Jumaat, 11 November 2016 | 12:00am

Parut jerawat tak bahaya tapi perlu dirawat

SAYA berusia 23 tahun dan runsing apabila wajah kelihatan bekas parut jerawat yang jelas. Apakah rawatan terbaik dan dalam tempoh singkat dapat menghilangkannya?
Noraini Adnan
Kampung Baru, Kuala Lumpur

WALAUPUN parut jerawat dianggap sesuatu yang tidak berbahaya, tetapi tetap dikategorikan sebagai masalah kesihatan yang memerlukan perhatian perubatan.

Ini kerana kebanyakan individu yang mempunyai bekas jerawat menganggap kewujudannya sebagai sesuatu yang hodoh dan menyebabkan rasa rendah diri untuk menjalani kehidupan normal Apabila jerawat sudah sembuh ia akan meninggalkan kesan kemerahmerahan atau kesan parut hitam. Ini sebenarnya bukan parut jerawat, tetapi kesan daripada radang jerawat.

Jika tiada jerawat baru yang tumbuh, kulit akan sembuh dengan sendiri. Kulit yang menyembuh dengan baik biasanya tidak akan meninggalkan apa-apa kesan. Apa-apa kesan akibat jerawat yang lebih daripada setahun ia dikenali sebagai parut jerawat jenis fibrosis.

1 Guna krim jerawat

Untuk memulihkan parut jerawat, sebagai langkah awal individu boleh menggunakan produk yang mengandungi kandungan lidah buaya, vitamin E dan allantoin bagi tujuan itu.

Anda juga boleh merujuk masalah itu pada pakar kulit jika parut masih tidak hilang selepas penggunaan selama empat minggu kurang berkesan.

Jika tiada kesan positif selepas menggunakan produk atau krim, kebiasaannya doktor akan menyarankan kaedah lain yang lebih sesuai mengikut jenis parut.

2 Rawatan laser

Rawatan menggunakan laser adalah salah satu cara paling berkesan terutama pada parut jerawat yang berlekuk atau jenis kesan hitam degil.

Proses penyembuhan menggunakan laser boleh mengambil masa antara dua hingga enam bulan bergantung pada tahap parut jerawat.

Kini rawatan laser adalah pilihan popular kerana ia berupaya merawat semua jenis parut dalam masa yang singkat berbanding menggunakan kaedah pengelupasan kimia atau rawatan mesotherapi.

3 Dua jenis laser

Dua jenis laser yang paling berkesan adalah dengan menggunakan laser FCO2 (karbon dioksida) atau Erbium Yag laser.

Kedua-dua laser ini adalah dalam kategori ablative laser, iaitu ia akan menghakis lapisan kulit yang berparut tanpa merosakkan kulit normal.

Laser juga mampu meratakan kawasan kulit yang dirawat dan akan merangsang kulit untuk membentuk kolagen daripada bawah kulit. Ini menyebabkan kulit akan kelihatan lebih tegang, kesan parut jerawat kurang, pori muka kelihatan lebih halus dan mengecil.

Proses rawatan ini perlu dilakukan beberapa sesi antara empat hingga enam minggu sekali.

Penjagaan selepas laser adalah mudah iaitu hanya perlu kerap memakai krim pelindung tabir suria apabila keluar disertai dengan pelembap jenis berasakan air atau tanpa minyak.

Info

Sebab ditumbuhi jerawat
- Perubahan hormon
- Faktor keturunan
- Merokok
- Asap
- Debu.

Makanan penyebab jerawat
- Makanan segera (mi segera)
- Minuman bersoda
- Kafein
- Mengandungi lemak dalam makanan
- Makanan berminyak

Cegah jerawat
- Cuci muka
- Bersihkan mekap
- Gunakan masker wajah

* Pakar kecantikan, Pakar Estetik, Klinik Pesona

Berita Harian X