TEKANAN kerja membawa penulis berhenti seketika di tempat rangkaian kopi berjenama sekadar untuk mencari ilham sambil menguji Huawei MateBook, tablet 2-dalam-1 terbaharu konglomerat elektronik dunia itu.
Agak menarik sepanjang sejam di meja kopi kecil, penulis menyedari beberapa mata melirik ke arah tablet itu yang turut disambungkan bersama stylus MatePen, MateDock dan MateBook Portfolio Keyboard.
Tidak dinafikan dengan reka bentuk nipis dilengkapi dengan pelindung portfolio kulit berwarna coklat kekuningan serta papan kekunci mekanikal berlatar cahaya menjadi elemen lengkap menonjolkan nilai estetika kemewahan.
Ditambah dengan rekaan melengkung MateBook yang selesa dipegang dan hanya memiliki butang penghidup, pengimbas jari ditempatkan antara kedua-dua butang pelaras suara, dan dua soket sambungan melayakkannya menjadi tablet Windows 10 dengan rekaan mewah terbaik diuji penulis setakat ini.
MateBook menggabungkan keupayaan mudah alih telefon pintar dengan ciri-ciri keupayaan laptop apabila digayakan bersama papan kekunci portfolio MateBook dan sambungan ke MateDock yang pertama kali disediakan dalam produk seumpama itu sebagai pilihan sambungan soket yang lebih banyak seperti pada laptop.
Hasilnya, pengguna tidak perlu membuat sambungan yang tidak menentu hanya untuk menghubungkan kepada soket VGA, HDMI, LAN dan USB 3.0 yang lebih stabil dan mudah disambung berbanding membuat tetapan sambungan tanpa wayar untuk kegunaan projector atau internet.
Pen Stylus MatePen turut membantu dengan kesempatan penulis mengambil pandangan pereka hiasan dalaman kediaman menguji pen dengan keupayaan 2,048 skor sensitiviti itu berjaya membuktikan ketepatan dan kecekapan kawalan.
Hampir terleka seketika melihat kelancaran pereka terbabit membangunkan rekaan 3D menggunakan pen stylus dan dibantu skrin sesentuh LCD IPS TFT 12 inci dengan input 10 sentuhan serentak pada resolusi 2160x1440 piksel dan sudut paparan yang luas 160-darjah.
Perbandingan spesifikasi prestasi MateBook juga tidak banyak dapat dibezakan dengan standard pasaran, namun bagi mereka yang memerlukan tablet Windows dengan sentuhan kemewahan, MateBook adalah pilihan terbaik setakat ini.
INFO: Huawei MateBook
Prestasi: 6th Gen Intel Core M prosesor, dua teras sehingga 3.1GHz
Sistem Operasi : Windows 10 Home, Windows 10 Pro
RAM: 4GB/8GB LPDDR3
Storan SSD: 128GB/256GB/512GB
KAMERA: 5 MP, fokus tetap
BATERI: 33.7Wh(4430mAh@7.6V).