama bagi majlis.
Satay Power dihidangkan bersama kelupis, iaitu nasi pulut kukus dibungkus dengan daun nyirik atau silad.
INFO - Biodata Sarianshah Shamsudin
# Umur - 33 tahun
# Asal - Membakut, Sabah
# Kelulusan - Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, UMS.
# Kerjaya - 8 tahun bertugas sebagai pegawai kanan bahagian keselamatan di UMS
# Status - berkahwin dan mempunyai tiga anak
INFO - Satay Power
# 4 jenis sate iaitu Ayam Li Chicken, Chicken Thigh, Beef Tenderloin dan Lamb Shoulder.
# Dimulakan sejak April 2016
# Resipi ibu bapanya yang berniaga sate sejak 1983
# 6 kios di Kota Kinabalu dan Penampang