Sabtu, 22 Oktober 2016 | 12:27am

Aliah kendali stereng kereta guna kaki

ALOR SETAR: Lahir sebagai insan kurang upaya (OKU) bukan halangan kepada Aliah Talib, 29, untuk hidup berdikari, walaupun sepanjang hampir tiga dekad hidupnya berdepan pelbagai cabaran.

Dilahirkan tanpa kedua-dua tangan, wanita ini cekal menempuh kehidupan apabila berdepan ejekan dan hinaan berikutan kekurangan fizikal, tetapi kini mampu mampu meletakkan namanya sebaris pelukis ternama.

Menggunakan kaki untuk menggantikan tangan ketika melukis, Aliah mampu menukar kanvas putih kepada karya seni yang cukup menarik sehingga namanya kini dikenali pengikut seni lukisan tanah air terutama melalui pelbagai pameran lukisan dan demonstrasi unik dilakukannya di setiap pelusuk negara.

ALIAH Talib dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, terpaksa menggunakan kaki ketika berkarya dan semua urusan kehidupan lain. - Foto Amran Hamid
ALIAH Talib dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, terpaksa menggunakan kaki ketika berkarya dan semua urusan kehidupan lain. - Foto Amran Hamid

Bakat melukis dimiliki Aliah sejak berusia sembilan tahun dan dalam keadaan dirinya yang berstatus OKU, wanita ini tanpa jemu terus mengasah bakat.

Ketika ditemui, Aliah mengakui bukan mudah untuk beliau berdepan masyarakat, selepas melalui episod pahit dalam kehidupan yang dipenuhi tekanan dan sifat rendah diri akibat ejekan rakan sebaya sehingga pernah mengambil keputusan tidak mahu memasuki alam persekolahan.

"Saya pernah masuk tadika selama setahun. Sepanjang di tadika, saya sering diejek sehingga hilang keyakinan diri dan malu untuk berada dalam kalangan masyarakat dan mengambil keputusan untuk tidak bersekolah. 

EJEKAN dan hinaan terhadap kekurangan fizikal dirinya pernah membuatkan Aliah hilang keyakinan diri. - Foto Amran Hamid
EJEKAN dan hinaan terhadap kekurangan fizikal dirinya pernah membuatkan Aliah hilang keyakinan diri. - Foto Amran Hamid

"Selepas dinasihatkan ibu bapa dan keluarga, selain memikirkan masa depan, pada usia 16 tahun saya mengambil keputusan mengubah hidup dengan mengikuti kursus lukisan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi selama tiga tahun," katanya.

Anak bongsu daripada tujuh beradik ini, berkata di pusat latihan itulah beliau sedar ada insan lain yang bukan sahaja senasib, malah lebih malang daripadanya terpaksa berdepan kesukaran untuk menempuhi hidup.

Sejak itu, katanya, dia mula menanam keazaman mencapai impian menjadi seorang pelukis hebat setanding pelukis normal yang lain.

Aliah berkata, untuk mengasah kemahiran dan kebolehannya dalam bidang lukisan, dia Aliah menyambung pengajiannya pada 2011 di tempat sama dalam bidang lukisan batik canting selama setahun.

"Ketika ini saya berdepan cabaran cukup kuat kerana seni lukisan batik canting memerlukan ketelitian dan perlu berhati-hati kerana membabitkan lilin panas. Namun, saya tidak berputus asa untuk terus menguasai bidang lukisan itu.

HASIL usahanya selama ini, membolehkan Aliah memiliki kereta sendiri. - Foto Amran Hamid
HASIL usahanya selama ini, membolehkan Aliah memiliki kereta sendiri. - Foto Amran Hamid

"Lukisan lilin lebih rumit kerana memerlukan ketelitian dalam mengawal kepanasan lilin supaya lukisan dihasilkan kemas dan tidak comot. Saya sering kesakitan apabila lilin terkena pada kulit kaki, namun saya menganggapnya sebagai cabaran dan proses untuk belajar. 

"Selepas menamatkan kursus di PLPP, saya menambah pengetahuan untuk mengasah bakat dengan menimba ilmu daripada pelukis terkenal tanah air seperti Raja Azhar Idris, yang turut melatih ramai lagi pelukis istimewa seperti saya," katanya. 

Aliah turut menyertai Persatuan Artis Lukisan Mulut dan Kaki (MFPA) iaitu badan yang bertanggungjawab memasarkan lukisan dihasilkan pelukis sepertinya, selain beberapa persatuan lain seperti Angkatan Pelukis Kedah dalam melakukan pertunjukan lukisan. 

"Saya menyertai MFPA sejak 2007 dan beberapa persatuan lain dalam menjalankan pertunjukan lukisan. MFPA membantu memasarkan lukisan ahli persatuan, selain lukisan kami turut dicetak pada produk seperti kad raya, kad nama, pembalut hadiah, kalendar dan banyak lagi.

"Semua produk itu dijual kepada orang ramai dan menjadi sumber pendapatan ahli persatuan menerusi pembayaran elaun.

ALIAH mula melukis sejak berusia sembilan tahun. - Foto Amran Hamid
ALIAH mula melukis sejak berusia sembilan tahun. - Foto Amran Hamid

"Selain itu, saya tidak melepaskan peluang menyertai persatuan lain untuk terus mempamerkan lukisan saya dan kebolehan yang ada kepada masyarakat," katanya.

Aliah ketika ditanya mengakui mampu berbangga apabila dengan hasil usahanya selama ini berupaya memiliki sebuah kereta yang dibeli menggunakan hasil titik peluhnya sendiri.

"Saya mampu memandu kenderaan ini sendiri dan memiliki lesen memandu. Semua ini selepas memikirkan kepentingan berdikari dan untuk memudahkan urusan harian kerana selama ini terpaksa bergantung kepada ahli keluarga atau menggunakan kenderaan awam.

"Sejak memiliki lesen memandu, saya gembira kerana tidak lagi menyusahkan keluarga dalam urusan harian. Selain itu, saya juga dapat membantu ibu ke kedai untuk membeli keperluan dapur," katanya yang turut mampu melakukan rutin harian seperti insan normal lain seperti memasak, menggunakan telefon bimbit dan sebagainya. 

PELUKIS OKU, Aliah Talib menunjukkan lukisannya yang dihasilkan menggunakan kaki. - Foto Amran Hamid
PELUKIS OKU, Aliah Talib menunjukkan lukisannya yang dihasilkan menggunakan kaki. - Foto Amran Hamid
ALIAH kini mampu meletakkan dirinya sebaris pelukis ternama. - Foto Amran Hamid
ALIAH kini mampu meletakkan dirinya sebaris pelukis ternama. - Foto Amran Hamid
ALIAH sedar ada insan lain lebih malang berbanding dirinya. Foto Amran Hamid
ALIAH sedar ada insan lain lebih malang berbanding dirinya. Foto Amran Hamid
PADA usia 16 tahun, Aliah mengikuti kursus lukisan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di Bangi selama tiga tahun. - Foto Amran Hamid
PADA usia 16 tahun, Aliah mengikuti kursus lukisan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di Bangi selama tiga tahun. - Foto Amran Hamid
Berita Harian X