Ahad, 30 Oktober 2016 | 12:00am
BANGUNAN Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur.
BANGUNAN Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur.

Kesusasteraan perlu peruntukan dana khas

KUALA LUMPUR: Di sebalik potongan cukai dalam konteks pembangunan kebudayaan dalam Bajet 2017, pengarang dan penggiat sastera meminta perhatian menyeluruh turut diberikan dalam pembangunan kesusasteraan.

Dalam Bajet 2017 itu, potongan cukai daripada RM500,000 ringgit dinaikkan kepada RM700,000 untuk sektor swasta yang menaja pertunjukan kesenian, kebudayaan, warisan tempatan dan luar negara.

Ini kerana pengarang bimbang pembangunan sastera akan terus ketinggalan sekiranya bidang kesusasteraan tidak mendapat tempias daripada apa yang dibentangkan itu.

Pembangunan menyeluruh

Ketua Satu Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Jasni Matlani, berpandangan pembangunan sastera perlu diberi perhatian dengan pandangan yang menyeluruh.

"Belanjawan seharusnya mengambil kira perkembangan sastera di seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di ibu kota saja. Saya berasakan bajet perlu melihat perkembangan sastera di Sabah dan Sarawak yang mungkin selama ini terlepas," katanya kepada Sastera&Budaya di sini.

Tegas Jasni, amat bagus jika ada sedikit peruntukan untuk perkembangan sastera dalam usaha menjadi negara maju.

"Perkembangan bakat muda juga sangat penting, selain peluang penerbitan kerana seperti yang kita ketahui Sabah misalnya memiliki ramai pengarang, tetapi peluang penerbitannya masih terhad," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, senada dengan Jasni apabila menyebut Bajet 2017 perlu memberi peruntukan sama ada dalam bentuk pembelian buku penulis atau membina kepakaran.

Insentif untuk penulis

"Bajet juga perlu memikirkan insentif khas dan kekal untuk penulis yang diuruskan oleh agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

"Hal ini supaya tidak perlulah setiap kali hendak menganjurkan sesuatu program, kami perlu meminta dana sebaliknya terus mendapat peruntukan khas," katanya.

Tegas Mohamad Saleeh, pembangunan sastera bukan bidang yang boleh mendapat keuntungan serta-merta, sebaliknya menyifatkannya sebagai pelaburan jangka panjang.

"Ini kerana untuk menjadi negara maju, perhatian sebegitulah yang perlu kita lakukan," katanya.

Berita Harian X