Khamis, 1 Disember 2016 | 12:05am

Kepuasan jinakkan trout lincah

Menghabiskan lebih RM10,000 semata-mata untuk memenuhi kepuasan memancing bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dilakukan.

Hanya mereka yang betul-betul tegar atau memang poket tebal sahaja sanggup melakukannya.

Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih, kata Nick mengulas trip memancing ke Mongolia yang disertai lima rakannya baru-baru ini.

Mereka membelanjakan kira-kira RM9,500 seorang demi mengejar keseronokan memancing selama lima hari di negara itu.

Selain Nick, trip memancing ini disertai Irhamy Ahmad, Yuen Ann Mah, Joseph Lim dan Gan serta David Lin.

Hidup di kawasan terpencil

Di Mongolia, destinasi yang dituju untuk melakukan aktiviti memancing ini ialah Sungai Onon dan Sungai Bayan-Adraga yang terletak berhampiran sempadan Russia.

Kedua-dua sungai ini terkenal dengan spesies leenok trout, amur trout, taimen dan grayling. Semua ikan ini dikatakan sangat lincah dan tidak mudah ditewaskan walaupun saiznya sederhana sahaja.

Kelincahan itu akan menguji kemahiran setiap pemancing yang menyertai trip ini.

Nick menjelaskan, semua ikan yang menjadi buruan mereka di Mongolia hanya boleh didapati di kawasan sungai berhampiran dengan pergunungan, masih tidak tercemar dan lokasinya pula jauh di pedalaman.

NICK ketika memancing di Mongolia awal bulan ini.
NICK ketika memancing di Mongolia awal bulan ini.

Beliau berkata, ikan trout dikenali sebagai ikan air tawar terpantas kerana memiliki kelajuan berenang antara 10 hingga 20 kilometer sejam.

Difahamkan ketika di dalam suhu air pada lima hingga 10 darjah Celsius, trout akan menjadi lebih aktif berbanding ikan di hulu sungai.

"Biasanya ikan ini hidup dalam kumpulan terpencil dan akan mempertahankan kawasannya apabila diganggu.

"Makanan ikan ini adalah serangga, larva dan haiwan yang agak besar seperti ikan minnows," katanya.

Menguji kemahiran pemancing

Ikan leenok, amur, taimen dan grayling' yang kami cari di Mongolia tidak ada di Malaysia dan memancingnya tidak semudah memancing kelah, sebarau, tengas dan sikang di hulu sungai di tengah hutan di negara kita, kata Nick yang juga bekas pemain gitar bass kumpulan Headwind itu.

Katanya, memancing trout memerlukan pengetahuan mendalam mengenai tabiat ikan, ciri-ciri air dan cuaca yang membuatkan trout fishing menjadi kemuncak sukan memancing yang digilai ramai dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke Mongolia.

"Semua ikan yang kami buru itu mempunyai sifat ikan jeram yang mempunyai segala perwatakan game fish yang memberi kepuasan kepada pemancing.

"Setiap pemancing kena ada kemahiran taktikal kerana semua ikan di sini cukup lincah dan mudah melepaskan diri kalau kita tidak cekap melayan aksinya.

"Tapi itulah yang menyeronokkan. Sukar untuk saya menjelaskan kepada orang lain akan kepuasan yang saya maksudkan hanya pemancing terbabit sahaja yang faham," katanya.

DARI kiri; Nick, Gan, Irhamy, David, Mah, Kelvin dan pemandu pelancong memancing, Ganba.
DARI kiri; Nick, Gan, Irhamy, David, Mah, Kelvin dan pemandu pelancong memancing, Ganba.

Berbaloi dengan kos dikeluarkan

Mengenai kos pengembaraan memancing sebanyak RM9,438 atau kira-kira AS$2,300, Nick berkata ia adalah perbelanjaan selama 10 hari merangkumi tiket penerbangan pergi dan balik, sewa hotel, makan minum, pengangkutan, sewa khemah dan keperluan kecemasan.

"Jumlah sebanyak itu, sebenarnya sangat berbaloi kepada kaki pancing tegar yang sentiasa mahu mencari kelainan dan kepuasan," katanya.

Nick berkata, tidak ada penerbangan terus ke Mongolia sebaliknya mereka perlu ke ke Inchoen, Korea Selatan terlebih dahulu.

Mereka singgah transit selama tiga jam sebelum meneruskan penerbangan ke Ulaanbatar yang mengambil masa kira-kira dua jam.

"Di lapangan terbang Ulaanbaatar, kami dibawa pemandu pelancong yang juga kaki pancing tempatan, Ganba Buyan ke hotel untuk satu malam.

"Keesokannya barulah kami dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk ke destinasi memancing, melalui perjalanan selama sembilan jam.

"Walaupun lama, tetapi tidak membosankan kerana kami dapat melihat pemandangan menarik sepanjang perjalanan ini," katanya.

Cipta rekod peribadi

Nick berkata, kebanyakan jalan raya masih berdebu dan tidak ada papan tanda.

"Disebabkan tidak ada papan tanda, perjalanan kami ke destinasi memancing di Sungai Onon dan Bayan-Adraga hanya berpandukan kompas.

"Itulah pengalaman yang menarik bagi kami," katanya.

Nick berkata, sepanjang 10 hari di sana, hanya dua ekor ikan yang dibawa pulang setiap hari, untuk dijadikan lauk makan malam, manakala yang lain dilepaskan semula.

Setiap hari pemancing berjaya menjinakkan lebih 10 ikan, sama ada leenok trout, amur trout, taimen dan grayling.

"Kejayaan memperoleh semua spesies ikan itu dalam trip itu dengan kaedah flyfishing adalah rekod peribadi kami.

"Hanya kami yang dapat merasai keseronokan dan kepuasan setiap kali berjaya menjinakkan semua empat spesies ikan itu dalam tempoh yang singkat," katanya.

IRHAMY gembira bersama Leenok trout yang diperolehnya.
IRHAMY gembira bersama Leenok trout yang diperolehnya.

Info

* Sifat trout Mongolia yang hidup secara berkumpulan boleh di samakan dengan ikan sikang yang terdapat di negara ini.

* Ikan sikang bukanlah spesies popular dalam kalangan kaki pancing di Malaysia.

* Ikan trout, kebiasaannya hanya boleh ditemui di kawasan yang sejuk airnya lebih-lebih lagi di kawasan jeram.

* Jangka hayat ikan trout ini bergantung kepada jenisnya. Bagaimana trout ini amat popular dikalangan kaki pancing di Amerika Syarikat dan Jepun.

Berita Harian X