ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman (SADA) diarah meningkatkan kapasiti penghantaran air ke Kampung Paya Terap dekat Padang Terap, yang terjejas bekalan apabila air tandak digunakan mereka, tercemar akibat pembalakan Hutan Simpan Bukit Perangin.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata penghantaran itu adalah tambahan kepada bekalan air bersih dihantar SADA setiap dua hari, untuk memenuhi keperluan kira-kira 200 penduduk di situ.
Beliau berkata, arahan penambahan kapasiti penghantaran itu dibuat untuk mengurangkan kebergantungan penduduk terjejas terhadap bekalan air tandak dari Hutan Simpan Bukit Perangin, yang sering berisiko untuk tercemar setiap kali hujan melanda.
"SADA memang menghantar bekalan air ke kampung terbabit dua hari sekali, namun selepas timbul isu ini (bekalan air tandak tercemar) ada keperluan memastikan penghantaran bekalan air menggunakan tangki ke kampung yang mengalami masalah tekanan air rendah itu ditingkatkan.
"Saya harap penduduk dapat bersabar sedikit kerana saya sendiri akan minta SADA menambah kekerapan (penghantaran air). Kita harap penduduk boleh bergantung sepenuhnya kepada bekalan air dihantar SADA, tanpa perlu mengharapkan air tandak yang sering tercemar," katanya.
Beliau mengulas pendedahan BH mengenai pembalakan sekitar puncak Hutan Simpan Bukit Perangin sejak tiga bulan lalu, yang didakwa penduduk menyebabkan pencemaran terhadap sumber bekalan air tandak di Kampung Paya Terap.
Berdasarkan maklumat diperoleh, SADA menghantar bekalan air menggunakan lori dengan kapasiti sehingga 600 liter setiap dua hari ke kampung berkenaan yang digunakan penduduk untuk minum dan memasak, namun mereka masih perlu menggunakan air tandak yang dialirkan dari hutan simpan itu untuk kegunaan lain.
Badrol Hisham berkata, pihaknya juga dimaklumkan Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang juga Menteri Pendidikan, ada memaklumkan mengenai peruntukan menyediakan paip sepanjang 2.5 kilometer (km) untuk disambung ke punca air di Sungai Perik.
"Saya jangka adanya punca air baharu itu, sedikit sebanyak mengurangkan masalah dihadapi penduduk kampung terbabit. Selain itu masalah air beberapa kawasan di Padang Terap juga dijangka dapat diselesaikan menerusi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Pokok Sena di Sungai Santap dekat Jabi, siap sepenuhnya tahun depan.
"Loji yang menelan belanja kira-kira RM50 juta itu diumumkan kelulusannya pembinaannya tahun lalu dan ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun," katanya.
FAKTA:
- 200 penduduk Kampung Paya Terap
- 600 liter bekalan air bersih diagihkan SADA setiap dua hari
- 2.5 kilometer projek paip baharu
- RM50 juta kos LRA Pokok Sena