Jumaat, 2 Disember 2016 | 12:06am

Dua wanita tinggalkan kerjaya demi kembara keliling dunia

KUALA LUMPUR: Demi memenuhi impian mengelilingi dunia, dua wanita sanggup 'mengikat perut' selama empat tahun, bagi memastikan sumber kewangan mencukupi untuk membiayai misi peribadi itu.

Nor Azizan Mohd Baki, 40 dan rakannya, Ong Kim Eng, 40, menyimpan impian mengelilingi dunia kerana terpegun dengan pengalaman rakan-rakan pengembara lain yang ditemui setiap kali bercuti di luar negara.

Ini kerana mengembara dengan pengangkutan awam sambil membawa beg galas setiap kali melancong, membolehkan mereka bertemu ramai pengembara sambil bertukar pengalaman.

Kim Eng yang mesra disapa Kim, berkata kisah menarik didengar mereka, menjadi inspirasi kepada dirinya dan Nor Azizan hingga berkobar-kobar untuk melakukan perkara sama, sebelum sepakat membuat perancangan merealisasikan impian itu.

"Kami seronok mendengar kisah dan pengalaman mereka. Ada yang mengambil cuti sehingga enam bulan dan setahun semata-mata untuk mengembara.

PEMANDANGAN matahari terbenam di San Juan, Puerto Rico.
PEMANDANGAN matahari terbenam di San Juan, Puerto Rico.

NOR Azizan (kiri) dan Ong Kim Eng, sepakat mengumpul dana selama empat tahun sebelum berhenti kerja, demi memenuhi impian mengelilingi dunia .
NOR Azizan (kiri) dan Ong Kim Eng, sepakat mengumpul dana selama empat tahun sebelum berhenti kerja, demi memenuhi impian mengelilingi dunia .

"Dari situ, pada 2010, kami mula membuat perancangan dengan berjimat cermat untuk mengumpul dana," katanya kepada BH, ketika ditemui bersama Nor Azizan yang mesra dengan panggilan Bijan, baru-baru ini.

Kim yang pernah bekerja sebagai pegawai pemasaran, berkata keluarga masing-masing tidak memandang serius apabila diberitahu mereka mahu berhenti kerja untuk mengelilingi dunia.

"Mereka sangka rancangan kami berdua sekadar hangat-hangat tahi ayam atau bergurau. Mereka hanya sedar kami serius dengan rancangan ini apabila benar-benar berhenti kerja," kata Bijan.

Memanfaatkan tiket promosi yang dibeli setahun sebelum perjalanan itu, Kim dan Bijan memulakan pengembaraan mulai Ogos 2014 dengan menaiki penerbangan ke Mongolia, selepas membahagikan pengembaraan mereka kepada lima bahagian.

ANTARA lokasi menarik di Ollantaytambo, Peru.
ANTARA lokasi menarik di Ollantaytambo, Peru.

PEMANDANGAN indah waktu senja di Roman Bridge, Cordoba, Sepanyol.
PEMANDANGAN indah waktu senja di Roman Bridge, Cordoba, Sepanyol.

Kembara Kim dan Bijan bermula dengan meneroka Benua Asia dari Mongolia, sebelum meneruskan perjalanan ke China dan Tibet.

Kim berkata, mereka menumpang serta menggunakan pelbagai pengangkutan awam yang murah seperti lori, bas, kereta, feri, kapal terbang serta menumpang kenderaan penduduk tempatan ketika menuju ke Nepal, Turki, Greece dan Sepanyol.

"Perjalanan darat kami teruskan ke Benua Afrika bermula dari Kaherah, Mesir hingga Cape Town, Afrika Selatan mengambil masa selama lima bulan.

"Dari Afrika, kami menuju negara di Benua Eropah seperti England, Ireland, Itali dan Switzerland," katanya.

Dua sahabat itu meneruskan kembara merentasi benua Amerika Selatan yang dipenuhi pelbagai pengalaman suka duka termasuk membeli sebuah motosikal terpakai berharga AS$2,000 (RM8,000) bagi memudahkan pergerakan.

MOTOSIKAL yang dibeli sebagai pengangkutan utama Kim dan Bijan sepanjang menerokai benua Amerika Selatan selama enam bulan.
MOTOSIKAL yang dibeli sebagai pengangkutan utama Kim dan Bijan sepanjang menerokai benua Amerika Selatan selama enam bulan.

Pengembaraan terakhir mereka mengembara menggunakan bot bagi menyusuri Hutan Amazon yang terkenal dengan pelbagai kisah.

"Kami mengembara selama tujuh hari menyusuri Hutan Amazon menggunakan bot, bermula dari Peru hingga Colombia.

"Ia pengalaman yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Keunikan dan keindahan Hutan Amazon sangat mengagumkan, lebih daripada apa yang kita lihat di dalam filem," kata Bijan yang turut berpeluang menikmati isi ikan piranha ketika berada di sana.

Bekas pekerja sebuah bank itu juga memberitahu, insurans perjalanan antara perkara utama yang perlu diberi perhatian sebelum memulakan perjalanan ke mana-mana destinasi di luar negara.

"Saya sakit sebanyak dua kali sepanjang tempoh pengembaraan. Kali pertama ketika berada di Aswan, Mesir apabila dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti bakteria Salmonella.

KIM menikmati pemandangan matahari terbenam di gurun garam terbesar dunia, Salar de Uyuni di Bolivia.
KIM menikmati pemandangan matahari terbenam di gurun garam terbesar dunia, Salar de Uyuni di Bolivia.

PEMANDANGAN waktu pagi di Air Terjun Victoria yang terletak di sempadan Zambia dan Zimbabwe.
PEMANDANGAN waktu pagi di Air Terjun Victoria yang terletak di sempadan Zambia dan Zimbabwe.

"Kali kedua di Amazon, apabila terkena alahan 'Urticaria' yang mengakibatkan seluruh badan termasuk lidah bengkak dengan teruk," katanya.

Dalam kedua-dua situasi itu, Bijan berkata, insurans perjalanan menjadi penyelamat khususnya untuk mendapatkan rawatan di hospital dan menjelaskan bil perubatan.

"Saya tahu ada yang memandang remeh keperluan insurans perjalanan ini tapi percayalah, apabila berdepan dengan situasi tidak dijangka, insurans ini besar faedahnya," katanya sambil disokong Kim.

Sepanjang pengembaraan selama 25 bulan itu, Kim dan Bijan tidak terlepas daripada berdepan dengan situasi mencemaskan.

"Ketika berada di Kahta, Turki untuk melawat Gunung Namrud, rupa-rupanya kunjungan kami di luar musim percutian, jadi kawasan itu sunyi sepi.

"Kami menginap di sebuah hostel selepas diberitahu, ada dua pelancong Jepun ada bersama. Rupa-rupanya ditipu dan sebenarnya, hanya kami berdua sahaja tidur di hostel itu.

PEMANDANGAN indah waktu senja di Maun, Botswana.
PEMANDANGAN indah waktu senja di Maun, Botswana.

"Buat pertama kali selepas beberapa lama mengembara, kami tidur dengan menggunakan alat khas yang dibeli bagi menyendal pintu bilik sebagai langkah keselamatan," kata Kim sambil memberitahu, pemilik hostel itu pada mulanya enggan membenarkan mereka keluar daripada premis itu.

Kedua-duanya mengetahui rancangan pemilik hostel itu mahu 'menahan' untuk beberapa lama lagi daripada pemandu van secara tidak sengaja membocor rahsia itu dalam perbualan ketika menghantar mereka ke Gunung Namrud.

Selain di Kahta, mereka turut berdepan detik mencemaskan di Peru, apabila motosikal yang ditunggang mengalami kerosakan brek yang tidak mampu dibaiki.

"Sepanjang tempoh itu, kami hanya bertawakal dan bersyukur apabila selamat tiba semula di Peru sebelum menjual motosikal terbabit pada harga AS$1,000 (kira-kira RM4,400)," kata Bijan.

Kim berkata, semua pengalaman yang ditempuh mereka sepanjang pengembaraan itu akan dibukukan, dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada generasi muda negara ini untuk 'keluar' melihat dunia.

"Apabila keluar mengembara, setiap hari adalah pelajaran baru buat kita. Selagi kita sudi membuka minda, semua itu akan memberi kita ilmu. Usia juga bukan penghalang untuk kita melakukan sesuatu, asalkan percaya kepada diri sendiri," katanya.

PEMANDANGAN dari jauh Colca Canyon, Peru.
PEMANDANGAN dari jauh Colca Canyon, Peru.
GUNUNG bersalji menjadi latar pemandangan di Jungfrau, Switzerland.
GUNUNG bersalji menjadi latar pemandangan di Jungfrau, Switzerland.
SALAH seorang penduduk tempatan berjalan menyusuri pantai Nungwi di Zanzibar.
SALAH seorang penduduk tempatan berjalan menyusuri pantai Nungwi di Zanzibar.
BELON udara panas berterbangan di langit Kapadokya, Turki.
BELON udara panas berterbangan di langit Kapadokya, Turki.
Berita Harian X