Rabu, 9 November 2016 | 12:07am

Tiga pemuda belajar jahitan demi bantu kaum ibu

KUALA LUMPUR: Tiga anak muda sepakat menubuhkan Kelab Umie Aktif, yang memberi kemahiran jahitan kraftangan kepada ibu tunggal dan wanita miskin di ibu kota ini, untuk menambah pendapatan golongan terbabit.

Menariknya, Nik Sin Nik Man; Syed Azmi Alhabshi dan Lawrence Anak Abus, tidak pernah belajar menjahit secara formal, sebaliknya hanya mempelajarinya di YouTube, sebelum mengajar semula golongan sasaran itu.

Ketika ini, Kelab Umie Aktif mempunyai 20 peserta terdiri daripada golongan wanita tidak bernasib baik yang mendapatkan latihan daripada mereka menerusi 'kelas' di kaki lima sebuah premis dekat Chow Kit sejak Januari lalu.

TIGA pemuda yang menjadi tulang belakang kepada Kelab Umie Aktif yang membantu ibu tunggal dan miskin sekitar ibu kota.
TIGA pemuda yang menjadi tulang belakang kepada Kelab Umie Aktif yang membantu ibu tunggal dan miskin sekitar ibu kota.

Nik Sin yang mengasaskan kelab terbabit, berkata peserta meluangkan masa setiap malam Khamis dan Sabtu bagi menjahit anak patung, beg dan sarung kusyen untuk dipasarkan.

"Pada mulanya, kami hadir sebagai sukarelawan aktiviti membantu gelandangan di sini. Namun melihat golongan ibu di sini tidak berbuat apa-apa sepanjang menunggu anak mereka menghadiri kelas tuisyen disediakan badan bukan kerajaan, tercetus idea mengadakan kelas menjahit untuk mereka.

Nik Sin bekerja sebagai juruukur, Syed Azmi adalah aktivis sosial manakala Lawrence adalah pensyarah.

"Sebelum mula mengendalikan kelas ini, kami belajar sendiri teknik menjahit melalui YouTube supaya boleh mengajar mereka semula," katanya.

Nik Sin berkata, golongan ibu terbabit menggunakan kreativiti menghasilkan anak patung dan beg sebelum dijual pada harga RM30 hingga RM100.

SEBAHAGIAN daripada kraf tangan hasil kerja peserta kelas Kelab Umie Aktif.
SEBAHAGIAN daripada kraf tangan hasil kerja peserta kelas Kelab Umie Aktif.

"Setiap produk yang dihasilkan mempunyai cerita tersendiri. Bagaimanapun, Umie Aktif mengutamakan kualiti berbanding kuantiti, supaya setiap produk dihasilkan cantik dan memuaskan hati pelanggan.

"Kami tidak menyangka Umie Aktif mampu menghasilkan kraftangan unik sehingga mendapat tempahan daripada pelanggan termasuk syarikat korporat," katanya.

Nik Sin berkata, bermula jam 9 hingga 11 malam setiap malam Khamis dan Sabtu, mereka duduk beramai-ramai di kaki lima berkenaan bersama-sama menjahit produk mereka.

"Mereka (golongan ibu) berkongsi idea menghasilkan jahitan, manakala tugas kami bertiga memasarkan produk yang siap secara dalam talian atau menerusi karnival tertentu.

"Apa yang paling penting, hasil kerja tangan ini dijual berdasarkan mutu dan nilai yang tinggi, bukan kerana simpati orang ramai terhadap keadaan mereka," katanya.

Sementara itu, peserta Umie Aktif, Fensy Feirani, 38, berkata, dia yang menyertai perkumpulan itu sejak awal tahun lalu mampu menjana pendapatan sehingga RM500 sebulan.

KELAS jahitan disediakan kepada golongan ibu tunggal dan miskin sebagai mengisi masa mereka yang terluang sementara menanti anak masing-masing habis kelas tuisyen.
KELAS jahitan disediakan kepada golongan ibu tunggal dan miskin sebagai mengisi masa mereka yang terluang sementara menanti anak masing-masing habis kelas tuisyen.

"Jika sebelum ini, saya tidak tahu cara menambah pendapatan, sejak 'Cikgu' Syed Azmi dan yang lain mengajar menjahit, saya dapat membantu suami menambah pendapatan.

"Jika sebelum ini tidak mampu menyewa rumah tetapi wang hasil jualan kini saya dapat membantu suami membayar sewa bilik untuk kami enam beranak," kata ibu beranak empat, dua masih kecil dan dua sedang bersekolah.

Seorang lagi ahli Umie Aktif, Emi Rahimah Ansir, 58, berkata, setiap minggu dia menghasilkan empat anak patung untuk dijual.

"Cikgu ingatkan supaya tidak mengejar kuantiti, sebaliknya kualiti yang paling penting. Hasil kerja tangan diberikan kepada orang mesti ikhlas.

"Kalau salah dan tidak cantik cikgu minta kami buat semula sebelum dia jual kepada pelanggan," katanya yang juga ibu tunggal kepada seorang remaja berusia 18 tahun.

Beliau berkata, sebagai ibu tunggal mereka perlu lebih tabah, tidak gentar, bersemangat dan mempunyai jati diri bagi memudahkan keluar daripada kepompong kesusahan hidup.

AKTIVIS kebajikan kanak-kanak, Syed Azmi Al Habshi. - Foto Adi Safri
AKTIVIS kebajikan kanak-kanak, Syed Azmi Al Habshi. - Foto Adi Safri
KEMAHIRAN menghasilkan produk kraf yang diperoleh menerusi kelas jahitan membolehkan pesertanya menjana pendapatan tambahan untuk keluarga masing-masing
KEMAHIRAN menghasilkan produk kraf yang diperoleh menerusi kelas jahitan membolehkan pesertanya menjana pendapatan tambahan untuk keluarga masing-masing
KELAS jahitan Kelab Umie Aktif diadakan pada setiap malam pada Khamis dan Sabtu di kaki lima bangunan dekat Chow Kit.
KELAS jahitan Kelab Umie Aktif diadakan pada setiap malam pada Khamis dan Sabtu di kaki lima bangunan dekat Chow Kit.
SEBAHAGIAN daripada peserta dan sukarelawan Kelab Umie Aktif
SEBAHAGIAN daripada peserta dan sukarelawan Kelab Umie Aktif
PRODUK kraf yang dihasilkan peserta kelas jahitan Kelab Umie Aktif dijual pada harga antara RM30 hingga RM100.
PRODUK kraf yang dihasilkan peserta kelas jahitan Kelab Umie Aktif dijual pada harga antara RM30 hingga RM100.
SEBAHAGIAN daripada hasil kraf tangan peserta kelas jahitan anjuran Kelab Umie Aktif
SEBAHAGIAN daripada hasil kraf tangan peserta kelas jahitan anjuran Kelab Umie Aktif
PRODUK keluaran Umie Aktif menarik perhatian ramai termasuk syarikat korporat
PRODUK keluaran Umie Aktif menarik perhatian ramai termasuk syarikat korporat
KELAS jahitan yang disediakan oleh Kelab Umir Aktif setakat ini menarik penyertaan 20 peserta.
KELAS jahitan yang disediakan oleh Kelab Umir Aktif setakat ini menarik penyertaan 20 peserta.
Berita Harian X