Selasa, 25 Oktober 2016 | 12:22am

'Burger daging babi guna nama Melayu'

Kuala Lumpur: Sebuah rangkaian restoran makanan segera tidak halal yang beroperasi di negara ini, dikesan menawarkan burger daging babi menggunakan nama P Ramly.

 

Tinjauan BH susulan aduan orang ramai mendapati, burger yang diperkenalkan sejak 31 Ogos lalu, ditawarkan pada harga RM9.90 bagi satu set.

 

Selain Lembah Klang, rangkaian restoran terbabit turut mempunyai cawangan di Melaka dan Negeri Sembilan, selain beroperasi menggunakan trak makanan serta dipromosi menerusi laman sosial Facebook.

TINJAUAN burger tidak halal menggunakan nama P Ramly di Damansara, semalam.
TINJAUAN burger tidak halal menggunakan nama P Ramly di Damansara, semalam.

Ketika tinjauan terhadap premis restoran itu di pusat beli belah dekat Damansara, pekerja restoran terbabit menjelaskan P pada nama menu itu merujuk kepada pork atau daging babi yang digunakan, manakala Ramly didakwa nama biasa rakyat negara ini.

 

Hakikatnya, bunyi sebutan nama itu sinonim dengan seniman agung negara, Tan Sri Dr P Ramlee. Masa sama, Ramly pula sinonim dengan jenama burger keluaran sebuah syarikat Bumiputera yang terkenal.

Meskipun Ramly didakwa merujuk kepada nama biasa dalam kalangan rakyat negara ini, hakikatnya adalah sukar menemui individu menggunakan sebutan nama itu dalam kalangan bukan Islam.

TINJAUAN burger tidak halal menggunakan nama Melayu Islam terkenal di pusat beli belah di Petaling Jaya.
TINJAUAN burger tidak halal menggunakan nama Melayu Islam terkenal di pusat beli belah di Petaling Jaya.

Pengadu dikenali sebagai Jasmin, menyifatkan isu berkenaan lebih serius berbanding tanda nama hotdog yang sudah diketahui kandungan bahan makanan berkenaan.

 

"Kenapa perlu guna nama P Ramly, sedangkan banyak nama lain tidak mirip Melayu serta seniman agung tanah air, boleh digunakan bagi menarik perhatian," katanya yang turut sudah membuat laporan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

NUR Alia Abdullah Tahir, pengunjung pusat beli belah.
NUR Alia Abdullah Tahir, pengunjung pusat beli belah.

Pengunjung pusat beli belah itu, Nur Alia Abdullah Tahir, 21, menyifatkan nama menu burger yang digunakan restoran terbabit mengelirukan, selain kelihatan tidak menghormati seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee serta pengguna Melayu.

 

"Walaupun ejaan berbeza tetapi sebutan bunyinya hampir sama.  P Ramlee adalah nama besar di negara ini," katanya.

 

NURHAFEEZAH Che Haluddin.
NURHAFEEZAH Che Haluddin.

Eksekutif swasta, Nurhafeezah Che Haludin, 20, mendakwa nyaris terbeli burger terbabit kerana iklan mengenainya ditempatkan pada laluan awam dalam pusat beli belah dekat Damansara itu.

 

"Iklan penjualannya diletakkan pada laluan bebas orang awam, seolah-olah mahu menarik perhatian semua pengguna termasuk umat Islam, perbuatan ini menimbulkan kekeliruan," katanya.

 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, menyifatkan perbuatan restoran terbabit mengelirukan serta menyalahi Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa.

 

BH difahamkan, sebuah syarikat pembuatan daging burger tempatan milik Bumiputera, yang mempunyai nama mirip menu terbabit, sudah membuat laporan kepada  pihak berkuasa, tetapi setakat ini tiada tindakan diambil.

 

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ketika dihubungi, berkata pihaknya sedang mengkaji isu itu, sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

 

Berita Harian X