Isnin, 12 Disember 2016 | 12:09am

Nana jadikan nasihat Ziana Zain sebagai panduan

KUALA LUMPUR: Demi penampilan sulungnya di pentas teater, juara musim kedua Gegar Vaganza (GV2), Siti Nordiana memberanikan diri mendapatkan nasihat daripada idolanya dalam bidang seni suara, penyanyi terkenal, Ziana Zain.

Kagum dengan aksi Ziana pada Konsert High Note 2016 yang dijayakan bersama Azlan Typewriter dan Jaclyn Victor di Istana Budaya, baru-baru ini, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, menghubungi Ziana biarpun dalam hati gelisah memikirkan reaksi penyanyi Madah Berhelah itu.

"Pada mulanya saya menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada Kak Ziana untuk bertanya sama ada dia sibuk atau tidak.

"Saya tidak sangka, Kak Ziana membalas dengan menghubungi saya sepantas kilat. Lama kami berborak di telefon dan banyak pesanan berharga dikongsi bersama saya. Kak Ziana beritahu memang penat berlakon teater.

"Jadi Kak Ziana suruh saya mengambil vitamin sebagai pemberi tenaga dan mencadangkan makanan tambahan yang bagus untuk diamalkan," katanya kepada BH Plus.

SITI Nordiana digandingkan dengan Ziana Zain (kiri) ketika menjayakan persembahan sempena Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SITI Nordiana digandingkan dengan Ziana Zain (kiri) ketika menjayakan persembahan sempena Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Impak lakonan Nana dan Alif Satar dalam drama rantaian, Dia Semanis Honey yang disiarkan di kaca televisyen (TV), pengarah, Dira Abu Zahar yang mahu mengangkat karya itu ke pentas teater, menawarkan peluang kepada Nana menyertai projek itu.

Dia Semanis Honey dijangka dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, pada awal tahun depan.

Nana yang selam ini kagum dengan keperibadian dan sifat 'gila-gila' Ziana menyifatkan setiap pesanan idolanya itu menjadi kekuatan untuk tampil dalam teater berkenaan.

"Apa yang disampaikan saling tak tumpah seperti pesanan seorang kakak kepada adik. Saya akui perlu banyak berkorban untuk menjayakan pementasan teater ini.

"Saya ambil contoh Kak Ziana, baru-baru ini, terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana komitmennya untuk Konsert High Note 2016. Kak Ziana sanggup tinggal di hotel berdekatan Istana Budaya daripada pulang ke rumah.

"Rasa takut dan gementar sering menyelubungi diri. Namun, Kak Ziana berpesan usah terlalu memikirkan soal takut. Lakukan saja sepenuh hati dan tak perlu fikir jangkaan orang.

"Kak Ziana juga meminta saya terus fokus," katanya.

Kagum keperibadian idola

MEMINATI Ziana Zain mendorong Siti Nordiana sering menyampaikan lagu penyanyi terbabit setiap kali menyertai pertandingan nyanyian selama ini.
MEMINATI Ziana Zain mendorong Siti Nordiana sering menyampaikan lagu penyanyi terbabit setiap kali menyertai pertandingan nyanyian selama ini.

Bercerita mengenai 'ketaksubannya' terhadap Ziana, Nana berkata, dia sering menyanyikan lagu Ziana setiap kali menyertai pertandingan nyanyian.

"Malah, ketika beraksi di pentas akhir GV2, saya dendangkan lagu Putus Terpaksa," katanya.

Nana berkata, selepas berbual mesra dengan Ziana, dia merasakan penyanyi berstatus diva itu sangat baik dan mesra.

"Perangai 'gila-gila' dan gayanya bercakap boleh buat saya tergelak. Tak hairanlah kualiti yang ada dalam dirinya membuatkan Kak Ziana terus diterima dan dihargai ramai.

"Legasi seninya masih terus bertahan hingga kini," katanya yang mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan menjual busana muslimah Paling Comel, tudung Nanarayyan Hijabs dan gincu bibir SND.

Rakam single baharu tahun depan

DRAMA Dia Semanis Honey mengangkat nama Siti Nordiana dalam bidang lakonan
DRAMA Dia Semanis Honey mengangkat nama Siti Nordiana dalam bidang lakonan

Mengulas mengenai karier seni, Nana mengaku peminat belum dapat menerima perubahan genre single terbaharu ciptaan Audi Mok dan lirik sentuhan Omar K berjudul Pesanan Teragung.

Single itu dihadiahkan Astro selepas menjuarai GV2. Nana memilih menggunakan khidmat komposer Audi Mok yang sudah lama diidamkan.

"Secara peribadi, saya sukakan lagu itu kerana memberi kelainan terhadap konsep lagu 'tangkap leleh' yang sering saya dendangkan.

"Jadi memang tak saya nafikan, ada peminat dan penggemar nyanyian saya sedikit terkejut dengan kelainan lagu ini yang lebih terarah kepada irama pop," katanya.

Nana berkata, situasi itu berlaku mungkin disebabkan peminat masih mengharapkan dia menyanyikan lagu irama era 1990-an.

"Saya ada menerima tawaran merakamkan single dengan beberapa syarikat rakaman termasuk ada yang mahu saya berduet.

"Kalau jadi, ia akan direalisasikan tahun hadapan," katanya yang turut bercadang untuk mengeluarkan buku cerita santai termasuk berkongsi pengalaman dunia seni pada tahun 2017.

Nana juga bakal muncul dengan drama Pengantin Musim Salju yang menggandingkannya dengan Alif Satar, sekali lagi.

Biodata

Nama penuh : Siti Nordiana Alias

Nama komersial: Siti Nordiana atau Nana

Tarikh Lahir : 22 November 1984

Umur : 32 tahun

Asal: Felda Sendayan, Negeri Sembilan

Kerjaya : Penyanyi, pelakon dan ahli perniagaan

Drama : Dia Semanis Honey

Album : Gurindam Rindu Berkasih (1999)

Luahan Hati Kekasih (2000)

Bingkisan Kasih (2001)

Pelangi (2004)

Semakin Jelas (2011)

Anakku Sayang (2015)

QUOTATION SKRIP

# Juara musim kedua Gegar Vaganza (GV2)

# Miliki 6 album sejak 1999

# Drama rantaian 'Dia Semanis Honey' bersama Alif Satar, lonjak nama Nana dalam lakonan

# Single terbaharu - Pesanan Teragung

# Berniaga busana muslimah, Paling Comel; tudung Nanarayyan Hijabs & gincu bibir, SND.

SITI NORDIANA miliki 6 album sendiri sejak bergelar penyanyi mulai 1999.
SITI NORDIANA miliki 6 album sendiri sejak bergelar penyanyi mulai 1999.
SITI NORDIANA kini turut berniaga busana muslimah, tudung dan gincu bibir.
SITI NORDIANA kini turut berniaga busana muslimah, tudung dan gincu bibir.
CALON Kategori Online Anugerah Bintang Popular BH 29, Siti Nordiana. - SITI NORDIANA akui terima banyak tawaran rakam single daripada beberapa syarikat termasuk ada yang mahu beliau berduet.
CALON Kategori Online Anugerah Bintang Popular BH 29, Siti Nordiana. - SITI NORDIANA akui terima banyak tawaran rakam single daripada beberapa syarikat termasuk ada yang mahu beliau berduet.
Berita Harian X